Ancaman liberalisme dan pluralisme
Walau apapun fitnah yang melanda, pegangan yang bersumberkan kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasul serta bimbingan ulama ahli al-Bayt sentiasa berdiri di atas kebenaran.
Hal ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), bilamana kamu masih berpegang kepada keduanya, niscaya tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya". Rasulullah telah memberikan jaminan apabila kita berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, kita tidak akan tersesat selama-lamanya.
Selain itu, terdapat juga hadis lain menuntut kita supaya mengikuti autoriti al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber pegangan utama. Bahkan kewujudan golongan yang membela agama juga sentiasa mengatasi apa jua bentuk kesesatan, keadaan dan cabaran yang mendatang. Lebih meyakinkan kita bahawa Allah sendiri memberi jaminan bahawa agama Islam ini tetap teguh terpelihara walaupun cuba diancam dan diserang oleh musuh-musuhnya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan ucapan mereka. Dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya.”
Walaupun kemunculan fahaman sesat sering berlaku setiap zaman, namun kita perlu menyedari bahawa ancaman pada zaman ini bukan sekadar berhadapan dengan kesesatan aliran pemikiran tauhid dan metafizik Yunani. Akan tetapi, kita sebenarnya berhadapan dengan aliran pemikiran moden yang berjaya mensinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran Barat.
Tuntasnya, mereka mengaku beragama Islam dan mengamalkan isi kandungannya akan tetapi menurut perspektif Barat. Sedarlah, firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Orang-orang kafir itu merancang tipu daya. Dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
No comments:
Post a Comment