Monday, February 4, 2013

JERNIHKAN PEMIKIRAN POLITIK


Jernihkan Pemikiran Politik

Pada ketika ini, umat Islam di negara ini seolah-olah mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin politik. Secara fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan.

Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana disitu letaknya kebahagian dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia. Justeru itulah manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu, umat Islam inginkan amalan yang sebenar, bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang  supaya segala faktor negetif ini tidak memerangkapkan dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam kancah fitnah besar dan kekacauan seperti yang pernah berlaku di zaman pemerintah Saidina Ali dan Uthman. Sejarah juga mencatat bagaimana dua orangg sahabat besar, iaitu Talhah bin Ubaidillah dan Zubair bin Al-Awwam berdasarkan ijtihadnya sendiri sanggup berkerja sama dengan Ummu Mukminin Aisyah ,isteri Nabi s.a.w  untuk memerangi Ali bin Abi Talib. Demikian juga Muawiyah bin Abu Sufian  dan alasan  lainnya,mengangkat senjata melawan Ali bin Abi Talib.

Dahulu sejarah mencatat sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti nanti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

Perselisihan antara umat Islam bukannya tidak dijelaskan dalam al-Quran. Banyak ayat yang menjelaskan sebab yang mendorong konflik dan perselisihan dalam tubuh umat Islam. Surah al-Maidah ayat 14 mengatakan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam. Perselisihan yang berlaku seperti yang dicatat di dalam al-Quran juga kerana kedengkian, cintakan kepada dunia tidak menggunakan akal yang sihat dan saling tidak percaya antara satu sama lain.

Hakikatnya politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik persengketaan. Ulama terkenal Sayyid Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini apabila menggariskan salah satu daripada empat faktor utama yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai ‘firqah’ atau kelompok dalam Islam adalah terkait dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.

Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika hingga menggejala secara meluas apa yang sering diistilahkan sebagai politik wang, politik ampu, politik fitnah, politik adu domba, politik kuasa dan sebagainya. Penyimpangan budaya politik ini juga sering kali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

Sebahagian besar huraian tentang aliran sesat dan bidah dalam Islam sepakat bahawa perpecahan umat Islam bermula daripada persoalan politik. Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dalam bukunya Al-Milal Wa An-Nihal yang banyak menjadi acuan penulisan tentang aliran dan mazhab dalam Islam, mengira ada sepuluh sebab perpecahan dalam Islam. Dua di antaranya terjadi sewaktu Nabi s.a.w masih hidup, iaitu penentangan sekitar penulisan wasiat Nabi s.a.w  dan pertentangan mengenai pengiriman pasukan Usamah ke Syam untuk menahan serangan tentera Rom. Kedua-keduanya terjadi ketika Nabi s.a.w sedang gering (sakit).

Menurut Abu Al-Fath Muhammad, perpecahan umat Islam sepanjang sejarah boleh dikelompokkan kepada dua. Pertama, kerana persoalan politik, khususnya yang berkaitan dengan persoalan imamah; dan kedua, kerana persoalan doktrin yang menyangkut soal keimanan dan teologi.

Kaum Khawarij sendiri, setelah pemisahan diri mereka dari kelompok Ali kerana soal politik dan menbangun teologinya sendiri yang kemudian menjadi golongan ekstrem pertama dalam Islam. Demikian juga dengan Syiah yang muncul kerana reaksi terhadap Khawarij dan pengikut Muawiyah termasuk golongan yang muncul kerana  politik dan teologi sepertimana Khawarij.

Abdullah bin Umar melihat perpecahan  dan konflik ini sebagai akibat dorongan kepentingan manusiawi. Sikap beliau yang tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini telah secara tidak sengaja ia membangun satu aliran politiknya yang terendiri. Sikap Abdullah ini kemudian diikuti oleh beberapa sahabat lain dan ramai orang yang bersimpati kepadanya. Abdullah menekankan bahawa persatuan dan perpeduan berasal daripada Islam dan konflik yang terjadi antara sebahagian tokoh Islam adalah berpunca daripada persoalan politik.

Daripada kumpuan dan pemahaman yang berbagai-bagai itulah lahirnya kumpulan majoriti umat yang berada di atas jalan perdana, petunjuk Islam yang dinamakan Ahli Sunnah wal Jamaah  yang diakui Rasulullah sebagai satu–satunya kumpulan yang selamat dan berada di atas jalan kebenaran Islam dan tidak akan terjejas oleh fahaman serpihan seperti Khawarij, Syiah  dan fahaman assabiah yang meletakan kepentingan politik semata-mata.

Dalam  konteks ini, Allah s.w.tmemerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan  daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala  kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Ali-Imran: 26)

Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w setiap habis solat membaca doa yang hingga kini tetap terkenal di kalangan umat Islam. Doa itu bermaksud: ”Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah Engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang Engkau halangi dan tidak akan memberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh daripada apa yang Allah kehendaki.”

No comments:

Post a Comment