Thursday, January 24, 2013

PERJUANGAN MELAYU - ISLAM


Sudah menjadi fakta yang universal dan tidak boleh di sangkal lagi bahawa taktik atau strategi yang digunakan oleh penjajah atau penakluk, mengekalkan hegemoni mereka dengan menjadikan penduduk tempatan sebagai tali barut.

Bagi orang Melayu, yang telah memeluk Islam, sejak 500 tahun yang lalu, mereka sering saja dijajah dan ditakluk oleh pelbagai kepercayaan (fahaman dan ideologi),  dan juga bangsa (Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, dan sekali lagi, Inggeris). Satu aspek yang menonjol, walau bagaimanapun… sejak mereka menjadi bangsa Melayu-Islam, mereka tidak pernah tukar pegangan (akidah) mereka.

Kehidupan mereka boleh bertukar, daripada agrarian kepada membangun, dan seterusnya kini, setelah mengalami proses pemodenan, sedang menempa ke arah maju. Sebagaimana biasanya, dengan kukuhnya, Melayu-Islam tetap dengan pegangan mereka. Mereka tidak mengalah kepada kehebatan bangsa Barat ataupun budaya dan citra mereka.

Malah apa saja yang datang, baik dari Barat  mahupun Timur, mereka akan cuba diislamisasikan. Ini sajalah tahap kompromi yang ada pada Melayu-Islam. Mereka tidak sekali-kali akan menukar pegangan akidah mereka kepada agama lain, tata kehidupan lain, fahaman lain, dan sebagainya.

Ini menjadikan sejarah orang Melayu-Islam unik, sedangkan bangsa-bangsa lain yang dijajah didapati menukar pegangan agama mereka dengan begitu mudah dan lancar.

Sesungguhnya keunikan Melayu-Islam ini terpancar daripada nilai al-Quran itu sendiri. Bangsa yang dijadikan oleh Allah dan menerima agama yang diiktiraf oleh Allah sebagai pegangan dan senjata kehidupan mereka.

Situasi unik ala sempurna ini kadangkala tidak disedari oleh umat Melayu-Islam sendiri. Ini kerana mereka asyik dengan penemuan, dan ilmu yang digunapakai di seantero dunia, walaupun ilmu tersebut, bukanlah ilmu yang dapat merungkai segala misteri yang terdapat dalam langkauan kehidupan manusia, seperti dalam agama Islam.

Sungguhpun begitu, keunikan umat Melayu-Islam ini, tidak melepaskan mereka daripada sebarang cabaran dan dugaan, seolah-olah itulah ujian dan itulah tradisi yang bernama kehidupan.
Namun, mereka menerima cabaran demi cabaran ini dengan berpaksikan pegangan mereka: Islam. Darah jihad Melayu-Islam belum tercabar sepenuhnya walaupun pernah ‘terusik’ ketika 13 Mei (1969) dulu. Kini adalah sedikit sebanyak geraan yang dilakukan untuk melihat wajah jihad Melayu-Islam. Terpentingnya, Melayu-Islam tidak mudah terserap oleh pengaruh keganasan, yang sedang melanda seluruh dunia hari ini walaupun mereka sudah melihat dengan mata kepala mereka sendiri – bagaimana usaha ‘menghapuskan’ atau ‘mengnyahkan’ mereka dari wilayah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t sedang berjalan.

Daripada perkembangan semasa, adalah diperhatikan bahawa cabaran ke atas Melayu-Islam ini menjadi semakin ‘sengit’. Jika sebelum ini umat Melayu-Islam dihidangkan cabaran berupa gerakan berorganisasi (missionary) daripada agama lain serta dakwaan tentang kehadiran ala kelahiran Tuhan Hindu, kini cabaran datang dari dalam umat Melayu-Islam sendiri: politik – yang merupakan dimensi tertinggi dalam sesebuah kehidupan bernegara manusia.

Umat Melayu-Islam kini diasak dengan Islam sebagai agama inklusif serta fahaman Islam untuk semua. Ini terjadi setelah usaha Islam Liberal tidak mendapat sambutan. Begitu juga dengan gerakan sebelumnya, iaitu feminisme Islam. Demikian jugalah dengan tenggelam timbulnya isu-isu seperti menyanggah hukum syarak, hudud, dan seumpamanya.

Terpentingnya, asakan ini turut diterima oleh segelintir ‘pejuang’ Islam yang sudah mabuk dan gila dengan kuasa-politik. Mereka sanggup mengkafirkan sesama seagama, menafikan hak bangsa sendiri ke atas wilayahnya, serta berpakat dengan bukan-Islam keturunan pendatang untuk menegakkan Islam. Maka kitab suci al-Quran pun jadi sama seperti buku-buku lain, dibenarkan dibaca dan disebut oleh bukan-Islam kepada umat Melayu-Islam sendiri! Ini adalah hipokrasi al-kubra! … dan mereka mendakwa mereka sajalah yang bakal masuk syurga!

Dalam pada itu, mereka ini tidak sedar akan adanya pepatah Melayu: senjata makan tuan! Dalam sejarah pula pernah dipersoalkan kenapa bom atom jatuh ke Jepun, tetapi tidak di Jerman, sedangkan kedua-duanya membunuh manusia kerana kegelojohan mereka untuk menakluk dunia. Antara perbezaan ketara ialah Jepun melanyak kitab al-Quran, bukannya Jerman. Mengizinkan bukan-Islam menggunakan ayat suci al-Quran terhadap umat Islam adalah sama tindakan ‘lanyaknya’. Cuma persepsi yang membezakan mana yang lebih keji, memijak dengan kaki ataupun memijak dengan lidah, sedangkan lidah itu tidak bertulang, dan lebih tajam daripada pedang! Kesucian al-Quran adalah di bawah jagaan Allah sw.t. dan bukan pada umat-Nya!

Secara lebih halus lagi, mereka menyeru supaya umat Melayu-Islam kembali kepada ajaran Islam tulen. Kononya, umat Melayu-Islam kini tersasar dalam fahaman dan amalan yang sedang dijalankan, sehingga menyebabkan mereka begitu bergelumang dengan dosa (rasuah) dan maksiat (skandal dan gejala sosial). Namun, mereka sendiri pun belum dapat membuktikan fahaman yang dibawanya itu mampu menyelamatkan mana-mana golongan daripada dosa dan maksiat! Tersilap gaya, mereka ini pulalah yang membawa fahaman syirik – taksub kepada pemikiran sendiri, sehingga lupa kepada kuasa Allah s.w.t dengan sunnahtullah-Nya!

Mereka hanya tidak sebut: tinggallah Islam, kerana Islamlah yang menyebabkan kamu berada dalam keruntuhan. Ini kerana mereka tahu, pantang orang Melayu-Islam dicabar supaya tinggalkan agamanya! Langkah sebegini hanya mengundang pemboikotan ataupun penentangan yang tak mungkin tamat.

Meskipun demikian, umat Melayu-Islam mesti senantiasa berwaspada. Iman dan takwa mesti dijaga dan dibaja selalu. Kewarasan dan percambahan perpaduan yang berteraskan pada iman dan takwa ini adalah lebih besar daripada himpunan dakyah dan propaganda musuh, baik dari luar mahupun dari dalam; baik secara senjata, perang saraf ataupun wang.

Perjuangan Melayu-Islam yang sudah berusia 500 tahun masih lagi berjalan, dan Melayu-Islam, perlu kental menghadapinya. Allah senantiasa bersama-sama mereka yang berjuang kerana-Nya.

No comments:

Post a Comment