Sunday, January 20, 2013

MENCIPTA TAMADUN BERLANDASKAN AL-QURAN DAN SUNNAH RASUL


Mencipta Tamadun Berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasul



Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril s.a.w kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil)"...

Berdasarkan ayat tersebut, telah dibuktikan dalam sejarah bahawa sejak al-Quran diturunkan, ia telah berjaya mengubah sejarah manusia yang dikenali sebagai umat jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak sehingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang.

Kita sedia maklum bahawa tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk mengesakan Allah s.w.t dan menjalani kehidupan mengekut landasan yang benar. Di samping itu, al-Quran menganjurkan umatnya supaya menyuburkan nilai akhlak dalam kehidupan termasuklah nilai kasih sayang sesama manusia, hormat menghormati, toleransi, keadilan dan keamanan yang merupakan nilai-nilai sejagat serta sesuai dengan kehendak fitrah manusia itu sendiri.

Kerana itulah, kandungan al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah kerohanian, akidah, akhlak, perundangan dan pelbagai panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Justeru, tuntutan memahami dan menghayati ayat-ayat al-Quran dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran itu sendiri jelas mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

Selain meyakini bahawa al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan terbilang, umat Islam juga dituntut untuk mengikuti sunnah rasul iaitu bukti nyata terhadap usaha dalam merealisasikan (melaksanakan) Al-Quran yang diamanahkan Allah. Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w selama 23 tahun Baginda memimpin umat Islam berpandukan al-Quran.

Ajaran al-Quran amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental, sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah s.a.w, zaman kepimpinan Khulafa ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia.

Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran Al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan Al-Quran, mereka hanya membaca Al-Quran tetapi tatalaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran, mereka mendengar Al-Quran, tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran Al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah s.w.t.

Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka secara tidak langsung telah menyumbang kekeliruan kepada penganut agama-agama lain terhadap Islam, malah lebih malang lagi kepada umat Islam itu sendiri. Kerana apabila mereka tidak mematuhi ajaran al-Quran, mereka dengan sendirinya mengikut jejak langkah syaitan.

Satu perkara lagi yang perlu dihayati kita semua penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti pembangunan modal insan melalui penghayatan al-Quran, sekali gus akan meletakkan diri dalam golongan yang disebut sebagai اَلْمُحْسِنِيْن iaitu orang-orang yang suka melakukan kebaikan.

Di samping seruan supaya menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran, terdapat seruan agar ayat-ayat al-Quran dikaji dan diteliti kerana ia mampu menghasilkan ilmu pengetahuan bagi kehidupan manusia yang disebut sebagai “أولى الألباب“. Dan ini telah dibuktikan oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam bidang seperti ilmu falak atau astronomi, ilmu perubatan (Tib), ilmu kimia, ilmu hisab atau algebra dan sebagainya. Begitu juga mereka mengkaji tumbuh-tumbuhan, mengkaji alam binatang, bahasa pertuturan, dan lain-lain lagi. Ilmuwan-ilmuwan seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain adalah merupakan nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.

Namun kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori oleh umat Islam dahulu hanya tinggal kenangan. Ianya tiada kesinambungan yang dapat diwarisi oleh umat Islam kini. Segala-galanya perlu dipelajari semula dari kemajuan dan kemodenan barat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi dan puncanya kerana kesilapan umat Islam itu sendiri kerana asyik bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak ada semangat kesatuan dan akhirnya menjadikan umat Islam begitu lemah, hilang daya saing dan segala kekuatan, di mana akhirnya umat Islam dijajah.

Kesimpulannya, kita seharusnya menyedari bahawa penurunan al-Quran sebenarnya membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang seperti di masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lampau dan ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan pada hari ini.

No comments:

Post a Comment