Sunday, January 27, 2013

RUNTUH APABILA TIDAK BERTIANG


Runtuh Apabila Tidak Bertiang




Allah s.w.t telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya dalam surah Saba’, ayat 15 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka), (lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”

Ayat ini menceritakan kepada kita tentang kisah Ratu Balqis dan kaum Saba’ di negeri Yaman. Mereka mencapai tahap ketamadunan hidup sehingga mampu mengurus masalah air di selatan dan timur negeri tersebut.

Kejayaan ini mengakibatkan hasil pertanian dan perladangan bertambah baik. Namun disebabkan kaum Saba’ enggan bersyukur terhadap segala nikmat itu, maka Allah s.w.t menurunkan ujian ke atas mereka.

Segala nikmat tersebut dirampas dengan mendatangkan bencana banjir besar sehingga menenggelamkan harta benda, rumah, kampung halaman dan mengorbankan banyak nyawa. Akhirnya negeri yang dahulunya subur telah berubah menjadi kering kontang.

Sesungguhnya kemakmuran sesebuah negara berkait rapat dengan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara dan pemimpin secara menyeluruh.

Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar, iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Riwayat Bukhari)

Begitu juga halnya dengan pemimpin, selagi mereka berpegang dengan tali Allah, rakyat wajib menunjukkan taat setia dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada  mereka.

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi menyatakan: “Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi.”

Justeru, marilah kita memikul tanggungjawab bersama mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia antara yang dipimpin dengan pemimpin.

Rasulullah s.a.w sendiri mendidik umat Islam supaya sentiasa bercakap benar, tidak menyeleweng daripada kebenaran dan fakta, berlaku adil dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji seperti amanah serta tidak mengetepikan tanggungjawab dan fitrah kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi.

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang.

Oleh hal demikian itu, marilah kita sama-sama menyusuri sirah Rasulullah s.a.w sebagai contoh yang terbaik. Baginda terkenal sebagai seorang negarawan yang sangat sayang dan setia kepada tanah airnya. Sudah pasti perbuatan ini adalah satu sunnah.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasih sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabda baginda ayang bermaksud: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Mekah atau lebih daripada itu; dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment