Friday, January 18, 2013
ISLAM TERAS PERPADUAN - LIBERALISME DAN PLURALISME
Pengenalan Islam Liberal dan Pluralisme
Fahaman Islam Liberal merupakan satu fahaman yang berteraskan prinsip kebebasan individu tanpa sempadan. Fahaman ini muncul pada kurun ke-16 dan ke-17 ketika zaman Renaissance, iaitu zaman golongan intelektual menyerang penyelewengan pihak gereja.
Zaman itu, agama Kristian di kawal oleh Roman Katholik. Pihak gereja berkuasa penuh dalam menafsirkan Injil. Manakala orang awam tidak sesekali dibenarkan untuk menafsirkannya. Mereka yang didapati menentang akan disiksa dengan pelbagai bentuk siksaan. Akibatnya, muncul pelbagai mazhab dalam Kristian seperti Protestant, Anglican, Prebisyterian, Lutheran, dan lain-lain.
Pendapat ini mempunyai jurang perbezaan yang luas antara satu sama lain sehingga menjelmakan kaedah “kebenaran itu tidak selamanya benar dan perlu dinilai semula”. Tindakan ini benar-benar menjadikan Injil sebagai unsur manusia. Iaitu masing-masing memahami Injil dengan bahasa dan tafsiran sendiri.
Oleh hal yang demikian itu, pengolahan dan penggubahan dalam memahaminya terus berlaku apabila dirasakan intisarinya tidak releven lagi dengan keadaan semasa. Rentetan daripada idea di atas, muncul pula John Hick mempelopori pendapat bahawa semua agama boleh diterima kerana tujuannya yang satu. Cuma cara dan pendekatan sahaja yang berbeza. Maka lahirlah apa yang dinamakan pluralisme.
Apabila menyedari serangan fizikal tidak mampu menggugat umat Islam, maka timbulnya alternatif baru untuk menyerang Islam dari dalam, iaitu menerusi serangan pemikiran. Maka pihak Barat yang diterajui Yahudi dan Kristian berusaha menggali ilmu Islam dan mengkaji sumbernya serta mencari apa jua kelemahan umat Islam yang boleh diserang.
Akhirnya, mereka menubuhkan bahagian pengajian Islam di universiti-universiti di Eropah dengan ‘menggula-gulakan’ beberapa ulama sebagai pensyarah jemputan bagi menarik minat umat Islam mendapat pendidikan di sana. Apa yang penting bagi mereka ialah ‘racun’ pemikiran yang dihidangkan dapat ditelan dengan sempurna.
Lantaran itu, tidak hairanlah kita dikejutkan dengan kemunculan golongan Jamaah al-Quran Malaysia (JAM) yang dipelopori oleh Kassim Ahmad dan Osman Ali suatu waktu dahulu. Mereka begitu gigih mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran dengan pengolahan yang baru. Dalam masa yang sama mereka cuba menilai kembali kedudukan al-Hadis. Mereka sebenarnya adalah anti hadis.
Selain itu, kemunculan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang dipimpin oleh Ulil Absar Abdullah juga tidak kurang hebatnya. Kerancakan pemikiran ini seterusnya merebak ke negara kita setelah pengharaman fahaman ini di buat oleh Majlis Ulamak Islam Indonesia (MUI). Maka lahirlah fahaman-fahaman yang senada dan seirama dengan pemikiran Ulil Absar oleh beberapa individu. Walaupun tidak segagah gelora kemunculan Islam Liberal di Indonesia (JIL), namun dalam beberapa hal mereka dilihat begitu agresif mengkritik dan mencabar kedudukan agama Islam itu sendiri dengan pelbagai gaya dan ruang. Maka perhatilah dengan sebaik-baiknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment