Saturday, January 19, 2013

1 MALAYSIA, 1 UMMAH - KEPERLUAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK


KEPERLUAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Pergaulan dan perhubungan dalam pelbagai keyakinan, kepercayaan, cara hidup dan pegangan ini merupakan satu kehidupan yang kompleks dan memerlukan satu panduan asas untuk memelihara hubungan tersebut demi menjaga keamanan dan kestabilan Negara. Nilai-nilai agama yang dianuti oleh setiap bangsa perlu dipupuk dan diamalkan oleh masyarakat bagi mewujudkan kesederhanaan, toleransi, kesefahaman, hormat-menghormati, kesabaran, keamanan dan perpaduan. Nilai-nilai itu tercetus dari akar tradisi setiap bangsa dan semua kaum yang mampu mewujudkan kekuatan perpaduan masyarakat Malaysia.

Setiap sentimen agama perlu dikawal agar tidak merosakkan hubungan yang sekian lama dijalin. Isu-isu agama yang pernah wujud boleh mempengaruhi kestabilan dan perpaduan Negara dan mengancam keamanan Negara jika tidak dibendung secara matang dengan fikiran yang waras. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan pengajaran paling pahit kepada kita untuk memikirkan tentang perlunya perpaduan kaum ini diwujudkan dalam Negara yang mempunyai masyarakat majmuk ini.

Perpaduan

Perpaduan merupakan isu yang boleh dilihat dari pelbagai dimensi. Peranannya merangkumi sistem nilai, psikologi, perasaan, sikap, pemikiran dan tingkah-laku setiap individu. Faktor agama pula bertindak sebagai pencorak dalam mengaplikasikan unsur-unsur tersebut dalam kehidupan masyarakat.

Terdapat lima tamadun besar yang berkembang di Malaysia iaitu Tamadun Melayu, Tamadun India, Tamadun Cina, Tamadun Barat dan Tamadun Islam.  Kesemua tamadun ini bergerak dan membina pengaruhnya dalam kehidupan bangsa yang mendokonginya. Ia bukan sahaja membentuk struktur pemikiran dan kebudayaan pelbagai kaum tersebut bahkan telah membentuk perspektif moral dan kepercayaan mereka.

Walaupun mempunyai kepelbagaian dari segi ideologi, kepercayaan, kebudayaan dan tradisi sesuatu bangsa, kita melihat adanya persamaan dari aspek nilai dan norma  yang boleh dikongsi bersama bagi memupuk perpaduan. Garis persamaan yang terdapat antara seorang manusia dengan manusia yang lain walau berbeza agama ini jika ditekankan akan mampu mencapai dan mempertingkatkan nilai perpaduan dalam masyarakat. Antara nilai-nilai yang ada adalah sikap toleransi, sikap bersederhana, berkasih-sayang dalam hubungan kemanusiaan, dan kemesraan.

Hubungan kasih-sayang dan bersederhana dalam kehidupan contohnya merupakan aspek nilai yang wujud dalam setiap kebudayaan bangsa. Setiap agama telah mengajarkan etika hubungan sesama manusia yang menekankan kesederhanaan dan nilai kasih sayang untuk semua manusia. Malah sifat ini akan melahirkan sifat tolong-menolong, suka melakukan amal kebajikan dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Islam juga melihat perhubungan sesama manusia sebagai sebahagian daripada ibadat. Dasar perhubungan antara manusia ditekankan dalam mewujudkan persaudaraan, bekerjasama dan sikap saling bantu-membantu. Permusuhan, konflik dan persaingan yang tidak adil perlu dibendung untuk mengelakkan pertelagahan bagi mengukuhkan perdamaian dalam hubungan antara manusia (hablum min al-nas). Ini kerana semua manusia itu adalah makhluk yang berpunca dari penciptaan yang sama iaitu Adam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai manusia! Allah telah menghapuskan rasa besar diri yang dipertahankan oleh sesetengah orang di zaman Jahiliyah dan telah membasmikan sebarang penonjolan ketinggian martabat yang disandarkan kepada keturunan. Sesungguhnya hanya dua jenis manusia sahaja: orang yang baik disanjung oleh Allah dan orang yang jahat yang dihina di sisi Allah. Semua manusia adalah anak Adam dan Allah telah menjadikan Adam daripada tanah liat.”

Konsep kenal-mengenal antara manusia yang pelbagai bangsa dan kaum merupakan dasar pemupukan perpaduan kerana di dalamnya terkandung nilai kebebasan beragama, hak untuk menikmati keselamatan, keadilan, dan perundingan. Persamaan nilai ini merupakan prinsip yang universal dan semua kaum menerimanya serta mampu dijadikan asas untuk memupuk perpaduan.

Toleransi

Toleransi merupakan amalan dan persiapan masyarakat Malaysia untuk bersedia hidup bersama dalam keadaan aman damai. Toleransi dalam konteks bangsa dan agama bererti setiap ahli masyarakat berhak untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian, dan melaksanakan ajaran agama masing-masing serta mengamalkannya tanpa halangan. Semua penganut agama di sisi undang-undang Negara adalah sama.

Rasulullah SAW ketika berpindah ke Madinah berhadapan dengan pelbagai bangsa dan agama.  Umat Islam ketika itu merupakan golongan minoriti sementara golongan bukan Islam yang terdiri dari orang Yahudi, Arab Kristian dan Arab Musyrik adalah golongan majority. Nabi Muhammad SAW yang dilantik sebagai pemimpin tidak memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam. Tetapi mereka diajak untuk hidup bersama secara aman dan damai, tanpa sebarang kezaliman dan penindasan. Situasi ini menunjukkan tentang sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah apabila baginda berjaya menawan kembali Mekah, penduduk-penduduk Mekah juga tidak dipaksa memeluk agama Islam malah boleh meneruskan kehidupan seharian mereka tanpa sebarang halangan.

Islam tidak melarang masyarakat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang lain selagi mereka tidak memerangi umat Islam kerana agama. Al-Quran menjelaskan bahawa peperangan dan penentangan yang dibenarkan dalam Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, kehormatan, harta, keturunan dan agama sahaja. Perkara ini ditekankan dalam Surah al-Haj 22 ayat 39 yang bermaksud, “Diizinkan berperang bagi orang Islam yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan), iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar semata-mata kerana berkata, “Tuhan kami ialah Allah” Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kristian) dan tempat sembahyang (Yahudi) dan Masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah di dalamnya dan sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang menolong agamanya (Islam) sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa.”

Sifat tasammuh yang ada dalam Islam tidak semata-mata merujuk kepada toleransi yang dinyatakan. Ia memberi maksud memberi dan menerima. Dengan erti kata lain, Islam tidak menghalang manusia untuk menerima pendapat dan pendirian orang lain serta tidak menyekat kebebasan manusia untuk berfikir dan berkepercayaan. Islam amat mementingkan sikap toleransi sebagai menunjukkan sikap keterbukaan dalam mendengar pandangan yang berbeza serta bebas juga mengemukakan pandangan selagi tidak menjejaskan pegangan agama masing-masing dalam ruang lingkup yang dipersetujui bersama.

Sifat toleransi ini merupakan syarat bagi setiap ahli masyarakat majmuk yang menginginkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila wujud interaksi dan persefahaman yang baik dalam kalangan masyarakat beragama dan berlainan budaya ini, ia akan membentuk masyarakat yang harmonis. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut 29 ayat 46 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik.”

Orang Islam di Malaysia sudah menunjukkan sikap toleransi sejak pembentukan Perlembagaan 1957. Sifat tolak ansur dan persefahaman antara kaum telah membentuk sebuah Negara yang bersatu padu dengan syarat kerakyatan yang longgar kepada warga bukan Melayu dan keistimewaan orang Melayu mengikut perlembagaan sejajar dengan hakikat orang Melayu sebagai tuan Negara ini. Tolak ansur dan kelonggaran kerakyatan merupakan keuntungan yang besar kepada pihak bukan Melayu kerana selepas setahun Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, seramai 800,000 orang bukan Melayu telah diterima sebagai warganegara.

Sikap toleransi di kalangan orang Melayu terus diamalkan apabila orang bukan Melayu juga diberi ruang dan peluang untuk bergerak aktif dalam politik dan ekonomi Negara. Hal ini mewujudkan keseimbangan antara kaum dan mewujudkan kesamarataan sosial serta melahirkan sifat perlumbaan secara adil serta mengurangkan diskriminasi dan konflik antara kaum yang ada. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu berpegang teguh kepada asas persetujuan ini dan sentiasa menanamkan nilai faham-memahami dan hormat-menghormati.

Persefahaman dan sifat hormat-menghormati

Masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai pelbagai adat dan budaya yang tersendiri. Kepelbagaian adat dan budaya ini menjadikan Malaysia menjadi Negara yang istimewa sama ada dari aspek berpakaian, makanan, pantang –larang dan cara hidup serta amalan keagamaan. Oleh itu, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan dengan murni dan bebas, setiap kaum dan bangsa perlu kepada saling memahami keperluan masing-masing.

Persefahaman dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama ini adalah penting untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan kaum. Sensitiviti setiap agama dan bangsa perlu didedahkan agar masing-masing faham-memahami tuntutan agama masing-masing dan pantang larang adat kaum masing-masing. Pendedahan ini boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, media dan berdialog mengikut batas-batas yang tertentu.

Allah berfirman dalam Surah al-Muntahanah, 60 ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu: kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Ayat di atas memperlihatkan bagaimana Islam amat mementingkan hubungan antara manusia walaupun dengan orang yang bukan Islam sebagai cara mewujudkan keamanan Negara. Malah sikap adil dalam kehidupan ini merupakan aspek nilai sejagat yang perlu dikongsi bersama tanpa mengira agama dan bangsa.

Semua masyarakat di Malaysia ini perlu memberi ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi berbincang mengenai nilai-nilai agama masing-masing. Mereka perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama dalam masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam. Umat Islam sendiri tidak seharusnya memencilkan diri untuk berbincang tentang Islam hanya dalam kalangan umat Islam sahaja. Pendedahan terhadap nilai-nilai Islam perlu dijelaskan bagi membantu orang bukan Islam memahami nilai-nilai Islam yang universal itu dan menghormatinya sebagai agama rasmi Negara.

Secara kesimpulannya rakyat Malaysia  yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan negara. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

No comments:

Post a Comment