Wednesday, January 16, 2013

UMAT ISLAM KINI


UMAT ISLAM KINI - SATU PENGAMATAN



Ummat Islam mengikut taarif Allah S.W T adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di antara ummat manusia kerana mereka sentiasa berj i had menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka mencegah yang mungkar.

Mereka adalah contoh yang terbaik dan pilihan kerana mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan dengan taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan mereka, mahupun apabila mereka sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri.

Mereka sedar bahawa belumlah betul-betul dinamai Iman jika belum mendorong orangnya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja Islam (Amal Islami) dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam.
Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”

Itulah ummat yang terdahulu yang mendapat didikan Iman dari Madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanya sanya Al-Quran, menilai Rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan samada dalam bentuk fikiran, tindakan dan amalan.
Di sana masih ada perbezaan yang jauh antara ummat Islam kini dan jenerasi Al-Quran yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat Iman yang bergelora, menyala, cermat dan waspada.
Sebaliknya Ummat Islam kini mereka mempunyai Iman yang bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan tuntutan Iman itu sendiri.

KEADAAN DAN MASALAH YANG SAMA 

Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama saja. Keadaan Ummat Islam yang sebenarnya telah menyerah kalah kepada pemikiran-pemikiran dan cara hidup yang menggunakan akal fikiran sebagai inti wahyu Illahi. Tiada penafian dalam hal ini kerana masyarakat Islam telah begitu lama dijajah (tanah air dan fikiran) telah jauh dari hakikat hidup dari kacamata Islam. Perhambaan diri mereka tidak hanya sanya pada Allah S.W.T semata-mata sedangkan mereka mengucap dua kalimah Syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan Zakat dan menunaikan Haji di Baitullah.

Apabila kita meninjau ke seluruh pelusuk alam ini, nescaya kita dapat melihat keadaan sebenar Ummat Islam pada hari ini. Ratusan ummat-ummat Islam tidak lagi digeruni oleh musuh-musuh mereka, malah ummat Islam dipermain-mainkan sesuka hati oleh angkatan Jahiliah yang diketuai oleh Syaitan, ummat Islam seolah-olah dibius, jiwa mereka rendah, peribadi mereka juga rendah serta natijah mereka juga dipandang rendah. Kemanakah hilangnya tradisi kegemilangan, kekuatan Islam yang pada satu ketika dulu tradisi telah dapat menarik penganut-penganut cara hidup yang bukan Islam kepada cara hidup Islam.

Wujudnya situasi yang sebegini rupa adalah kerana ummat Islam sendiri telah jahil akan tujuan sebenarnya Islam itu diturunkan kepada seluruh ummat manusia. Ummat Islam kini tidak tahu menghargai Pimpinan Illahi dan merasa rendah dikira apabila menyebut Islam. Ummat Islam pada hari ini tidak boleh lagi dipanggil sebagai ummat Islam, Islam itu tetap ada tetapi ummatnya adalah umpama jasad tanpa nyawa, sebenarnya mereka juga sendiri daripada angkatan jahiliah kerana:

1) Tidak beriman sebenarnya dengan Allah S.W.T

Nampak jahiliah itu dalam bermacam-macam keadaan, tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerah semua urusan hidup mereka kepada Allah S.W.T. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan hanya Allah sahaja sebagai Illah. Perintah dan undang-undang Allah sahaja yang diterima dan dipatuh. Jika tidak, maka uluhiyyatillah kita masih tidak sempurna.

2) Mengikut Hawa Nafsu 

Jahiliah dengan hawa nafsu adalah seiringan.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jaatsiyah (45) ayat 18 yang bermaksud:
“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”
Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun pengikut syariat Allah S.W.T maka masih dikira jahiliah. Hakikat hawa nafsu menghukum ialah ianya berbeza mengikut keadaan dan masa.

3) Mengikut Thaghut 

Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
“Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman,Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (Iman) .Dan orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka ialah thaghut,yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.Mereka itu adalah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya”
Dalam surah Annisa' (4) ayat 76 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Orang -orang yang beriman berperang di jalan Allah dan Orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kuncu-kuncu syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”
Orang-orang yang beriman kepada Allah berjuang dan berperang kerana Allah S.W.T, tetapi orang-orang Jahiliah berjuang bermati-matian untuk mengikut perintah thaghut.

SIFAT-SIFAT MEREKA YANG HIDUP UNTUK ISLAM 

Berbeza dengan sifat-sifat yang tersebut di atas,sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam sepatutnya:

a) Benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam, Iman dan amal mereka yang selaras, tidak menyuruh orang berbuat baik tanpa dirinya sendiri berbuat baik dan tidak memperkatakan sesuatu yang tidak dilakukannya.
b) Mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja mereka berada. Musuh-musuh Islam tidak dapat meresap masuk dan mengganggu-gugat dengan apa cara sekalipun.
c) Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah. Tidak merasa lemah dan dukacita dengan mehnah dan fitnah yang berada di hadapan mereka.
d) sentiasa bekerja untuk Islam bersama-sama dengan Aktivis-aktivis (mujahid-mujahid) Islam yang lain dalam berdakwah kepada Allah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka sentiasa bersama Jamaah Ummah dan patuh kepada kehendak dan pimpinan Jamaah tersebut.

SISTEM WAHYU 

Sekiranya Iman merupakan penyelamat dan tenaga penggerak kepada pembangunan kepada generasi Al-Quran yang terdahulu maka Iman itu juga yang menjadi penyelamat dan tenaga penggerak kepada jenerasi ummat yang terkemudian. Dan generasi yang terdahulu telah mengambil Al-Quran untuk mencipta Tamadun..... generasi sekarang mesti mengambil Al-Quran untuk menempah semula tamadun tersebut.

Generasi Al-Quran yang pertama dahulu apabila mereka bertindak melakukan sesuatu, dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi mereka tidak pernah malah takut untuk mendahulukan Allah dan RasulNya. Mereka sentiasa menunggu saranan dan teguran wahyu.... dan apabila ditanzilkan wahyu kepada mereka tanpa persoalan lagi mereka terus melaksanakan kehendak wahyu tersebut samada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan bagaikan askar-askar yang menurut perintah ketua mereka.

Oleh itu kita dalam setiap gerak kerja kita mestilah merujuk terlebih dahulu kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dan bersesuaian dengan waki' (realiti) serta ikhlas tanpa ada sedikitpun matlamat duniawi.
Sepatutnya sejarah Tanzil (turun) nya Al-Quran itu menjadi contoh kepada kita dewasa ini. Ia ditanzilkan secara munajjaman(beransur-ansur).

Hal ini adalah mengikut fitrah manusia itu sendiri, kalau dulu Al-Quran itu mendidik dan berjinak-jinak dengan jiwa-jiwa generasi sahabat secara munajjaman iaitu mengikut perkembangan pemikiran dan sosial mereka, semestinyalah kita mengikutnya demikian juga. Dengan ini bukanlah bererti yang kita tidak perlu menjalankan undang-undang dan peraturan Allah di muka bumi ini disebabkan kita bermula dengan iman tetapi undang-undang Allah telah lengkap dan mesti dipatuhi sepenuhnya. Apa yang kita maksudkan dengan munajjaman di sini ialah khusus dalam pendidikan jiwa kita.

Mungkin ada sebahagian orang akan merasakan proses ini tidak perlu lagi pada zaman yang serba canggih ini, sedarilah dan insafilah bahawa untuk bersemadinya Iman di dalam hati kita dan dapat melahirkan natijah yang positif sangatlah perlu kita kembali kepada satu proses pendidikan semula setiap jiwa-jiwa muslimin yang ikhlas kepada Islam.

Kita tegaskan di sini, bahawa Islam bukan sekadar Risalah tetapi ianya juga merupakan Manhaj(cara), sunnah dan perjalanan Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik manhaj, sunnah itu adalah Haq dan Haq itu adalah daripada Allah Azza Wajjalla.

Proses pendidikan semula itu perlulah menurut satu persatu landasan yang telah dilalui oleh Muhamad Rasulullah S.A.W dan jenerasi sahabat dahulu. Matlamat hidup perlulah diperbetulkan semula, kesungguhan dan keikhlasan kepada proses itu sendiri perlulah ada pada setiap jiwa yang ingin mengikuti proses pendidikan semula Islam itu, jika tidak natijahnya akan bersimpang-siur.

MASA DEPAN DUNIA ADALAH UNTUK ISLAM 

Di kalangan ummat Islam yang telah dibius itu telah ada yang sedar, bangun dan mengejutkan saudaranya yang lain. Seorang demi seorang bangun dan bersatu di bawah panji-panji Aqidah Islam. Seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi pergolakan yang dicetuskan oleh mujahid-mujahid ini. Bagi yang mahu kepada kebenaran mereka menyambut baik akan perkembangan ini, tetapi bagi mereka yang menyintai kekufuran, kezaliman, penyelewengan dan kemaksiatan, insiden ini amatlah tidak disenangi dan mereka cuba sedaya upaya mereka samada secara diplomasi atau kuku besi sekalipun untuk melenyapkan cahaya ini.

Kita bersikap optimis bahawa, masa depan dunia adalah untuk Islam memandangkan kepada keadaan masyarakat dewasa ini yang mana sistem-sistem pembikinan manusia yang dipaksakan kepada mereka jelas tidak mampu untuk menyelamatkan manusia dari segala bentuk bahaya dan kezaliman yang sedang berjalan walau atas nama apa sekalipun tetapi amat dibenci oleh masyarakat terbanyak.

Optimisnya kita bukanlah bererti kita boleh berpeluk tubuh, memerhatikan keadaan dan menunggu natijahnya tetapi ianya menuntut kepada usaha, tenaga, Ilmu, kedudukan, keikhlasan dari kita yang beriman kepada Allah dengan yang sebenarnya.
Oleh itu, perbetulkan Aqidah kita agar Iman kita betul, dengan itu nanti akan benarlah segala amalan kita, Insya-Allah.

PENUTUP 

Menyedari bahawa Islam sudah tidak lagi dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat kerana ketandusan Iman, berkepentingan peribadi serta jahil, maka program-program yang positif perlu diambil untuk membetulkan keadaan tersebut.

Abul A'la Al Maududi menyarankan supaya diajak manusia supaya kembali beriman kepada rukun-rukun Iman dengan sebenarnya, membersihkan diri dari segala bentuk kepercayaan tahyul, khurafat dan bid'ah dan membentuk serta membangunkan semula konsep kefahaman Islam yang sebenarnya di kalangan masyarakat.
Inilah jalan yang sah dan betul yang telah dilakukan oleh Harakah Islamiyyah melalui susunan tarbiahnya yang rapi.

No comments:

Post a Comment