MEMBANGUN MASYARAKAT MALAYSIA
Membangun modal insan secara bersepadu
Faktor penjanaan modal insan merupakan sebahagian dari instrumen penting dalam merangka sebuah Negara yang maju dan seimbang. Islam menganjurkan agar umat Islam menjaga dan memelihara segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di muka bumi ini daripada sebarang kerosakan sebagai tanda bersyukur.
Manusia perlu berusaha dalam kehidupannya untuk mencapai kesejahteraan (al-falah) dan hasanah mengikut acuan yang ditetapkan oleh al-Quran. Manifestasi kepada kemurnian akidah tauhid yang dipegang oleh umat Islam merupakan lambang kebebasan umat Islam dan menjadi sumber kekuatan yang hakiki serta mampu memberi ketenangan yang hakiki dalam diri manusia.
Oleh itu, Islam melihat elemen kerohanian ini merupakan perkara yang diberi penekanan dalam usaha membangun modal insan yang diinginkan, sesuai dengan fungsi kejadian manusia diciptakan di dunia ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al- Zariyat 51 ayat 56 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”
Melalui ibadah, manusia akan memperolehi kemuliaan, kebesaran dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Penguasaan rohani yang mantap sebagaimana dicorakkan oleh Islam ini mampu menghasilkan momentum yang efektif untuk membangun modal insan seterusnya membina peradaban manusia.
Nilai akhlak merupakan momentum terhadap pelaksanaan ibadah dan penguasaan rohani manusia. Ia merupakan asas yang penting untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Malah pembentukan akhlak ini menjadi objektif utama dalam aktiviti dakwah Rasulullah SAW ketika diutuskan di muka bumi ini. Keperibadian baginda yang unggul merupakan contoh ikutan umatnya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al Imran,3 ayat 110 yang bermaksud, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
Walau bagaimanapun pembangunan kerohanian sahaja tidak memadai andai umat Islam terus mundur dari aspek pembangunan fizikal. Oleh itu, pembangunan modal insan akan sempurna dan lengkap dengan adanya pelaksanaan secara bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan spiritual.
Rasulullah SAW sendiri telah membangun modal insan di Makkah sehinggalah ke Madinah. Jika di Makkah, baginda memberi penekanan terhadap pembangunan kerohanian iaitu pengukuhan akidah dan akhlak, manakala di Madinah baginda mula membangunkan dari aspek fizikal iaitu membangun politik, ekonomi, pentadbiran dan pelaksanaan syariat Islam. Kedua-dua aspek ini dibangunkan secara bersepadu sehingga menjadi agama yang mulia dan gemilang serta berkembang hingga ke hari ini.
Membangun kebaikan
Penghayatan nilai baik dalam diri manusia memperlihatkan kesediaan manusia untuk berubah. Sejarah silam telah membuktikan keruntuhan dan kebangkitan sesuatu masyarakat berkaitan dengan perubahan kepada nilai, budaya dan pelaksanaan amal kebaikan dan kebenaran. Allah berfirman dalam Surah al-Ra’d, 15 ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Melalui ayat tersebut, manusia diberi kebebasan untuk menentukan corak hidup mereka sesuai dengan fitrah kejadiannya. Telah terpikul di bahu mereka beban dakwah untuk memperkasakan kebaikan dan memakmurkan muka bumi ini mengikut fitrah kehidupan manusia selaras dengan panduan yang diberikan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah berfirman dalam Surah Hud, ayat 61 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta mengkehendaki kamu memakmurkan bumi ini.”
Membudayakan gaya hidup Islam yang sifatnya rahmatan lil-alamin
Perkara utama untuk membangun kebaikan dalam diri manusia ialah menggerakkan masyarakat berdasarkan matlamat dakwah yang ingin dicapai. Matlamat dakwah terhadap umat Islam ialah untuk melahirkan masyarakat Islam yang berkualiti supaya menjadi contoh ikutan sebagaimana ketinggian agamanya. Manakala matlamat dakwah terhadap masyarakat bukan Islam ialah untuk mencapai kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat melalui Islam.
Dakwah Islam dilaksanakan bagi membina diri manusia supaya layak menjadi anggota masyarakat yang dapat menjalankan tugas dengan baik. Ia mampu membina ketinggian sahsiah, akhlak dan jatidiri ummah dan menyerlahkan sifat gaya hidup Islam yang rahmatan lil-alamin. Allah SWT berfirman dalam Surah al-maidah ayat 16 yang bermaksud, “Dengan (al-Quran) itu, Allah SWT menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan lurus.”
Perancangan yang jelas ke arah melahirkan masyarakat yang sempurna agamanya
Tugas menyampaikan dakwah bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan perancangan yang teratur dan sistematik agar sesuai dan diterima oleh sasarannya. Menurut Abdul Karim Zaydan, menyampaikan dakwah umpama seorang doktor yang sedang memberi ubat kepada pesakitnya. Seseorang pendakwah perlu mengetahui apakah penyakit yang dihidapi oleh sasarannya untuk menentukan jenis ubat atau metode penyampaian dakwah yang sesuai.
Oleh itu, perancangan yang jelas perlu disusun bagi membentuk masyarakat Islam yang mampu mengaplikasikan budaya Islam dalam kehidupannya secara keseluruhan dan sempurna serta mampu mengajak orang bukan Islam untuk bersama-sama hidup dalam sistem Islam tanpa mengganggu adat dan pelaksanaan agama mereka. Allah berfirman dalam Surah an-Nahl, ayat 125 yang bermaksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan berbincanglah dengan cara yang paling sesuai.”
Berdasarkan ayat tersebut, umat Islam diarahkan supaya menggunakan pendekatan yang tertentu. Ia digunakan bertujuan untuk menonjolkan kelebihan yang ada dalam Islam untuk memberi rasa kagum sasarannya agar menghormati umat Islam sebagai masyarakat yang mempunyai ketinggian ilmu dan kemurnian akhlak yang baik.
Mencegah keburukan
Selain membangun kebaikan, Islam juga tidak mengetepikan soal pencegahan kepada perkara keburukan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana keburukan atau kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat sama ada yang dilakukan oleh umat Islam mahupun orang bukan Islam boleh menjejaskan kemakmuran Negara dan mengganggu budaya hidup masyarakat keseluruhannya.
Kehidupan di dunia ini banyak menimbulkan fitnah, jika masyarakat terlalu mengutamakan keduniaan. Oleh kerana sifat fitrah manusia yang suka mengagungkan hal keduniaan, telah mengakibatkan mereka alpa dan memandang ringan peringatan dan pengajaran yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran. 3 ayat 14 yang bermaksud, “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pihak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).”
Kedegilan dan kedangkalan manusia untuk memahami petunjuk daripada al-Quran telah menyebabkan manusia bersifat materialistic sehingga menyebabkan potensi nilai-nilai insaniah terhakis dan meletakkan mereka kepada tempat yang hina, penuh dengan penindasan, dan melahirkan budaya yang negatif, bertentangan dengan akhlak Islam. Situasi ini menjadikan kehidupan masyarakat menjadi pincang kerana gagalnya manusia membina hubungan yang harmoni antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan haiwan.
Sehubungan dengan itu, al-Quran memberi petunjuk agar pencegahan kepada kemungkaran itu dilaksanakan serentak dengan suruhan melaksanakan kebaikan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, 3 ayat 110 yang bermaksud, “Kamu adalah sebaik-baik umat, yang dilahirkan untuk faedah seluruh manusia, kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat salah.”
Pencegahan Melalui Penguatkuasaan
Kita melihat kerosakan yang berlaku dalam masyarakat ialah apabila manusia mengabaikan islah rabbani sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Kesannya telah mengakibatkan pelbagai jenis penyakit sosial yang membantutkan usaha pembangunan Negara.
Islam juga memberi kebebasan kepada manusia untuk melaksanakan tugas pengurusan kehidupan mereka mengikut kebijakan mereka. Isu-isu yang berkaitan dengan soal kehidupan dan pembangunan Negara merupakan persoalan yang perlu ditangani mengikut akal yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Islam hanya memberi garis panduan agar mereka tidak melakukan perkara yang di luar batasan.
Oleh itu, pencegahan terhadap kemungkaran yang berlaku boleh dilaksanakan melalui penguatkuasaan sama ada melalui sistem undang-undang sivil mahupun undang-undang syariah. Allah berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud, “Dan persiapkanlah untuk menentang mereka semampu kamu dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan mereka.”
Persiapan yang dimaksudkan dalam ayat ini walaupun khusus untuk persiapan menghadapi musuh Islam, ia juga boleh ditujukan untuk persiapan menghadapi bentuk kemungkaran yang timbul dalam masyarakat yang boleh menjejaskan kemuliaan Islam. Simbol pasukan berkuda ialah pasukan penguatkuasa yang mempunyai kemampuan dari segi tenaga dan pemegang undang-undang untuk melaksanakan pencegahan mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Negara.
Contohnya pencegahan rasuah, iaitu penyakit masyarakat yang boleh meruntuhkan sesebuah Negara. Islam memandang berat gejala rasuah dengan mengharamkan perbuatan dan pengamalannya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” Amalan rasuah ini boleh menimbulkan krisis keyakinan dan merosakkan struktur masyarakat keseluruhan. Oleh itu, undang-undang Negara telah memperuntukkan Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 bagi membendung kemungkaran ini melalui penguatkuasaan yang tegas dari Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pencegahan melalui Peranan khalifah
Allah SWT menciptakan manusia dengan keistimewaan kerana dikurniakan daya pemikiran dan daya kreativiti sehingga mengatasi makhluk yang lain. Oleh kerana kelebihan yang ada dalam diri manusia berbanding makhluk yang lain, terletak juga dalam diri manusia satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan, sesuai dengan peranannya menjadi sebaik-baik kejadian. Allah berfirman dalam Surah al-Mukminun, 23 ayat 115- 116 yang bermaksud, “Apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya mencipta kamu main-main sahaja tanpa sebarang hikmah dan tujuan, dan selepas itu kamu pula menyangka bahawa tidak akan dikembalikan kepada Kami untuk menerima balasan? Maha Tinggi Allah dengan segala kesucian dan kesempurnaan-Nya yang menguasai seluruh alam lagi Maha Benar, yang tiada tuhan melainkan Dia yang mempunyai ‘Arasy yang mulia, bahawa Dia tidak sekali-kali melakukan sesuatu dengan sia-sia tanpa tujuan hikmahnya.”
Untuk melaksanakan misi penciptaan Allah SWT ini, manusia telah diberikan tugas istimewa iaitu sebagai khalifah di bumi ini dengan tanggungjawab yang ditentukan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, 6 ayat 165 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu amatlah segera azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia amat pengampun lagi amat pengasih.”
Ayat di atas menjelaskan tanggungjawab yang dipikul oleh manusia sebagai khalifah ialah untuk mendirikan agama sebagai cara meninggikan darjat manusia dan memakmurkan bumi ini sebagai cara mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dirikan agama
Iqamah al-din merupakan tugas yang memberi kesan kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat. Oleh kerana tugas khalifah adalah tugas setiap manusia, maka setiap orang berperanan menjadi penggerak dan penentu hala tuju serta matlamat kehidupan masyarakat yang didokonginya.
Mereka bertanggungjawab membangunkan akidah, syariah dan akhlak Islam serta menghayatinya. Pemahaman dan penghayatan yang seimbang ketiga-tiga aspek tersebut akan melahirkan penyatuan umat melalui ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
Ruang lingkup kefahaman dan penghayatan tersebut perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim, ahli keluarganya, masyarakat keseluruhanya dan oleh pemerintah. Pelaksanaan secara menyeluruh dalam sesebuah ummah akan melahirkan masyarakat yang sentiasa berada dalam kebaikan dan reda Allah SWT.
Makmurkan bumi
Manusia juga diciptakan untuk memakmurkan bumi (imarah al-ard). Manusia diberi kebebasan untuk melaksanakan kehidupan keduniaan mereka melalui pelaksanaan keadilan yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam pelbagai perkara seperti bidang politik dan pentadbiran Negara, bidang ekonomi, perundangan, sains dan teknologi, sosial, pendidikan, kebajikan dan sebagainya.
Peraturan kehidupan yang berkait dengan diri mereka yang dilaksanakan hasil dari perbincangan dan matlamat yang ingin dicapai bersama menjadikan tugas sebagai khalifah begitu mencabar. Namun begitu, keupayaan manusia untuk berfikir dan berdaya kreatif mampu menghasilkan penyelesaian yang memberangsangkan. Jika daya fikir dan kreativiti mereka berada dalam landasan syariah Islam yang bertunjangkan akidah, syariah dan akhlak Islam, mereka akan menghasilkan tindakan dan keputusan yang memberi kebaikan kepada ummah seluruhnya, Sebaliknya jika keputusan dilakukan oleh golongan yang berkepentingan dan bertindak mengikut hawa nafsu, akan berlaku penindasan dan keburukan dalam kehidupan masyarakat.
Oleh sebab itu, tugas khalifah untuk mencapai matlamat kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, sering berhadapan dengan pelbagai halangan iaitu halangan dalaman dan halangan luaran.
Halangan dalaman terjadi dalam diri manusia itu sendiri apabila manusia mempunyai kecenderungan untuk menerima keburukan dan kebaikan. Kecenderungan kepada keburukan yang ada dalam diri manusia akan menghalang kepada usaha kebaikan. Allah berfirman dalam Surah al-Syams, 91 ayat 8 yang bermaksud, “maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.”
Syaitan pula yang sentiasa menunggu peluang untuk melalaikan dan menyesatkan umat manusia merupakan halangan yang paling licik kerana ia sentiasa memujuk manusia kepada keburukan dan kemungkaran. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, 4 ayat 60 yang bermaksud, “Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan orang yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
Halangan luaran pula berlaku di persekitaran manusia itu sendiri. Terdapat golongan manusia yang berusaha untuk menolak agama Allah dan berusaha untuk melenyapkan agama tersebut. Mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat mereka termasuk menggagalkan sistem pemerintahan (khalifah) yang didirikan atas nama Islam. Allah berfirman dalam Surah al-taubah, 9 ayat 32 yang bermaksud, “Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah menolaknya, malah Berkehendak menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang kafir itu tidak menyukainya.”
Persekitaran negatif juga merupakan halangan dalam melaksanakan tugas kekhalifahan. Kini kita lihat pelbagai maklumat negatif dipaparkan dalam media massa. Pusat-pusat hiburan dan pusat permainan yang melalaikan telah mendapat tempat di hati pemuda-pemudinya. Malah pengaruh keseronokan dunia (hedonism) ini telah memperdayakan kehidupan manusia hingga menghalang pelaksanaan tugas khalifah.
No comments:
Post a Comment