Friday, January 18, 2013
ISLAM TERAS PERPADUAN - KASIH SAYANG DAN KETERBUKAAN, BUKAN KEBENCIAN
Agama membentuk kasih sayang dan keterbukaan, bukan kebencian
Islam adalah agama yang dibentuk melalui peradaban ”salam”. Peradaban salam adalah natijah kepada kehidupan yang saling menyayangi sesama manusia dengan berpandukan bahawa keintiman antara penganut dengan mereka yang berlainan agama sebagai paksi kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sejak Islam diisytiharkan sebagai agama terakhir dan sempurna, banyak peristiwa sejarah yang menjelaskan bagaimana hemah bermasyarakat menjadi asas kekuatan Islam. Dakwah Nabi Muhammad s.a.w misalnya sentiasa menyeru kepada kebaikan semua manusia, tidak menghadkan kepada orang Islam semata-mata. Dakwah sedemikian bukan sekadar dengan kata-kata, malah baginda melakukan apa yang diyakininya dalam seluruh kehidupan.
Baginda turut berbakti kepada seorang pengemis Yahudi yang tua dengan menyuapkan makanan setiap hari sehingga wafat. Tindakan itu diteruskan oleh Abu Bakar al-Siddiq, namun pengemis Yahudi itu menolak kerana “tangan yang melakukan pada kali ini tidak selembut tangan sebelumnya.” Abu Bakar tidak kecewa dan dengan dedikasi yang tinggi, akhirnya khalifah berjaya memujuk pengemis itu untuk menerima suapannya. Interaksi ini seterusnya memberikan pencerahan kepada pengemis Yahudi bahawa selama ini, Nabi Muhammad s.a.w yang dikecam dan dicemoh itulah yang menyuapkan makanan ke mulutnya dengan “tangan yang lembut.”
Yahudi tersebut akhirnya memeluk Islam. Ini bermakna dengan tidak menggunakan tindakan kekerasan, Islam menjadi sebuah agama yang menarik dan mudah berkembang. Teladan Nabi Muhammad s.a.w menjadi insan yang paling besar pengaruhnya dalam peradaban manusia hingga sekarang, meskipun akhir-akhir ini banyak dipersoalkan oleh pelampau agama lain.
Sikap melebarkan kebencian terhadap Islam yang dipamerkan oleh kumpulan dan orang perseorangan sebenarnya mempunyai kaitan dengan hasad dengki dan tamak haloba untuk menguasai dengan harapan akan terbentuk sebuah dunia dengan satu kesatuan, tidak ada kepelbagaian agama, budaya, pola pemikiran dan sistem pengurusan ekonomi, pentadbiran dan aturan. Inilah sebenarnya yang menjadi perjuangan sekelompok manusia atas keinginan membentuk sebuah tatanan baru dunia (new world order).
Menurut Mohammed Abu-Nimer, seorang pemikir Islam, Profesor Tamu Program Penyelesaian Konflik dan Keamanan Antarabangsa dari Universiti Amerika, Washington DC, adalah tidak mudah untuk menggambarkan kepada masyarakat antarabangsa mengenai peranan sebenar Islam dalam proses membentuk keamanan manusia sejagat. Ini disebabkan sepanjang sejarah, bukan Islam melihat bentuk peperangan yang berlaku di negara-negara Islam, penubuhan imperium (dinasti dan kekhalifahan selepas Khalifah ar-Rasyidin) dan dakwah Nabi Muhammad s.a.w banyak berlaku peperangan.
Lantaran itulah banyak pihak menjadikan makna jihad itu sebagai “indeks” dan punca kepada keganasan dalam peradaban Islam. Konsep itu dihubungkan dengan kegemaran masyarakat Islam untuk berjihad, yakni berperang atau menggunakan kekerasan bagi mencapai sesuatu hasrat. Ini ditambah dengan bara yang disebarkan oleh segelintir penganut Islam sendiri, bahawa berjihad itu merupakan tanggungjawab setiap Muslim, termasuk membunuh bukan Islam dan orang Islam sendiri yang tidak sehaluan dengan perjuangan kelompok mereka. Pola ini menjadi sesuatu yang menyebabkan banyak pihak meletakkan Islam sebagai ”kambing hitam” apabila terjadinya serangan rumah ibadat agama lain, terutama dalam situasi masyarakat berbilang agama, dan majoriti penduduk Islam.
Tidak menggunakan kekerasan non-violent menjadi seakan-akan asing dalam tradisi Islam sedangkan prinsip Islam mengenainya memang ada. Bahkan, menurut Mohammed Abu-Nimer, pasifisme (aliran pemikiran tanpa kekerasan) sudah berakar dalam tradisi Islam, iaitu “pasifisme keagamaan mutlak adalah satu pendekatan kesempurnaan yang dituntut oleh norma yang mengarahkan kepada tanpa perlawanan, nonresistance berbanding pertempuran bukan kekerasan, nonviolent resistance. Dari perspektif tersebut, cita-cita perjuangan di dunia ini adalah tercapainya cinta sempurna dalam kehidupan individu.
Kedamaian dalam Islam difahami sebagai suatu keadaan yang harmoni sama ada secara fizikal, mental, spiritual, interaksi sosial, dan hubungan dengan Allah s.w.t. Umat Islam akan merasai hidup tenteram apabila persekitaran sosialnya tidak diganggu-gugat oleh desakan melampau, dan mempunyai kesempatan untuk melaksanakan kewajipan harian terhadap Allah s.w.t. Maka, kerana itulah di mana sahaja adanya umat Islam, mereka akan membina kawasan-kawasan mereka dengan menempatkan masjid atau surau sebagai pusat aktiviti harian. Hal ini amat berlainan dengan masyarakat agama, kerana rumah-rumah ibadat itu hanya dilihat sebagai ada hubungkait dengan tradisi ritual (bersembahyang, perkahwinan, dan menyambut kelahiran), sedangkan Islam lebih luas daripada segala-galanya itu.
Sejak bilakah kehidupan manusia mula bebas daripada kebencian? Atau mengapa manusia mempunyai rasa saling membenci? Ia bermula sejak awal kelahiran manusia lagi, iaitu sejak salah seorang anak Nabi Adam a.s membunuh saudaranya sendiri. Sejak masa itu, manusia mulai dibakar oleh rasa benci, dan mulai mencari cinta agar didalam jiwa dan hidupnya bersemi rasa tenang dan aman. Petualang mencari “cinta” ini adalah petualang mencari “hukum” yang mengatur perjalanan kehidupan agar menjamin keberlangsungan hasratnya.
Atas keperluan yang saling berlawanan itulah, “setiap kali satu bendera cinta berkibar, maka berkibar pula bendera-bendera kebencian. Bergeraklah warisan kehidupan rimba dalam tentera-tentera yang bersuara keras dari masa ke masa. Pasukan itu mengira bahawa cinta adalah sisi lemah manusia; bahawa kelangsungan hidup adalah milik orang yang paling kuat lengannya, dan paling tajam taringnya. Jenis pasukan yang dibakar api kebencian egoism dan kesombongan. Umat manusia pun tercerai-berai, dan tenggelam dalam lumpur kebencian yang hampir menelannya.” (Berdamai dengan Dunia, 2002: 10-11, terjemahan Indonesia daripada buku al-Wasaya al-‘Asyr li man yuridu al-Yahya)
Maknanya, Islam sebagai sebuah agama perdamaian yang diasaskan melalui peradaban salam menolak kekerasan sebagai jalan penyelesaian sesuatu konflik. Islam mementingkan hubungan sesama manusia dalam konteks yang harmoni. Dalam suasana seperti ini, agama membuka minda semua orang dapat berfikir dan merenung diri masing-masing manakah satu kumpulan,kami atau kamu yang berada di atas petunjuk atau kesesatan yang nyata?Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: ”Kami atau kamu yang berada diatas petunjuk atau kesesatan yang nyata.” (Surah Saba ayat 24). Ini kerana menerusi iklim tersebutlah umat Islam mampu melaksanakan tanggungjawab kepada Allah s.w.t dengan tenang dan selesa.
Islam menolak sebarang bentuk penyelesaian menerusi kekerasan meskipun pernah berlaku peperangan dalam perspektif sejarah. Peperangan yang berlaku adalah kerana keadaan yang memaksa setelah usaha membendung kemaraan pengaruh musuh tidak dapat dihindari, peperangan itu lebih bersifat mempertahankan diri. Ini amat berlainan dengan konsep peperangan yang dilaksanakan oleh para penakluk dalam sejarah, serangan dengan tujuan untuk menguasai sumber dan asas monopoli ekonomi.
Atas kepentingan ekonomilah negara-negara penakluk menjajah dan sanggup melakukan peperangan secara terbuka. Peperangan secara terbuka inilah akhirnya telah membawa kepada tindakan kekerasan dan meningkatnya jenayah perang. Peperangan terbuka telah menyebabkan negara penyerang sanggup melaksanakan serangan tanpa etika, sehingga membunuh kanak-kanak dan wanita, hatta menganggap rumah-rumah ibadat sebagai pusat berkembangnya terorisme. Itulah yang seharusnya dilaksanakan secara berhemah oleh semua pemimpin Islam.
Pemimpin Islam dan negara Islam perlu mengetengahkan prinsip kesederhanaan, wasatiyyah dalam mempromosikan Islam sebagai agama perdamaian. Lebih banyak forum dan dialog dengan para pemimpin bukan Islam mengenai hakikat sebenar kesederhanaan dalam Islam perlu dirintis secara profesional, dan bukan sekadar mengimpunkan pemimpin Islam dan bercakap sesama sendiri. Apa yang perlu ditekankan ialah perhubungan dan interaksi yang lebih meluas dengan pemimpin dan pemikir bukan Islam. Mereka perlu disanjungi dan dihargai dengan pendirian mereka masing-masing, seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud, ”Setiap kumpulan itu berbangga dan bergembira dengan apa yang dimiliki masing-masing.” (Surah Al-Mukminun : 53)
Apa yang dirintis oleh Malaysia dalam mengetengahkan konsep ini memangnya bertujuan untuk mengekang salah faham terhadap Islam. Meskipun salah faham terhadap Islam bukanlah satu perkara baru, ia perlu dilaksanakan secara berterusan dalam konteks dan nilai semasa, perubahan nilai masyarakat dan generasi terus berlaku. Maka, kaedah menanganinya perlu juga diubahsuai berdasarkan nilai dan falsafah semasa (bukan bererti tunduk kepada keinginan baru), agar generasi baru lebih memahami berdasarkan nilai-nilai baru yang ada dalam diri mereka.
Inilah cabaran yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin Islam masa kini, termasuk menggunakan kehebatan laman media sosial bagi membolehkan generasi netter menyedari bahawa Islam adalah agama kasih sayang, agama yang sentiasa berusaha membentuk keamanan dan kedamaian. Kaedah lama dengan memasukkan ayat-ayat al-Quran bukan tidak diterima oleh generasi baru, ia dilihat sebagai satu bentuk dakwah yang kurang berkesan. Kaedah yang terbaik ialah menjelaskan secara lebih tepat mengenai kandungan al-Quran dalam perspektif kehidupan seharian, menggunakan cerita yang bersifat manusia dan dekat dengan psikologi mereka. Inilah yang perlu dilaksanakan jika setiap pemimpin Islam inginkan generasi akan datang benar-benar terlahir sebagai generasi yang mementingkan kasih sayang dan kedamaian. Itulah hakikat sebenar Islam, dan bukannya sebuah masyarakat yang penuh dengan paradoks dan konflik.
Dalam hal ini, kita perlu membuka dimensi pemikiran baru, khususnya di kalangan generasi muda, akan peri pentingnya memahami Islam sebagai agama yang menolak sifat kebencian sama ada di kalangan penganutnya sendiri mahupun di kalangan sesama manusia. Dengan kasih sayang dan saling mengerti antara satu sama lain akan menjadikan kita manusia yang tahu apa maknanya kebahagiaan dan kenikmatan hidup. Kita tinggalkan ’hasutan dan pengaruh’ sebilangan kelompok yang menyemai benih dan sikap menyalahkan antara satu sama lain. Yang renggang kita rapatkan, dan yang rapat kita mesra-mesrakan.
sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment