Saturday, January 19, 2013
1 MALAYSIA, 1 UMMAH - DASAR SATU MALAYSIA
DASAR SATU MALAYSIA
Konsep satu Malaysia dijelaskan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai, “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
Dasar ini dibentuk bagi tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang meneruskan nilai-nilai perpaduan dan sifat hormat-menghormati antara kaum dan agama serta melaksanakan kehidupan sebagai rakyat Malaysia bukan berdasarkan kaum atau agama tertentu. Mereka perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing agar bertindak tanpa memikirkan kepentingan etnik dan kaum masing-masing.
Dasar ini juga menegaskan agar setiap tindakan yang hendak dilaksanakan perlu berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara ini terutama peranan pemimpin yang perlu menangani semua permasalahan dan tuntutan keperluan serta hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
Dasar ini dibentuk sebagai pelan tindakan para pemimpin dalam melaksanakan tugas kepimpinannya. Ia membawa matlamat untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat yang menjadi tunggak kekuatan Malaysia dan mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat melalui slogan, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.”
Sebagai merealisasikan hasrat dan matlamat ini, Satu Malaysia digerakkan berdasarkan tiga prinsip teras iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip teras ini penting untuk tujuan memperkukuhkan perpaduan nasional. Penekanan terhadap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum dan penerimaan keunikan pelbagai kaum akan mewujudkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia.
Prinsip kenegaraan pula menerapkan semangat perpaduan, semangat nasionalisme dan semangat cinta akan negara sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara sejak sekian lama. Manakala prinsip keadilan pula membela nasib semua kaum serta mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza agar pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Ketiga-tiga prinsip tersebut mendasari konsep Satu Malaysia dan memerlukan pemimpin yang sentiasa mengamalkan lapan prinsip kepimpinan iaitu mewujudkan budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment