Thursday, January 17, 2013
ISLAM TERAS PERPADUAN - ANTARA CATATAN SEJARAH
Masyarakat Madinah – generasi pertama Islam telah diakui oleh dunia sebagai masyarakat yang bersatu padu, masyarakat par excellence. Ketika itu Islam mampu memupuk perpaduan dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam pula, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah s.a.w perlu dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding dengan penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka tertegak akhirnya sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Pendekatan ini diperkukuhkan melalui tindakan, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba’ adalah model institusi terawal Islam dalam menjana perpaduan. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.
Nabi Muhammad s.a.w juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang sedemikian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan.
Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama. Sama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.
Rasulullah s.a.w memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:
” …Ya!, Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah s.a.w: ‘Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.’”
Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa tindakan afirmatif yang menjamin kestabilan dan kerukunan masyarakat berbilang kaum bukanlah asing dalam Islam. Pendekatan afirmatif dalam pengagihan kekayaan turut dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara yang mentadbir pelbagai kelompok di Madinah yang berlainan agama, bangsa, puak dan keturunan.
Umpamanya, dalam peristiwa pembahagian harta Al-Fai’, iaitu hasil rampasan yang diterima tanpa berperang kepunyaan Bani Nadhir, Rasulullah turut menggunakan pendekatan afirmatif secara bijaksana. Dalam pembahagian tersebut, Rasulullah hanya memperuntukkan harta tersebut kepada puak Muhajirin (para penghijrah dari kota Mekah) tanpa diberikan kepada puak Ansar (penduduk asal Madinah) melainkan kepada dua orang Ansar yang memang miskin.
Selaku ketua negara, Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dalam pembahagian ini dengan mengambil kira keadaan masyarakat Muhajirin yang meninggalkan segala kekayaan dan harta benda mereka di Mekah demi tuntutan hijrah. Sedangkan puak Ansar memiliki limpahan kekayaan di Madinah hingga wujud ketidakseimbangan ekonomi antara Ansar dan Muhajirin.
Pendekatan afirmatif ekonomi Rasulullah yang bertujuan mengurangkan jurang kekayaan antara Ansar dan Muhajirin ini turut mendapat restu Allah apabila ayat al-Quran (al-Hasyr: 7) khusus diturunkan memperakui tindakan Nabi s.a.w.
Ini adalah sebahagian daripada coretan sejarah yang membuktikan betapa pentingnya kebijaksanaan dalam merencana strategi dan pendekatan terbaik bagi memastikan keharmonian hidup masyarakat berbilang latar belakang dan keupayaan. Apa yang penting sebarang unsur yang boleh meruntuhkan perpaduan di kalangan masyarakat harus dihapuskan.
Di sinilah pentingnya sejarah yang harus difahami dan kembali ditelaah oleh generasi pewaris negara agar lebih menghayati dan menghargai suasana kehormonian kaum yang wujud, sekali gus memaksa semua pihak bertolak ansur dan bersifat berlapang dada antara satu sama lain.
Usahlah kerana ideologi politik yang sempit, kita sanggup membakar jambatan perpaduan yang telah lama terbina. Usahlah hanya kerana kepentingan jangka pendek untuk berkuasa, kita sanggup meleburkan semangat perpaduan yang menjadi teras perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.
Masyarakat yang menjiwai makna kesatuan adalah masyarakat yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Masyarakat yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang bukan-bukan atau mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan adalah masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian.
Sesungguhnya kesejahteraan negara menuntut keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman antara kaum terus segar. Hanya melalui semangat inilah masyarakat Malaysia mampu terus hidup dalam suasana negara yang aman dan harmonis.
Sejarah juga telah mencatatkan bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w hampir mencetuskan pergaduhan sesama muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah s.a.w.
Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali. Dan kalau kembali pada surah aI-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a, “Kami telah dinasihati Rasulullah s.a.w akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarkannya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan para Khulafah Ar-Rasyidin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang amat berharga daripada Rasulullah s.a.w bagi umatnya, terutama apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan perselisihan. Oleh hal yang demikian itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis, iaitu:
Pertama: Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Kedua: Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum Muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w dan contoh teladan daripada Khulafa Ar-Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.
Ketiga: Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w dan contoh teladan daripada Khulafa Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala.
Keempat: Menjauhi perkara-perkara bidaah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal / asas atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bidaah menurut pengertian syarak (bukan bidaah dholalah) tetapi hanya dinamakan bidaah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (jaitulab bidaah hasanah).
Perpaduan dan penyatuan umat Islam merupakan asas kekuatan umat Islam dan ini telah dibuktikan dalam peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan di mana umat Islam telah diberikan kemenangan dan dibantu oleh Allah walaupun bilangan pihak musuh, Quraisy, lebih ramai daripada umat Islam ketika itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment