Monday, February 4, 2013
BERDAKWAH ITU WAJIB
Berdakwah Itu Wajib
Islam yang kita kasihi dan anuti ini telah sampai kepada kita di rantau Nusantara sejak kurun kedua Hijrah atau kurun ke-9 Masihi lagi.
Dakwah Islam telah berkembang dengan begitu pesat dan pantas dalam dua ratus tahun pertama, sejak ia dimulakan oleh Rasulullah s.a.w.
Ini menunjukkan, para pendakwah Islam telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang walaupun menempuh jarak ribuan batu, sama ada melalui jalan darat mahupun laut.
Semangat ini dapat dilihat dari ucapan seorang panglima tentera Islam, ‘Uqbah bin Nafi’ ketika beliau sampai di pantai lautan Atlantik selepas membuka wilayah Maghribi. Beliau berkata:
“Ya Allah, jika aku tahu di sebalik lautan ini ada daratan, nescaya akan aku sampaikan Islam ke sana.”
Persoalan yang timbul sekarang adalah apakah rahsia di sebalik kesungguhan mereka menyampaikan risalah Islam itu? Dan apakah pula yang dapat kita hayati dan contohi daripada kesungguhan mereka?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah, kefahaman terhadapn hukum dan kelebihan dakwah itu sendiri.
Ramai orang menyangka bahawa tugas menyampaikan seruan Islam atau kerja menyampaikan apa sahaja mesej Islam adalah tugasn para ulama’ sahaja, sedangkan nas-nas al-Quran dan hadis tidak menyatakan begitu.
Tugas mulia yang dipikul oleh para nabi ini sebenarnya adalah kewajipan setiap Muslim di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana baginda adalah rasul yang terakhir, ia perlu diteruskan oleh umat baginda.
Hukum wajib berdakwah atas setiap orang ini dapat difahami berdasarkan hadis daripada Abdullah ibnu Amr bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.” (Riwayat Bukhari)
Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam menetapkan perlunya ada kelompok yang berperanan dalam melaksanakan tugas dakwah.
Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:
”Hendaklah di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya.”
Berdasarkan ayat tersebut, tugas dakwah itu merangkumi tiga bidang, iaitu:
Pertama: Kewajipan menyeru kepada kebajikan merupakan tanggungjawab bagi setiap Muslim.
Kedua: Kewajipan menyuruh kepada kebaikan iaitu dengan menggunakan kuasa atau pengaruh yang ada pada kita.
Ketiga: Kewajipan melarang atau mencegah daripada melakukan segala kemungkaran yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Ketiga-tiga bidang dakwah itu, perlu dilaksanakan secara bersama bagi menjamin kelangsungan masyarakat Muslim patuh kepada perintah Allah s.w.t.
Oleh kerana itu, tugas dakwah ini sangat penting sehingga ia menjadi syarat kemuliaan ummah. Umat Islam hanya akan menjadi mulia apabila kita melaksanakan tugas ini.
Firman Allah s.w.t dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud:
“Tidak ada seorang pun yang lebih baik perkataannya daripada seorang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata, “Sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang Islam (yang patuh kepada Allah).”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment