Monday, January 14, 2013

MENGHARGAI MASA ADALAH SATU TUNTUTAN




                                                                           

Pengurusan Masa

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa 'masa itu emas'.





 Kepentingan Masa

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

 Maksudnya:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran". (Al-Ashr: 1-3)

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.

2)Melaksanakan amal salih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

3) Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.


Jangan Suka Bertangguh-tangguh

Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang daripada diri seorang insan yang bergelar  dalam mengejar kecemerlangan diri serta kecemerlangan negara. Bertangguh dalam melaksanakan sebarang tugas adalah tidak digalakkan dan akan merugikan masa seseorang.
Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”
Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”


Memanfaatkan Masa Di Dunia

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).


Masa Tidak Akan Di Sia-siakan

Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia
dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan
yang baik, sudah pasti direbutinya. Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:

i) Masa hidup sebelum mati
ii) Masa sihat sebelum sakit
iii) Masa lapang sebelum sibuk
iv) Masa muda sebelum tua
v) Masa kaya sebelum miskin

Pernah Rasulullah S.A.W ditanya:

"Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda:
Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."


Kesimpulan

Menghargai  masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.
Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Suntingan/ Rujukan:   Akhbar-akhbar Tempatan

No comments:

Post a Comment