Friday, January 18, 2013

ISLAM TERAS PERPADUAN - MEMBENTUK KEMBALI GENERASI AL-QURAN

Membentuk Kembali Generasi Al-Quran

Keunggulan Nabi Muhammad s.a.w. bersifat holistik. Namun, yang paling utama ialah kejayaan Baginda menjadi seorang yang berakhlak dan mendidik manusia lain kearah yang sama. Firman Allah s.w.t.:" Dan sesungguhnya kamu mempunyai budi pekerti yang agung"(Qalam:4).

Dan hasil didikan Baginda adalah generasi para sahabat yang diiktiraf sebagai umat yang terbaik. Pada pencapaian akhlak yang baik inilah letaknya keunggulan Islam. Sekiranya keunggulan itu hanya diukur pada pencapaian ekonomi, kejayaan membina bangunan yang lebih tinggi, tahap keintelektualan yang hebat, maka pembina-pembina tamadun sebelum Islam pun mampu mencapainya.

Lihat sahaja Piramid dan Tembok China misalnya, apakah ia dibina berpandukan kitabullah dan sunnah rasul?. Walaupun Islam juga kaya dengan seni bina yang hebat dan empayar yang luas suatu ketika dulu, tetapi bukan disitu letaknya keunggulan Islam.

Keunggulan Islam yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tamadun di dunia sebelum atau selapasnya ialah kejayaannya membangunkan generasi Al-Quran yang unik. Sehingga dengan itu dapat melahirkan pemimpin yang adil, ulama yang warak, rakyat yang setia, si kaya yang syukur, si miskin yang pemurah, suami yang penyayang, isteri yang setia, ibubapa yang bertanggungjawab serta anak-anak yang soleh dan solehah.

Ciri utama generasi Al-Quran ini ialah akhlak. Ini berdasarkan kisah Aisyah r.h.a. ketika ditanya oleh Said bin Hisyam tentang akhlak Rasulullah s.a.w., lalu Aisyah berkata: "Tidakkah kamu membaca Al-Quran?" Said menjawab bahawa dia telah membacanya. Aisyah pun berkata lagi: "Sesungguhnya akhlak Rasulullah s.a.w. itu ialah Al-Quran". Maksudnya, semua yang disuruh oleh Allah di dalam Al-Quran dilaksanakannya dan apa yang dilarang oleh Allah di dalam Al-Quran dijauhinya.

Itu cerita 1434 tahun yang lalu. Persoalannya, bagaimana dengan kita pada hari ini? Adakah kita masih berbangga dengan apa yang kita ada dulu? Apakah generasi Al-Quran itu masih ada pada hari ini?

Lihat sekeliling kita.... Bagaimana keadaan masyarakat kita pada hari ini?

Apa yang didahagakan oleh dunia ialah satu perjuangan yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan Rasulullah menyempurnakan akhlak manusia. Rasullullah pernah menyatakan di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Ku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), bilamana kamu masih berpegang kepada keduanya, niscaya tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya"

Bagi umat Islam, usaha membaiki akhlak adalah satu agenda besar yang sangat penting untuk difahami, dihayati dan dilaksanakan disemua peringkat masyarakat. Jika tidak, kita akan terus dijajah dari sudut ekonomi, pemikiran dan budaya hidup harian. Oleh itu, marilah bersama-sama kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah supaya dapat membentuk kembali generasi Al-Quran.

Ingatlah pesan Imam Malik ini: "Pembaikan umat yang kemudian tidak akan dapat dicapai melainkan dengan kaedah pembaikan umat yang terdahulu". Jika rendah akhlak menyebabkan umat musnah, maka tingginya akhlak menyebabkan ummah gagah.

sekian...

No comments:

Post a Comment