Monday, January 28, 2013
AL-QURAN MENUNJUKI SEMUA UMAT MANUSIA KE JALAN YANG TERANG
Al-Quran Menunjuki Semua Umat Manusia Ke Jalan Yang Terang
Al-Quran merupakan mukjizat, kitab suci dan Kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan kita Baginda Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.
Di dalamnya mengandungi peristiwa-peristiwa umat-umat terdahulu yang menyentuh pelbagai sudut kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi ummah bertamadun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud:
“Alif, Laam, Raa’. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu, supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin tuhan mereka, (iaitu) jalan menuju Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”
Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru, Rasulullah SAW menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan isi al-Quran keseluruhannya serta mendalami dan meneroka segala isi kandung yang ada dalam al-Quran. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)
Sejarah membuktikan bahawa para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu magrib secara beramai-ramai. Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Namun persoalan besar timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qurani. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.
Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik. Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan.
Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula pada masa depan. Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan menjadi pedoman untuk kehidupan masa kini.
Al-Quran bukan saja menggesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akal dalam melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dunia ini, malah mengajak umatnya menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment