Wednesday, January 16, 2013

MENGENALI SUMBER AGAMA ISLAM


Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Apabila kita berbicara tentang agama, kita tidak dapat lari daripada membacakan ayat-ayat Allah SWT dan hadis-hadis Nabi SAW. Itu merupakan sikap baginda SAW, sikap para sahabat RA, serta sikap para ulama-ulama ASWJ sejak zaman-berzaman hinggalah ke Hari Kiamat. Bermakna seseorang yang ingin membicarakan tentang agama mestilah membawakan dalil, mestilah ada bersamanya nas-nas berdasarkan atau bersumberkan daripada Al-Qur’an dan as-Sunnah.



Di dalam al-Qur’an Allah SWT telah berfirman dan menunjukkan dengan jelas Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Merujuk kepada Tafsir Ibnu Katsir, maksud “kembalikanlah kepada Allah dan Rasul” di dalam ayat di atas adalah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dan ini merupakan dalil yang paling kuat yang menunjukkan bahawasanya Al-Quran dan As-Sunnah merupakan sumber asas di dalam Islam.

Al-Ijma’

Manakala sumber asas yang ketiga iaitu Al-Ijma’ berdalilkan firman Allah SWT di dalam ayat berikutnya, maksudnya: “Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan selain jalan orang-orang yang beriman, Kami biarkan ia di atas kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah An-Nisaa, 4:115)

Merujuk kepada Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu ‘Abbas RA berkata yang diertikan dengan perkataan الْمُؤْمِنِينَ (orang-orang beriman) di dalam ayat tersebut adalah Al-Ijma’. Seperti yang ditakrifkan oleh para ahli ilmu, “Al-Ijma’ ialah kesepakatan ulama-ulama mujtahid pada satu zaman daripada zaman-zaman (atau pada satu generasi daripada generasi-generasi) terhadap sesuatu urusan daripada urusan-urusan agama.”

Dari situ, kita tidak boleh mengatakan Al-Ijma’ ialah kesepakatan orang kampung kita, atau kesepakatan sesiapa sahaja yang dikehendaki. Ijma’ adalah kesepakatan ulama-ulama mujtahid, iaitu mereka yang mempunyai autoriti untuk berijtihad.

Pada hari ini kita bimbang apabila ada sebahagian manusia atau individu-individu yang menyebarkan ideologi, doktrin dan pandangan mereka dengan mudah menukilkan dan menggunakan perkataan ijma’ sewenang-wenangnya. Hanya dengan mengatakan sesuatu perkara itu dilakukan oleh orang ramai dan disukai oleh orang ramai, mereka mengatakan ia sebagai ijma’. Ini satu pandangan yang salah.

Ijma’ di sisi ASWJ bersifat maksum. Ia wajib diikuti dan dituruti selepas Al-Quran dan As-Sunnah. Ini adalah tiga asas sumber rujukan ilmu. Kerana ilmu di sisi ASWJ menurut Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, “Yang diertikan dengan ilmu adalah mengetahui sesuatu sesuai dengan hakikatnya dengan pengetahuan yang bersifat pasti.”

Adapun Al-Quran, As-Sunnah, dan Al-Ijma’ merupakan sumber rujukan ilmu, di mana sumber-sumber ini adalah sumber-sumber yang pasti keabsahan dan ketepatannya, bahkan disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan juga hadis-hadis Rasulullah SAW.

Manakala sumber keempat pula ialah qiyas. Namun qiyas yang benar dan diiktiraf dalam Islam ialah qiyas yang diasaskan kepada dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah. Tidak semua qiyas itu benar dan diterima sebagai sebuah hukum yang sah dalam Islam. Ia dinamakan sebagai qiyas fasid. Imam Ibnu Qayyim rahimahullah mengatakan:

“Sesungguhnya membenturkan antara akal dengan wahyu adalah asal-usul semua kerosakan di alam semesta. Dan itu adalah lawan dari dakwahya para rasul dari semua sisi kerana mereka (para rasul) mengajak untuk mengutamakan wahyu daripada pendapat akal dan musuh mereka justeru sebaliknya. Para pengikut rasul mendahulukan wahyu daripada idea dan pendapat peribadi. Sedang para pengikut iblis atau salah satu wakilnya, mendahukukan akal dari pada wahyu.” (rujuk; I’lamul Muwaqqi’in, 1/68-69)

Pada hari ini, ramai yang mendakwa mereka tahu Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber rujukan ilmu. Ironinya ucapan-ucapan sebahagian mereka kontang daripada menyebut ayat-ayat Allah SWT dan hadis-hadis Nabi SAW. Saya tidak bercakap tentang individu atau golongan professional, tetapi saya bercakap tentang agamawan-agamawan yang menyampaikan agama, yang menyeru manusia kembali kepada Allah SWT, yang menasihati manusia tentang pegangan agama, yang memberikan kata-kata muhasabah kepada manusia.

Sekiranya seruan-seruan mereka kosong daripada firman-firman Allah SWT, sabda-sabda Nabi SAW yang sentiasa dijadikan sumber rujukan di sisi ASWJ, maka mana mungkin perkara tersebut memberi impak positif di dalam kehidupan manusia. Ini kerana mereka telah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT letakkan di kedudukan yang tertinggi.

Al-Quran kedudukannya adalah di tempat yang tertinggi disusuli dengan As-Sunnah, dan kemudian disusuli dengan Al-Ijma’. Akan tetapi sebahagian manusia merasa bosan dan tidak larat untuk mendengar ayat-ayat Allah SWT dan hadis-hadis Nabi SAW dibacakan. Na’udzu billah. Jadi hendaklah kita bermuhasabah diri kita.

Oleh kerana itu, Asy-Syaikh Ahmad Ash-Shuwaiyan membahaskan tiga titik fokus dalam berinteraksi dengan sumber agama; pertama ialah sikap memuliakan nas-nas, kedua ialah bergantung kepada hadis-hadis yang sahih, dan yang ketiga ialah kefahaman yang benar terhadap sumber-sumber yang disebutkan tadi. (rujuk; Manhaju At-Talaqqi wa Al-Istidlal Syaikh Ahmad bin Abdirrahman Ash-Shuwaiyyan).

No comments:

Post a Comment