Akhlak Tiang Tamadun
Demikian juga yang berlaku ke atas tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata. Realiti ini telah menyedarkan mereka peri pentingnya agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka hadapi.
Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pangkal kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirahat daripada segala keburukan.” (Riwayat Muslim)
Al-Quran dan Sunnah juga meletakkan akhlak luhur sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf. Di samping itu, Sunnah juga menyaran agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang. Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (al-A’raf: 199)
Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif yang mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi. Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan fanatisme serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati. Akhlak individu pula mencakupi sifat malu dan rendah diri, redha dan menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan. Sementara itu, akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga.
Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ehsan juga bersifat kasih sayang sesama manusia. Manakala, akhlak politik lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawwarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat. Sementera itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidupkan tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewahan dan mengumpulkan harta serta tidak melakukan pengkhianatan dan monopoli.
Dari hakikat ini jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan. Tidak ada pemisahan antara ilmu dan akhlak, antara ekonomi dan akhlak, antara politik dan akhlak dan antara perang dan akhlak. Akhlak dalam Islam lebih bersifat universal kerana tidak terbatas kepada individu muslim sahaja bahkan meliputi semua manusia muslim atau non Muslim. Dengan akhlak tersebut dapat melahirkan kerjasama untuk saling melindungi, dan mencegah kerosakkan di bumi ini.
Sebenarnya keupayaan untuk membangun masyarakat Islam madani tidak semudah membalikkan telapak tangan. Tetapi ia memerlukan perjuangan yang serius dan memerlukan masa yang lama dengan segala risiko yang akan timbul. Masyarakat Islam hadhari perlu memiliki karakter sebagai sosial control dan sosial support. Ini adalah tanggungjawab kita bersama kerana segala apa yang dilakukan oleh manusia itu tidak luput dari kesalahan dan kelalaian. Malah ia akan melancarkan lagi proses pembangunan yang dilaksanakan.
Kita harus memahami bahawa tugas amar makruf dan nahi munkar adalah tugas suci yang perlu dilakukan oleh semua orang. Melalui kritik membina bererti kita telah melakukan tugas amar makruf dan nahi munkar. Ini bermakna kita telah melaksanakan kewajipan fardu ain kita kepada kepentingan sosial.
Islam menolak falsafah ‘matlamat menghalalkan cara’ kerana Islam meletakkan kemuliaan dari segi tujuan dan matlamat. Islam melarang umatnya mengamalkan budaya rasuah dan penipuan di dalam perniagaan biarpun tujuannya untuk manfaat bersama seperti membina masjid atau kerja-kerja kebajikan sosial.
Islam menjadikan seorang muslim bagaikan sumber yang sentiasa memancarkan kebaikan dan kemaafan bagi orang-orang di sekelilingnya. Muslim sejati adalah seorang dermawan, rajin bekerja, dan pandai mengatur waktu, pandai mensyukuri nikmat Allah s.w.t dan menunaikan hak-hak persaudaraan.
Membangun masyarakat madani bererti menyedarkan semua manusia untuk hidup dan bergaul dengan segala aktiviti dan kemudahan itu dengan menggunakan agama sebagai kayu ukur dan menjadikannya (agama) sebagai bimbingan dalam kehidupan. Ini adalah satu keharusan, kerana semua teori hanya menjanjikan penderitaan, kecuali ajaran agama yang menjanjikan kebahagiaan hidup.
No comments:
Post a Comment