Saturday, January 19, 2013

1 MALAYSIA, 1 UMMAH - KEDUDUKAN AGAMA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH


KEDUDUKAN AGAMA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH


Realiti kejadian manusia yang bersuku-suku dan berbangsa-bangsa bukanlah suatu bentuk diskriminasi tetapi merupakan limpahan rahmat serta memperlihatkan kebesaran Allah SWT. Islam melihat kewujudan masyarakat majmuk sebagai suatu bukti bahawa masyarakat saling memerlukan antara satu sama lain.

Semua anggota dalam masyarakat berhak untuk mendapatkan keadilan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas masing-masing. Malah Islam mampu menyatukan pelbagai etnik, social dan budaya secara adil dan saksama hingga tiada golongan yang tertindas atau terpinggir.

Islam merupakan agama rahmatan lil-alamin

Islam merupakan agama yang membawa kepada kesejahteraan, keselamatan dan kerahmatan. Ia juga bermaksud berserah, tunduk dan patuh kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya 21 ayat 107 yang bermaksud, “Dan tidaklah Kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.”

Oleh kerana agama Islam merupakan agama yang memberi rahmat kepada seluruh alam, maka Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Islam itu agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.” (Sunan al-Baihaqi al Kubra: 12399). Ketinggian agama Islam ini jelas kerana ia didatangkan oleh Allah SWT yang memiliki segala kesempurnaan, ketinggian, kekuatan dan kemuliaan. Ia mempunyai cara hidup yang sesuai untuk diamalkan oleh semua umat manusia tanpa mengira bangsa dan budaya. Peraturan yang disusun juga memperlihatkan peraturan yang umum dan sesuai dengan keperluan semasa. Garis panduan yang diberikan oleh Islam kepada penganutnya mempunyai mesej kesejahteraan yang jelas sama ada secara khusus atau umum, secara langsung atau tidak secara langsung.

Status yang tinggi dipegang oleh agama Islam ini menjadikan ia agama yang termulia dan tiada tandingannya dengan agama-agama samawi yang lain. Tujuan Islam diturunkan ialah untuk membawa kebahagiaan kepada seluruh umat manusia. Melaluinya, manusia boleh memperolehi kesenangan, kemudahan hidup, kesihatan, ketenangan jiwa dan kesenangan hati. Peraturan syarak yang ditetapkan merupakan garis panduan kepada umat manusia untuk kebaikan dan kepentingan manusia di dunia dan akhirat. Ia diturunkan bagi memastikan kelangsungan keadilan, kerahmatan dan manusia hidup dalam keadaan sentosa.

Bagi memastikan, manusia hidup dalam keadaan sentosa dan dalam kerahmatan, Islam menyeru agar manusia sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan mendapatkan kebaikan di dunia ini sebanyak-banyaknya mengikut garis panduan yang ditetapkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Usaha kerja untuk mencari yang halal itu diwajibkan atas setiap orang Islam.” Islam juga memberi ruang dan peluang yang sangat luas kepada manusia untuk mempertingkatkan mutu kehidupan dengan persaingan yang sesuai dengan tabiat manusia. Ibn Khaldun (1332-1395) menjelaskan sifat manusia yang hidup bermasyarakat. Mereka hidup saling memerlukan untuk melangsungkan kehidupan, memperbaiki keselesaan hidup serta memajukan diri untuk mencapai sesuatu hasrat dan matlamat.

Rasulullah SAW sebagai Pembangun Ummah




Mengimbas kembali sejarah pembukaan Kota Yathrib sebagai Madinah al-Munawarah (Bandar bercahaya), kita menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW  berupaya mengetengahkan penempatan yang dipenuhi dengan cahaya tamadun ummah yang gilang-gemilang. Baginda memperlihatkan contoh kepimpinan yang baik sehingga mampu menarik orang bukan Islam untuk menerima Islam dan mengaplikasikan sistem Islam dalam kehidupan mereka bersama-sama orang Islam.

Rasulullah SAW telah menumpukan dakwahnya kepada pembinaan keperibadian umat dengan asas akidah bagi membentuk manusia yang cemerlang. Baginda menegaskan bahawa asas pembinaan sesebuah Negara yang maju dan bertamadun ialah dengan agama yang mampu menjadi budaya hidup masyarakat sejagat dan melalui contoh kepimpinan yang baik.

Rasulullah SAW memperkenalkan Islam sebagai agama yang membawa amanah        ke atas manusia dalam pengurusan pembangunan bumi mengikut prinsip dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah 2 ayat 143 yang bermaksud, “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Oleh itu, bagi menunaikan amanahnya, Rasulullah SAW telah membangun nilai kemanusiaan dalam diri manusia untuk menyempurnakan akhlak mereka berbanding makhluk lain. Akhlak manusia yang sempurna meliputi keseluruhan cara hidup iaitu corak pemikiran, perbuatan, sosial, ekonomi, politik, muamalat dan ekologinya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak manusia.” (Riwayat Ahmad, Hakim, Baihaqi dan Abu Hurairah).

Rasulullah SAW telah menyempurnakan akhlak manusia apabila tauhid dan takwa berupaya membentuk keperibadian manusia. Akidah yang kukuh terhadap keesaan Allah SWT mampu mengubah corak hidup manusia dari kejahilan kepada cahaya yang mampu membimbing manusia mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat 6-7 yang bermaksud, “Pimpinlah kami ke jalan yang benar, iaitu jalan orang yang menerima kenikmatan, bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang yang sesat.”

No comments:

Post a Comment