Monday, January 28, 2013

MENYELAMATKAN AKIDAH UMMAH


Menyelamatkan Akidah Ummah

Agama Islam datang ketika penyekutuan kepada Allah s.w.t melanda seluruh penjuru alam. Ajaran Islam membawa sinar yang melenyapkan segala penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman Jahiliah.

Namun, jika diperhatikan pada masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam semakin lemah. Banyak di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh para sahabat tentang keadaan umat Islam di akhir zaman akan dikerumuni seperti makanan dikerumuni oleh pelahap-pelahap. Lalu ada sahabat bertanya “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu?” Baginda menjawab: “Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah s.w.t.”

Persoalan besar timbul kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam? Di antara perkara yang  menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.

Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah s.w.t, iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah s.w.t secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik samada secara iktiqad atau tingkah laku. Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah s.w.t, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”

Dalam era kemajuan dan globalisasi masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, plurarisme serta komunisme yang diperkatakan semula pada hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas, sukan judi dan sebagainya.

Kepincangan  hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak-anak kita yang sanggup menghina kedua ibu-bapa bahkan lebih malang lagi sanggup menderhaka kepada mereka.

Mutakhir ini juga kita sering mendengar berita penyelewengan akidah umat Islam yang melanda masyarakat. Pelbagai kumpulan ajaran sesat telah wujud dengan tujuan menjauhkan umat Islam dari mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada pelbagai amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir, ilmu guna-guna dan sebagainya. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Sebagai umat Islam, kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya.

No comments:

Post a Comment