Monday, February 4, 2013

BEKERJA UNTUK KECEMERLANGAN


Bekerja Untuk Kecemerlangan

Bertugas dan bekerja mencari rezeki dari limpah kurnia Allah adalah sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Islam.

Dengan bekerja, kita bukan sahaja membangunkan diri sendiri, tatapi juga membantu ekonomi keluarga, masyarakat dan negara.

Dengan adanya rezeki yang mencukupi, setiap individu atau keluarga Muslim terselamat dari belenggu kemiskinan dan bergantung hidup kepada orang lain.

Islam sebagai agama yang suci sentiasa menyeru manusia membebaskan diri dari belenggu kefakiran dan kemalasan diri.

Islam menuntut umatnya agar sentiasa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, tidak kira sama ada bekerja sendiri atau makan gaji.

Tanggungjawab bekerja tidak boleh dipandang ringan, atau dibuat sebagai acuh tak acuh, atau sambil lewa sahaja. kita perlu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas kerana ianya dikira sebagai ibadah bagi setiap kita orang beriman.

Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,  kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (at-Taubah: 105)

Maka kepuasan bekerja adalah nikmat yang sukar dinilai dan disebut. Ia hanya dapat dirasai oleh individu itu sendiri.

Sesungguhnya  nikmat yang diberikan kepada manusia amat banyak, sehingga menjadikan kehidupan ini serba lengkap dan sempurna.

Tidak ada yang lebih besar nilainya dari nikmat yang diberikan Allah kepada manusia sesudah iman, melainkan kesihatan.

Apabila badan dan akal fikiran seorang mukmin sehat, maka hidupnya akan terasa nikmat, bahagia dan damai. Ia akan bekerja dengan penuh ghairah dan hasilnya akan semakin bertambah, serta ia lebih optimis untuk menghadapi masa depannya.

Semua ini termasuk dalam Sunnatullah bahawa kehidupan itu diberikan kepada orang yang sehat dan kuat. Mereka inilah yang akan mampu membangun dunia ini dengan baik .

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, kami telah tulis didalam kitab-kitab yang kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh mahfuz: bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang cita-citanya mengerjakan ibadah (kepada Allah dengan berilmu).” (al-Anbiya: 105-106)

Sesuatu bangsa menjadi kuat apabila rakyatnya kuat, dan rakyat yang kuat terdiri dari individu yang kuat pula, baik tubuh badannya, akalnya, mahupun kemahuannya. Jka bangsa telah menjadi kuat, maka ia akan hidup dihormati serta disegani oleh kawan dan lawan.

Sebaliknya mereka yang lemah akan berada tepian kehidupan, mereka akan menjadi mangsa kepada orang yang rakus dan kuat, itulah tradisi kehidupan.

Pembinaan sahsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah s.w.t. Keimanan ini boleh menjadi benteng paling ampuh menangani gejala negatif.

Keimanan dan akidah yang mantap hanya akan terhasil melalui hati dan rohani yang suci serta asas keiamanan yang kukuh, ketaqwaan dan kepatuhan kepada agama, diikuti penjanaan ilmu yang diperkukuh dengan tarbiah efektif, mampu melahirkan insan yang mempunyai kekuatan dalaman, untuk mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w yang mengungguli nilai sejagat.

Maka, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, adalah amat penting setiap individu memiliki sifat amanah, bersih, cekap, bersopan santun, berdisiplin, suka bekerjasama, suka mengajar ilmu, berlapang dada, toleransi dan sentiasa ikhlas melaksanakannya kerana Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment