Saturday, January 26, 2013

ISLAM DALAM KONTEKS TOLERANSI BERAGAMA


Islam Dalam Konteks Toleransi Beragama




Rentetan sejarah panjang menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi sesuatu masyarakat. Islam juga sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Islam juga sebagai agama yang mengamalkan prinsip toleransi yang sememangnya diakui oleh penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Shinto, Majusi, Kristian, dan Yahudi. Inilah satu hal yang ada dalam sejarah dan peradaban Islam.

Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan bukan Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak orang Islam. Keadaan itu ditegaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan. Bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan tersebut.

Kebebasan beragama sememangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada umatnya untuk menukar agama kerana agama Islam itu sendiri telah dianggap lengkap dan sempurna.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama.

Islam juga tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk membuat pilihan sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w melalui Piagam Madinah.

Justeru tidak kurang daripada 12 fasal dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi, iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35.

Puncak daripada toleransi terhadap orang yang berbeza agama seperti yang ditegaskan oleh al-Quran adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi keyakinan kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, raja, negara, tatasusila dan amalan budaya).

Sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum inilah telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh tentang penyatuan kaum. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui institusi raja, yang dianggap sebagai payung pentadbiran negara.

Hak dan prinsip ini terus dikekalkan walaupun akhir-akhir ini terdapat usaha untuk merungkaikan nilai-nilai kemasyarakatan rakyat Malaysia. Berdasarkan situasi ini, beberapa peringatan daripada pelbagai pihak yang cintakan kedamaian meminta supaya setiap perbezaan tidak terjerumus ke kancah permusuhan.

Ia harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan negara bangsa ataupun bangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment