Thursday, January 24, 2013

MAULIDUR RASUL - SETELAH 1434 TAHUN BERLALU


Alhamdulillah, setelah 1434 tahun berlalu, Maulidur Rasul masih disambut di seluruh dunia, dan istimewanya di tanah air tercinta, Malaysia. Ini membuktikan betapa agung dan hebatnya keputusan yang diambil oleh jumhur ulama terdahulu sehinggakan tujuan ‘menghidupkan’ warisan Nabi s.a.w terus dimuliakan.

Lantas persoalan, kenapa hanya Maulidur Rasul yang ada, tetapi tidak kewafatannya; terjawab: ummah sememangnya memerlukan dan berkehendakkan supaya warisan Nabi s.a.w terus berkumandang di setiap masa dan lapangan kehidupan. Nabi s.a.w tidak sesekali boleh disemadikan daripada kehidupan ummah.

Usaha menyifatkan amalan sambutan ini sebagai bidaah, sekali gus dapat ditepis dengan gahnya, dan bidaah hasanah tetap diterima baik oleh majoriti ummah. Pelbagai aktiviti majlis diadakan, lantas menyatukan ummah dalam suasana ukhwah dan mahabbah yang telus, tulus dan murni. Ini sekali gus, memantap dan memartabatkan kualiti ziamah (kepimpinan) yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w hingga ke ribuan tahun.

Cuma sejak kebelakangan ini, di peringkat antarabangsa, Nabi s.a.w dicemuh dan dijadikan sebagai lakaran karikatur oleh sekumpulan manusia Barat, yang sememangnya memusuhi Islam. Mereka masih rasa terhina walau pun ‘penjajahan’ di benua mereka sudah pun berakhir.

Namun, apa yang jelas, fobia dan trauma tetap terasa hingga ke generasi kini. Apatah lagi berita penerimaan warga Barat, gereja ditukar menjadi masjid, bangunan dibeli untuk dijadikan pusat kegiatan Islam, dan sebagainya, berlaku di sepanjang benua Eropah. Apa yang jelas daripada tindakan tidak bermoral ini,  topeng kebebasan bersuara mereka tetap dapat diselak, dan kebebasan beragama serta menghormatinya, terus di julang sebagai jaminan keharmonian antara manusia sejagat.

Sesungguhnya cacian mereka terhadap Nabi s.a.w dan pengikutnya, ummah yang dicela dengan raghead (kepala kain buruk, yakni serban), adalah suatu fenomena jijik yang lazim. Malah, Nabi s.a.w sejak masa hidupnya, pernah dicaci, dihina, dihalau, dikejar, dilontarkan batu, dan pelbagai karenah kebencian lagi. Ini menjadikan perjuangan Nabi s.a.w suatu contoh tak terperi. Pengorbanannya sebegitu besar tak termampu diungkap dan dilakukan oleh pengikutnya… dan tentunya kesetiaannya pada risalah Ilahi, yang tak lut dek pisau, kebal daripada panah, dan lebih tajam daripada segala tombak atau pedang. Ini menggambarkan betapa laluan-cabar yang perlu diatasi sekiranya berjuang untuk menegakkan kebenaran Ilahi.

Sayangnya, perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan Nabi s.a.w disalahertikan oleh sesetengah pihak. Maka, mereka pun berlagak seperti nabi, setelah dinobatkan sebagai tuan guru, serta mempunyai ramai pengikut serta penyokong. Walhal mereka ini telah dilalikan dengan kisah-kisah nubuwwah, ayat-ayat suci, kata-kata hikmat ulama muktabar terdahulu. Mereka injak kebenaran Islam, malah sanggup membawa penyokong mereka melawan arus bangsa sendiri. Bahkan, mereka menyifatkan cintakan pada bangsa sebagai bersifat assabiyyah, kononnya bumi Allah ini adalah untuk semua. Apakah mereka ingat atau fikir mereka boleh menuntut hak wilayah di Amerika, China ataupun India, dengan membawa planet bumi adalah hak Allah?

Seterusnya, mereka pun menanamkan fahaman bahawa Islam tidak ada raja, seolah-olah Islam ini diturunkan untuk menghapuskan raja, maharaja, presiden, pengerusi atau sebagainya. Jika begini, sudah tentu Allah menjadikan seluruh penduduk di muka bumi ini umat Islam!

Jarum fahaman ini sebenarnya bertujuan untuk menggantikan tempat raja dengan ulama, pewaris nabi, walaupun ulama itu sendiri tidak berpegang dan mengamalkan ajaran-ajaran pokok dan prinsip utama Islam. Mereka kejam terhadap Nabi dan kejam terhadap al-Quran.

Kekejaman ini diteruskan dengan menjaja konsep, istilah, dan fahaman yang tidak mendapat sokongan daripada ummah seluruhnya. Mereka menciplaknya daripada – kononnya – suara umat Islam antarabangsa, yang tidak bernegara, tidak berbangsa, bahkan tidak mempunyai pemimpin yang diterima ramai pun. Mereka hanyalah cendekiawan dan sarjana yang tidak berpijak di bumi nyata pun. Ini menjadikan, mereka sekali gus, mengenepikan perbincangan atau muzakarah yang disebut di dalam al-Quran.

Selain meletakkan pelbagai syarat dan ghairah dengannya, di samping mengkritik pemimpin dan ulama tempatan, mereka gagal untuk menilai natijah daripada perbuatan mereka. Apabila mengenepikan bangsa seagama sendiri, apakah yang akan terjadi? Apakah ruang ini tidak akan diambil kesempatan oleh mereka yang sememangnya menunggu umat Islam berpecah belah? Terpentingnya, apakah ini ajaran Islam?

Terkini, mereka sanggup menjulang fahaman Islam inklusif… walaupun ditaja oleh bukan Islam. Fahaman ini lebih teruk daripada Islam tulen ataupun Islam liberal. Sebabnya, kedua-dua fahaman tersebut diperkenalkan oleh umat Islam, yang hanya mengkaji konsep, falsafah, gagasan, tasawur dan sebagainya. Mereka menolak hadis kerana terdapat banyak percanggahan dan palsu. Mereka tidak sedar, mereka menerimapakai peribahasa: kerana nila setitik rosak susu sebelanga! Ini tidak saintifik atau berteraskan pada ilmu langsung!

Dalam Islam inklusif pula, mereka memuji-muji golongan bukan Islam yang memuji kemurnian Islam; yang menyifatkan tindakan mereka sebagai selari dengan Khalifah Umar Abdul Aziz r.a; yang menegaskan bahawa mereka tetap mengamalkan ‘amar maaruf nahi munkar’; mengamalkan meritokrasi yang secocok dengan nilai Islam; dan bermacam-macam lagi. Maka mereka pun reda berada dalam kekuasaan bukan Islam. Mereka pun bertelagah sesama sendiri, misalnya dalam kes penggunaan istilah ‘Allah’ kepada tuhan bukan Islam, seperti yang berlaku di Parlimen. Mereka tidak insaf sedikit pun bahawa langkah ‘mendakwah’ bukan Islam tidak membawa kesan langsung. Sebaliknya, bukan Islam mengambil peluang ini untuk memijak-mijak ajaran Islam dari konteksnya yang sebenar!

Inilah antara ‘pengaduan’ yang boleh kita panjatkan kepada Nabi s.a.w sebagai insan yang diturunkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam, bukan manusia saja… dan hanya mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w yang mampu mengungkap makna rahmatan lil alami, bukan golongan bukan Islam. Apakah mereka tidak sedar bahawa golongan Islam inklusif ini tidak pernah menerima Nabi s.a.w sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam? Malah Nabi s.a.w sebagai pesuruh Allah?

Sesungguhnya, tujuan Ilahi menjadikan Nabi s.a.w adalah sebagai pembawa berita baik (syurga) dan buruk (neraka). Malangnya, kini  syurga dipermainkan. Kononnya syurga adalah hak milik kumpulan mereka saja. Selain itu, ada dari kalangan umat Islam yang melihat ‘syurga neraka’ sebagai simbol, dan berita untuk menakut-nakutkan atau sebagai satu eskapisme.

Namun, umat Islam yang menyedari tentang kewujudan duri-duri dalam daging ummah, perlu melihatnya sebagai suatu ujian yang pahit nan getir, yang perlu ditelan. Seterusnya meningkatkan lagi azam untuk bersatu, membelek semula ajaran Islam untuk membawa penyatuan di kalangan ummah, menentukan agenda mengikut keutamaan dan kepentingan… dan tentunya tidak terlupa pada syafaat Nabi s.a.w di akhirat nanti.

Nabi Muhammad s.a.w. telah wafat, telah meninggalkan kita, tidak ada harta benda yang beerti yang diwariskan kepada anak isterinya, tetapi beliau meninggalkan dua buah pusaka yang diwariskannya kepada seluruh umatnya. Sabdanya:

"Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), bilamana kamu masih berpegang kepada keduanya, niscaya tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya"

Kita sebagai manusia yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. perlu melihat perkara ini sebagai sesuatu yang penting kerana pusaka ini telah diwasiatkannya kepada kita dan kita harus menuntutnya...

Selamat berjuang menegakkan kebenaran Nabi s.a.w. Maulidur Rasul perlu terus dijaya dan dijanakan. Syafaat baginda tetap menunggu…

No comments:

Post a Comment