Saturday, January 19, 2013

1 MALAYSIA, 1 UMMAH - HUBUNGAN ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM MENURUT PANDANGAN ISLAM


HUBUNGAN ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM MENURUT PANDANGAN ISLAM



Masyarakat Islam adalah sebuah masyarakat yang tinggi darjatnya serta mulia kedudukannya berbanding dengan masyarakat yang lain, selaras dengan status agama Islam yang mulia dan tinggi kedudukannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Islam itu agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.” (Sunan al-Baihaqi al-Kubra: 12399).

Ketinggian agama Islam ini dijelaskan kerana agama tersebut diturunkan oleh Allah SWT yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan serta kesempurnaan. Peraturan hidup yang ditetapkan dalam Islam merupakan peraturan yang bersifat semasa dan sepanjang zaman serta sesuai menjadi panduan kepada seluruh umat manusia. Kenyataan ini dijelaskan lagi berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud, “Janganlah kamu berasa lemah dalam memperjuangkan kebenaran dan janganlah pula berdukacita atas apa yang tertimpa, disebabkan kamulah orang yang tertinggi, jika kamu betul-betul beriman.” Allah SWT berfirman lagi dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu adalah sebaik-baik umat, yang dilahirkan untuk faedah seluruh manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat salah.”

Ayat-ayat di atas menerangkan status orang Islam yang tinggi dan mulia disebabkan tugasnya yang mulia, iaitu berusaha untuk memajukan kehidupan. Sejarah Islam membuktikan tentang kemajuan umat Islam bersama dengan kemajuan tamadun Islam sebagaimana kerajaan Abasiyyah yang pada awalnya membina zaman kecemerlangan dan keagungan Islam di persada dunia melalui perkembangan ilmu.

Oleh kerana status umat Islam adalah tinggi dan mulia, maka umat Islam adalah cermin kepada agamanya. Umat Islam perlu memperlihatkan kelebihan yang ada dalam dirinya sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam, iaitu umat yang sentiasa berusaha memajukan diri dan memberi sifat kepimpinan yang mampu menjadi contoh teladan umat yang lain.

Untuk meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi ini, masyarakat Islam perlu berada di tempat yang tinggi dan mulia sebagaimana agamanya. Hubungan antara orang Islam dan agama Islam adalah sangat rapat. Agama Islam akan dipandang tinggi dan mulia jika orang Islam yang mendokonginya berada di tempat yang berpengaruh serta mulia di sisi masyarakat. Tetapi jika umat Islam berada dalam keadaan lemah, mundur dan miskin, Islam juga akan di pandang sedemikian.

No comments:

Post a Comment