Saturday, January 19, 2013

1 MALAYSIA, 1 UMMAH - REALITI MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA


REALITI MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA



Sejarah Malaysia memiliki latar belakang penerimaan pelbagai kaum dan agama lain dalam melaksanakan pembangunan ekonomi di bawah pemerintahan British (divide and rule). Kesediaan orang Melayu menerima kaum-kaum lain dan agama mereka telah membuka jalan bagi pergaulan etnik yang bersepadu iaitu orang Melayu, Cina, India dan kaum bumiputera lain seperti Iban, Kadazan dan sebagainya. Bahkan Negara Malaysia telah menerima liga agama utama dunia iaitu Islam, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian di samping pelbagai kepercayaan animisme.

Penerimaan masyarakat Melayu terhadap kehadiran kaum dan agama lain mempunyai kaitan yang akrab dengan agama Islam. Kehadiran agama Islam yang dibawa oleh para mubaligh Islam dan penerimaan raja-raja Melayu sebagai ketua Negara telah mensinonimkan bangsa Melayu  dengan agama Islam. Lantaran itu, agama Islam yang kita kenal hari ini telah berjaya mengintegrasikan dan menyatupadukan masyarakat hingga ke hari ini.

Dimensi agama merupakan satu pendekatan perpaduan untuk menyatupadukan masyarakat sesama kaum dan antara kaum. Di Malaysia, amalan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum telah lama difikirkan oleh para pemimpin dari sudut penekanan agama. Malah syarat mendapatkan kemerdekaan dari tangan British ialah perpaduan yang dimasukkan dalam agenda Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk. Dalam artikel 3(1) ada menyebutkan bahawa, “Ugama Islam ialah ugama Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh dipraktikkan dengan aman damai di mana-mana bahagian kawasan persekutuan.”.

Pada masa yang sama, artikel II menyatakan bahawa setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan setiap kumpulan agama berhak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuhkan dan menyelenggarakan hal ehwal agama atau khairat dan boleh memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang.

Perlembagaan persekutuan juga telah diperkukuhkan melalui penghayatan dan pengamalan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk setiap lapisan masyarakat, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang dibentuk ini merupakan ikrar setiap rakyat Malaysia bagi mewujudkan rasa cinta dan taat setia kepada Negara di bawah satu payung pemerintahan tanpa mengira bangsa dan agama.

Perlembagaan berfungsi mengisi konsep kenegaraan dan telah memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu pula diangkat menjadi bahasa rasmi Negara dengan keistimewaan institusi Raja-raja Melayu berperlembagaan. Penerimaan kepada perlembagaan ini juga merupakan kesediaan setiap individu untuk bersatu, bekerjasama dan berkongsi dengan menghormati budaya dan kepercayaan masing-masing.

Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Negara telah membolehkan penganut agama-agama lain mengamalkan agama mereka dengan aman. Kewujudan pelbagai bangsa dan agama merupakan sesuatu yang sudah ditetapkan dan sebagai sebahagian dari nikmat Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat 49 ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu, dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya) sesungguhnya Allah amat mengetahui dan amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia ini sama sahaja di sisi Allah tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit dan kedudukannya. Islam juga melihat masyarakat bukan Islam sebagai anggota masyarakat yang diberi hak untuk hidup bersama dengan rukun dan damai. Tiada halangan untuk mereka saling bergaul dan berinteraksi antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, Allah SWT hanya membezakan kedudukan manusia di sisi-Nya adalah dari segi keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment