Friday, January 18, 2013
ISLAM TERAS PERPADUAN - KASIH SAYANG PUPUK KESEJAHTERAAN UMMAH
Kasih Sayang Pupuk Kesejahteraan Ummah
Manusia secara tabiinya dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai makhluk yang bersosial. Mereka sentiasa cenderung untuk bergaul sesama sendiri, bermuafakat, tolong-menolong untuk mendapat manfaat dan memenuhi keperluan diri. Secara zahirnya tidak mungkin manusia itu hidup sendirian tanpa apa-apa hubungan dengan manusia lain.
Persoalan besar timbul ialah walaupun manusia itu pada fitrahnya bersosial tetapi mengapa mereka hidup bermusuhan, bunuh membunuh, dan menzalimi sesama keluarga, jiran tetangga, masyarakat, dan terhadap makhluk Allah yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w bahawa Islam adalah agama kasih sayang sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Bashir r.a, yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang,berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.”
Apa yang menghairankan, terdapat sesetengah masyarakat kita tidak bersifat belas kasihan di antara satu sama lain, keadaan ini berlaku kerana sifat yang mulia iaitu sifat kasih sayang semakin luntur di kalangan masyarakat. Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada semua makhluk. Di antara nilai rahmat itu ialah Islam menganjurkan umatnya bersifat kasih sayang sesama manusia, sayang kepada haiwan, sayang kepada keindahan alam sekitar, dan makhluk Allah yang lain.
Oleh itu, sifat kasih sayang adalah kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin yang pengasih dan prihatin, menyebabkan rakyat dan pengikutnya akan hormat dan menyanjungnya. Seorang ayah yang penyayang dan prihatin, menyebabkan dia dicintai dan dihormati oleh anak-anak dan isterinya. Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua dengan benua, negara dengan negara, dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit, dan pangkat.
Sesungguhnya, kasih sayang juga kunci kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, adalah penting sekali kita usahakan agar disayangi dan sekaligus menyayangi orang lain. Kalau kita seorang anak, usahakan kita disayangi oleh ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak-anak
menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujudlah dalam sebuah rumah tangga itu, orang tua sayang pada anak-anak, dan anak-anak sayang pada orang tua. Bagi pasangan suami isteri pula, kita mesti berusaha agar pasangan kita disayangi dan menyayangi diri kita. Demikian juga dengan kepimpinan negara, para pendidik, ketua jabatan, atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha agar menyayangi dan disayangi oleh orang yang di bawah jagaan kita masing-masing, demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.
Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar r.a. Menurut beliau, ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayangnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah s.w.t sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.
Isu-isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam amat membimbangkan. Kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelik anak-anak, gejala sosial yang meningkat, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang. Sebagai muslim dan mukmin yang berpegang dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, maka marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment