Thursday, January 17, 2013

ISLAM TERAS PERPADUAN



Secara umumnya, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan, iaitu  perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin.


Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua jurusan atau dimensi, iaitu, pertama: perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan bersama. Kedua: perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

Pengertian perpaduan mengikut dimensi atau jurusan pertama adalah merujuk kepada kerukunan politik kerana mereka mempunyai kepentingan umum seperti menetap di negara yang sama. Oleh kerana mereka lahir di tanah tumpah darah yang sama, maka mereka pun menjadi warganegara yang sama. Jika dibandingkan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesebuah masyarakat yang serupa dari segi pembawaannya, warna kulitnya, budayanya dan bahasa pertuturannya.

Usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu kegiatan yang baik dan perlu dialu-alukan. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam dalam negara ini.

Kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin. Dan kerana itulah, Rasulullah s.a.w pun menegaskan, “bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka, menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah s.w.t sendiri.


No comments:

Post a Comment