Thursday, January 24, 2013
MAULIDUR RASUL - LAHIRNYA PERINTIS PERADABAN MANUSIA
Lahirnya perintis peradaban manusia
(Kata Umum Ma’bad: “Aku melihat seorang lelaki tampan dan menarik. Mukanya cerah dan tingkah lakunya amat menarik. Badannya tidak terlalu kurus dan tidak pula terlalu gemuk, tetapi tampan dan mempunyai susuk tubuh yang seimbang. Matanya berwarna hitam dan bulu matanya panjang. Suaranya kuat tetapi tidak keras.
“Anak matanya sangat hitam dan bola matanya sangat putih. Alisnya tidak terlalu terpisah dan tidak pula bercantum di antara kedua-duanya, tetapi dipisahkan oleh rerambut yang halus. Hujung bulu matanya tajam, rambutnya berwarna hitam pekat, janggutnya lebat dan lehernya jenjang.
“Apabila diam dia tenang dan bila bercakap suaranya bergema seakan-akan memenuhi kawasan sekeliling. Ucapannya seperti aliran rangkaian mutiara, lebut dan jelas. Dia tidak pendiam dan tidak pula banyak bercakap.
“Jika didengar dari jarak jauh, suaranya lantang tetapi sedap didengar dan jika dari jarak dekat suaranya lembut dan lunak. Dia mendapat penghormatan serta penghargaan tinggi daripada para sahabat dan selalu dikelilingi serta melaksanakan perintahnya secepat mungkin.”)
12 Rabiulawal menjelma lagi. Umat Islam di seluruh pelosok dunia menyambut hari keputeraan Nabi Junjungan Rasulullah s.a.w atau disebut Maulidur Rasul bagi memperingati hari yang bersejarah ini. Malah, menjadi lumrah umat Islam pada setiap tahun mengadakan majlis ini bagi melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t di atas nikmat-Nya (Rasulullah s.a.w.) yang tiada ternilai harganya.
Dengan itu wajar diadakan majlis dan beberapa siri coretan sirah Rasulullah s.a.w sepanjang perjalanan baginda dalam menyebarkan risalah Allah s.w.t.
Retrospektif lintasan sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w (12 Rabiulawal 570 M) di tengah-tengah keluarga bangsawan – Bani Hasyim daripada kaum Quraisy dapat diketahui bahawa kehidupan penduduk Semenanjung Arab ketika itu tersepit di tengah-tengah kekuasaan empayar Rom di barat daya dan Parsi di timur laut.
Amat teristimewa sekali kerana Semenanjung Arab terletak di tengah-tengah peta dunia. Walaupun yang keadaan demikian, kebanyakan mereka hidup secara berpindah randah mengikuti kabilah masing-masing dan sering terlibat dalam pertentangan di antara kabilah.
Dari segi politik, mereka tidak mempunyai pengaruh sama sekali walaupun kedua-dua empayar ini tidak pernah menduduki Arab, malah jauh sekali menyerang penduduknya.
Pada ketika itu memperlihatkan betapa manusia berada dalam kegelapan dan kemungkaran dengan melupai kepada agama nenek moyang mereka, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Mereka telah mula menyembah monumen (berhala) dan tenggelam dengan fahaman syirik (mempersekutukan Allah) di dalam Rumah Allah s.w.t, iaitu Kaabah. Malah ajaran Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s telah mula pudar dan berubah dengan mencampurkan ajaran lain ke dalam ajaran mereka yang sebenar.
Ketika kelahiran Nabi Junjungan, terjadi beberapa perkara dengan terpadamnya api di Parsi yang menyala bertahun-tahun dan tumbangnya beberapa monumen (berhala). Amat pilu sekali apabila bapanya meninggal dunia sebelum Baginda dilahirkan dan mengikut tradisi bangsawan Mekah, Baginda telah dibawa oleh ibu angkatnya Halimah ke kampungnya dan tinggal untuk beberapa tahun yang kemudiannya diserahkan kembali kepada ibunya.
Bagaimanapun, ibu Baginda pula wafat ketika membawa Baginda pulang dari Madinah ke Mekah lalu dibawa oleh seorang hamba perempuan Ummu Aiman dan dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib yang meninggal dunia ketika Baginda berusia lapan tahun.
Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w amat sederhana dengan mengembala biri-biri di sekitar Mekah. Walaupun masih kanak-kanak Baginda tidak mempunyai sikap nakal seperti kanak-kanak yang lain malah seorang yang tenang dan berakhlak tinggi.
Bapa saudaranya amat menyayanginya dan ketika menemani bapa saudarannya berdagang ke Syam (Syria), mereka bertemu dengan seorang pendita Kristian yang dikenali sebagai Bahira yang memberitahu bapa saudara Baginda bahawa anak saudaranya itu akan dilantik menjadi Rasulullah dan menasihatkan agar Baginda dijaga dengan baik.
Kebaikan dan kebenaran Rasulullah s.a.w terus terserlah dan diketahui ramai di kalangan sahabatnya serta orang ramai di kota Mekah. Tanggapan umum terhadapnya sebagai pemuda yang baik dan terpuji telah tersebar dan orang Mekah menggelarkannya sebagai al-Amin dan al-Siddiq.
Sebagai pemuda, baginda bergerak cergas untuk membentuk suatu persetujuan di kalangan kabilah Mekah bagi mengekalkan keamanan dan menghapuskan kekerasan, juga mempertahankan hak golongan yang lemah, miskin dan melarat yang dikenali sebagai persetujuan Gencatan Senjata (Hilf al-Fadul).
Dunia ini pernah menyaksikan orang-orang ternama yang mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang tertentu. Sebahagian mereka meninggalkan nama dalam catatan sejarah. Raja-raja besar, pahlawan-pahlawan, juara-juara, ahli-ahli falsafah, pencipta undang-undang dan berbagai-bagai lagi muncul di pentas dunia.
Sebahagian mereka mungkin mempengaruhi beberapa aspek kehidupan manusia dengan cara dan gaya yang tersendiri. Ini disebabkan tiada ajaran atau falsafah yang tinggi yang boleh memberi inspirasi sepanjang zaman tanpa disertai contoh peribadi daripada para rasul. Tidak dapat dinafikan bahawa peribadi seorang guru dan keupayaannya untuk menghasilkan contoh praktikal sebagai sumber kepada orang ramai adalah sangat perlu bagi mencapai sesuatu kejayaan.
Tidak dapat ditolak kebenarannya hanya Rasulullah s.a.w sahaja manusia yang mempunyai catatan kehidupan yang lengkap sepenuhnya. Daripada detik kelahiran sehinggalah kewafatannya. Kehidupan Rasulullah s.a.w merupakan contoh yang lengkap untuk diikuti manusia bagi mencapai kebaikan dan kejayaan dalam kehidupan berkelompok atau individu. Al-Quran menggambarkan keperibadian manusia yang ternama (Rasulullah s.a.w) ini dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.” (al-Qalam : 4)
Ini jelas terbukti apabila isteri Baginda Aishah dan ramai sahabat termasuk Anas dan Ali mengatakan bahawa Baginda sangat berbudi bahasa dalam tatacara percakapannya dengan sesiapa sahaja. Baginda sentiasa gembira dan tersenyum. Abu Ishaq pernah meriwayatkan bahawa al-Bara telah ditanya, adakah muka Rasulullah s.a.w berkilau seperti pedang? Beliau menjawab : “Tidak, tetapi terang seperti bulan.”
Abdullah bin Amru pula mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menggunakan bahasa yang tidak sopan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Begitu juga apabila Baginda berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak pernah menarik tangan baginda sebelum orang itu menarik tangannya terlebih dahulu. Malah apabila berada dalam satu-satu majlis bersama-sama para sahabat, baginda duduk tanpa meninggalkan sebarang ruangan di antara Baginda dengan mereka dan keadaan ini telah berlaku apabila orang luar datang untuk berbincang, mereka tidak mengenali Rasulullah s.a.w yang berada bersama para sahabat.
Kejernihan hati baginda juga dapat dilihat apabila Saidina Ali bin Abu Talib meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berhutang beberapa dinar kepada seorang tabib Yahudi yang meminta bayaran daripada Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda memberitahu: “Aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada engkau,” Yahudi itu menjawab: “Aku tidak melepaskan engkau hai Muhammad, sehingga engkau membayar hutangmu kepadaku.” Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalau begitu aku akan tinggal bersamamu”. Lantas para sahabat mengancam dan mengugut Yahudi tersebut dan perkara ini telah disedari oleh Rasululah s.a.w Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Yahudi ini menjadikan engkau sebagai hambanya?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Tuhanku melarang aku daripada memungkiri janji terhadap seseorang.” Dan apabila matahari telah meninggi, muncul Yahudi tadi lalu berkata: “Aku mengaku bahawa engkau adalah Rasulullah. Separuh daripada hartaku akan ku serahkan kepada jalan Allah. Aku bersumpah di hadapan Allah bahawa tujuanku mengugut engkau (Rasulullah) supaya aku dapat bertemu dengan apa yang diceritakan.”
Inilah sedikit coretan kerhidupan Rasulullah s.a.w yang kudus dan perlu menjadi tauladan kepada umat Islam agar dapat merentasi akhlak secara zahir dan spiritualisme.
Kini dunia memperlihatkan betapa pudarnya keruntuhan akhlak tanpa mengikut landasan yang sebenarnya. Malah sering menimbulkan perbalahan antara kita bagi menyambut hari keputeraan tersebut. Apa yang penting kehadiran kelahiran Rasulullah s.a.w perlu dihormati oleh umat Islam sama ada ingin menyambut hari keputeraan baginda atau pun tidak.
Selagi ia tidak melanggari etika Islam atau tidak melibatkan pembaziran ianya tidak harus dipersoalkan. Malah bersalawat kepada Rasulullah s.a.w amat digalakkan. Dengan adanya hari menyambut keputeraan baginda, sudah pasti mengingatkan kita kepada baginda betapa besarnya jasa Rasulullah s.a.w bagi merintis kepercayaan bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu Allah s.wt dan pesuruh-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment