Friday, January 25, 2013

TANGGUNGJAWAB ULAMA-UMARA MENYELAMATKAN UMMAH



Dalam situasi semasa menunjukkan bahawa adanya sebilangan ulama kita menggunakan ilmu yang ada padanya untuk mempengaruhi orang ramai supaya menentang kerajaan,kononnya adalah bertujuan agar setiap umat Islam berfikir secara matang dalam melakukan sesuatu tindakan yang sebenarnya boleh melemahkan pentadbiran dan kepimpinan negara. Lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang dihuni pelbagai kaum dan agama.

Jika pemimpin beragama Islam yang sedia ada ini ‘digulingkan‘, belum tentu pemimpin Islam yang lain dapat menjalankan pentadbiran dan perancangan pembangunan dengan lebih berkesan. Paling dibimbangi kemungkinan kuasa ketiga yang bukan daripada golongan Islam akan beroleh kesempatan dan ‘keuntungannya‘.

Memang tidak dapat dinafikan, masih banyak lagi soal-soal keislaman belum dilaksanakan dengan sempurna. Perkara ini berlaku di negara ini dan negara-negara lain juga.

Kita mahu ulama dan umara lebih aktif dan bekerja keras bagi menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan dengan agama Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana, ertinya tidak secara emosi dan gopoh-gapah, tetapi dengan menggunakan akal dan tidak dengan perasaan, kerana musuh Islam sentiasa mengintai-gintai kelemahan kita.

Sekiranya perkara ini tidak diawasi dan tidak diperhitungkan, maka yang rugi adalah seluruh umat Islam dan pimpinan negara.

Peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku di negara-negara Islam yang lain, seperti di Afghanistan, Yaman Selatan, Libya, Syria dan sebagainya patut dijadikan teladan.

Di negara tersebut dikatakan tidak ada kesepakatan para ulama dalam menyatukan bangsa mereka. Masing-masing lebih mementingkan puak dan suku daripada memikirkan kepentingan ummah seluruhnya.

Sebagai umat Islam, sama ada dia seorang ulama atau umara, masing-masing bertanggungjawab untuk menyelamatkan ummah. Apa yang lebih penting, persefahaman dan perdampingan ulama dan umara hendaklah berterusan kerana ulama dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh pemimpin dan pemimpin pula dapat memahami masalah ulama.

Manakala ulama yang berwibawa adalah ulama bersedia memberi teguran yang bertitik tolak daripada perasaan kasih sayang. Pemimpin dan pemerintah yang baik pula adalah mereka yang sanggup menerima teguran walaupun pahit dengan sikap keterbukaan yang tulen.

Tuduhan ke atas ulama yang mendampingi kerajaan sebagai ulama fasik merupakan suatu tuduhan tidak berasas kerana persoalan inilah yang kadangkala menjadikan ulama sentiasa dalam keadaan amat sulit dan serba salah. Sedangkan Islam sendiri tidak mengharamkan ulama berpolitik.

Rasulullah s.a.w telah menyampaikan tiga amanah penting yang harus dipatuhi oleh setiap mukmin demi memelihara keamanan negara dan keutuhan agama daripada sebarang penyelewengan dan perkara-perkara yang menyesatkan. Antara amanah tersebut ialah wajib mematuhi pemerintah walaupun dia seorang hamba berkulit hitam.

Islam juga melihat bahawa keputusan jemaah atau majoriti adalah sebagai keputusan muktamad yang mesti dipatuhi miscount kadangkala ia tidak selaras dengan kehendak peribadi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah ia bersabar, kerana sesiapa yang memisahkan dirinya daripada jemaah (majoriti umat Islam yang padu) biarpun sejengkal, lalu ia mati, maka matinya itu adalah mati jahiliah (sesat).”

Betapa besarnya Islam menekankan perpaduan dan menganjurkan agar umat Islam tidak menggunakan sentimen melulu dan keinginan guling-mengguling yang boleh merosakkan kestabilan dan memecahbelahkan barisan umat sehingga orang memencilkan diri ataupun bertindak di luar kehendak majoriti umat Islam yang padu adalah dianggap mati dalam kesesatan jahiliah.

Ini bukanlah bererti bahawa Islam menganjur rakyat supaya bersikap membisu terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin atau ulama. Setiap rakyat mestilah mempunyai keberanian menegur dan membantah penyelewengan pemerintahnya dan jangan sekali-kali rela dan hanyut dalam arus penyelewengan itu.

Bagaimanapun, selama pemerintah mereka masih patuh mendirikan syariat Islam, mereka tidak dibenarkan bertindak dengan kekerasan kerana Islam lebih percaya dengan nasihat-nasihat yang ikhlas, teguran yang jujur dan dakwah yang mencabar kebijaksanaan dan merangsangkan keinsafan.

Inilah sebaik-baik cara untuk memaksa pemerintah yang menyeleweng agar pulang ke pangkal jalan.

Apa yang menjadi pokok perhitungan kenegaraan ialah keamanan, kestabilan dan perpaduan di kalangan ummah. Oleh yang demikian itu, di dalam Islam tidak ada ruang untuk guling-mengguling dan rebut-merebut demi memuaskan nafsu ingin berkuasa.

No comments:

Post a Comment