Tuesday, January 29, 2013

MEMBACA AL-ALQURAN - AMALAN MEMBAWA KEJAYAAN


Amalan yang membawa kepada kejayaan

"KITAB (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka bertakwa. (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung". (Al-Baqarah: 2-5)

Huraian

Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah, dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertakwa.

Takwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.

Seorang sahabat Rasulullah SAW (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang takwa. Beliau berkata : “Pernahkah engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab: “Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur.” Abu Hurairah menjawab: “Itulah dia takwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Takwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah takwa.


Kesimpulan

Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah takwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.



Monday, January 28, 2013

AL-QURAN MENUNJUKI SEMUA UMAT MANUSIA KE JALAN YANG TERANG


Al-Quran Menunjuki Semua Umat Manusia Ke Jalan Yang Terang


Al-Quran merupakan mukjizat, kitab suci dan Kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan kita Baginda Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

Di dalamnya mengandungi peristiwa-peristiwa umat-umat terdahulu yang menyentuh pelbagai sudut kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi ummah bertamadun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud:

 “Alif, Laam, Raa’. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu, supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin tuhan mereka, (iaitu) jalan menuju Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru, Rasulullah SAW menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan isi al-Quran keseluruhannya serta mendalami dan meneroka segala isi kandung yang ada dalam al-Quran. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai  bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)

Sejarah membuktikan bahawa para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu magrib secara beramai-ramai. Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Namun persoalan besar timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qurani. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik. Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan.

Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula pada masa depan. Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan menjadi pedoman untuk kehidupan masa kini.

Al-Quran bukan saja menggesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akal dalam melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dunia ini, malah mengajak umatnya menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

AL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP, SUMBER RUJUKAN UTAMA



Al-QURAN ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan adalah ‘senjata’ paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan.

Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab yang lain, maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim seterusnya melaksanakan segala perintah dan larangan yang terdapat di dalamnya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud, “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan Kami benar-benar memeliharanya.” 

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:

“Semaikan perasaan takwa kepada Allah SWT kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”

Kita dapati sahabat Rasulullah seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak.

Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat mengenai pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadis yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis qudsi yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepada-ku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.”

Dalam satu hadis lain yang bermaksud:

“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi `alif’ satu huruf dan `lam’ satu huruf dan `mim’ satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

Mereka membaca al-Quran juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT seperti yang dikatakan oleh Amr bin Ash:

“Barang siapa membaca al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka saja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti.

Hadith Rasulullah SAW:

“Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih daripada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.

Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.

Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa tertentu saja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu saja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.

Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.

Mengakhiri artikel pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45 bermaksud: “Dan apabila kamu membaca al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

sumber: berita harian

MENYELAMATKAN AKIDAH UMMAH


Menyelamatkan Akidah Ummah

Agama Islam datang ketika penyekutuan kepada Allah s.w.t melanda seluruh penjuru alam. Ajaran Islam membawa sinar yang melenyapkan segala penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman Jahiliah.

Namun, jika diperhatikan pada masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam semakin lemah. Banyak di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh para sahabat tentang keadaan umat Islam di akhir zaman akan dikerumuni seperti makanan dikerumuni oleh pelahap-pelahap. Lalu ada sahabat bertanya “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu?” Baginda menjawab: “Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah s.w.t.”

Persoalan besar timbul kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam? Di antara perkara yang  menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.

Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah s.w.t, iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah s.w.t secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik samada secara iktiqad atau tingkah laku. Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah s.w.t, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”

Dalam era kemajuan dan globalisasi masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, plurarisme serta komunisme yang diperkatakan semula pada hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas, sukan judi dan sebagainya.

Kepincangan  hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak-anak kita yang sanggup menghina kedua ibu-bapa bahkan lebih malang lagi sanggup menderhaka kepada mereka.

Mutakhir ini juga kita sering mendengar berita penyelewengan akidah umat Islam yang melanda masyarakat. Pelbagai kumpulan ajaran sesat telah wujud dengan tujuan menjauhkan umat Islam dari mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada pelbagai amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir, ilmu guna-guna dan sebagainya. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Sebagai umat Islam, kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya.

Sunday, January 27, 2013

AKHLAK TIANG TAMADUN


Akhlak Tiang Tamadun


Membiarkan masalah moral bermaharajalela mendekatkan waktu kehancuran sesuatu umat. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.

Demikian juga yang berlaku ke atas tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata. Realiti ini telah menyedarkan mereka peri pentingnya agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka hadapi.

Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pangkal kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi  pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirahat daripada segala keburukan.” (Riwayat Muslim)

Al-Quran dan Sunnah juga meletakkan akhlak luhur sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf. Di samping itu, Sunnah juga menyaran agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang. Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (al-A’raf: 199)

Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif yang mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi. Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan fanatisme serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati. Akhlak individu pula mencakupi sifat malu dan rendah diri, redha dan menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan. Sementara itu, akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga.

Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ehsan juga bersifat kasih sayang sesama manusia. Manakala, akhlak politik lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawwarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat. Sementera itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidupkan  tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewahan dan mengumpulkan  harta serta tidak melakukan pengkhianatan dan monopoli.

Dari hakikat ini jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan. Tidak ada pemisahan antara ilmu dan akhlak, antara ekonomi dan akhlak, antara politik dan akhlak dan antara perang dan akhlak. Akhlak dalam Islam lebih bersifat universal kerana tidak terbatas kepada individu muslim sahaja bahkan meliputi semua manusia muslim atau non Muslim. Dengan akhlak tersebut dapat melahirkan kerjasama untuk saling melindungi, dan mencegah kerosakkan di bumi ini.

Sebenarnya keupayaan untuk membangun masyarakat Islam madani tidak semudah membalikkan telapak tangan. Tetapi ia memerlukan perjuangan yang serius dan memerlukan  masa yang lama dengan segala risiko yang akan timbul. Masyarakat Islam hadhari perlu memiliki karakter sebagai sosial control dan sosial support. Ini adalah tanggungjawab kita bersama kerana segala apa yang dilakukan oleh manusia itu tidak luput dari kesalahan dan kelalaian. Malah ia akan melancarkan lagi proses pembangunan yang dilaksanakan.

Kita harus memahami bahawa tugas amar makruf dan nahi munkar adalah tugas suci yang perlu dilakukan oleh semua orang. Melalui kritik membina bererti kita telah melakukan tugas amar makruf dan nahi munkar. Ini bermakna kita telah melaksanakan kewajipan fardu ain kita kepada kepentingan sosial.

Islam menolak falsafah ‘matlamat menghalalkan cara’ kerana Islam meletakkan kemuliaan dari segi tujuan dan matlamat. Islam melarang umatnya mengamalkan budaya rasuah dan penipuan di dalam perniagaan biarpun tujuannya untuk manfaat bersama seperti membina masjid atau kerja-kerja kebajikan sosial.

Islam menjadikan seorang muslim bagaikan sumber yang sentiasa memancarkan kebaikan dan kemaafan bagi orang-orang di sekelilingnya. Muslim sejati adalah seorang dermawan, rajin bekerja, dan pandai mengatur waktu, pandai mensyukuri nikmat Allah s.w.t dan menunaikan hak-hak persaudaraan.

Membangun masyarakat madani bererti menyedarkan semua manusia untuk hidup dan bergaul dengan segala aktiviti dan kemudahan  itu dengan menggunakan agama sebagai kayu ukur dan menjadikannya (agama) sebagai bimbingan dalam kehidupan. Ini adalah satu keharusan, kerana semua teori hanya menjanjikan penderitaan, kecuali ajaran agama yang menjanjikan kebahagiaan hidup.

PENENTU 'KUNCI' IMAN


Penentu ‘Kunci’ Iman

Iman merupakan nikmat Allah s.w.t yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah s.w.t akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia di sisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)

Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah s.w.t serta tidak mengandungi sedikitpun perasaan syak dan ragu-ragu.

Ketakwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran samada kita benar-benar beriman atau sebaliknya.

Allah s.w.t telah menjelaskan menerusi  firman-Nya dalm surah al-Anfal, ayat 2-4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).”

Berdasarkan ayat di atas, terdapat lima (5) kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap benar-benar beriman kepada Allah s.w.t, iaitu :

1)    Apabila disebut nama Allah  akan merasa gementar hati mereka.

2)    Apabila dibaca ayat-ayat Allah, semakin bertambah iman mereka.

3)    Sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t pada setiap waktu.

4)    Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah s.w.t.

5)    Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah, maka dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah s.w.t.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari daripada menghadapi ujian dan cubaan Allah s.w.t terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagian hidup.

Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-bersenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.

Oleh hal demikian itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ia merupakan “Sunnah Allah”.

Bagi mereka yang beriman, akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan dan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ia tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah s.w.t, dan bukan sebaliknya.

Hal demikian ini sebagaimana telah digambarkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut, ayat 2–3 yang bermaksud:

“Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta.”

Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua, bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan.

Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja, dengan mengakui “kami telah beriman kepada Allah” sedangkan mereka belum diuji.

Setiap ujian dan cubaan daripada Allah s.w.t merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya, dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah s.w.t.

PENTINGNYA IKHLAS DALAM BERAMAL


Pentingnya Ikhlas Dalam Beramal


Ikhlas merupakan inti dan roh daripada amal ibadah, diterima dan ditolaknya amal ibadah sangat ditentukan dengan keikhlasan atau tidaknya. Ikhlas dalam beramal ibadah bererti melakukannya semata-mata kerana Allah, memfokuskan orientasi untuk mencari redha Allah, tanpa tendensi lainnya, tanpa dikotori hal-hal lain kerana manusia, seperti supaya dipuji dan dihargai orang, demi mendapatkan harta dan kedudukan dan yang semisalnya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (al-Bayyinah: 6)

Dan firman-Nya yang bermaksud:

“Katakanlah, hanya Allah saja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku.” (az-Zumar: 14)

Niat yang benar dalam menjalankan amal ibadah dan konsisten dengan niat itu hingga paripurna menjadi sangat penting, apakah ibadah seseorang itu dilakukannya kerana Allah atau demi yang lain.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Hud: 112-113)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua amal perbuatan itu, menurut niatnya. Dan bagi setiap orang, hanyalah mendapatkan menurut apa yang diniatkan. Barangsiapa yang maksud dan tujuan hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia mendapatkan pahala (rida) Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya dimaksudkan untuk mendapatkan harta duniawi atau untuk menikahi perempuan, maka hijrahnya adalah menurut apa yang menjadi niat dan tujuan hijrahnya itu (di akhirat dia tidak mendapatkan pahala dari Allah).” (Muttafaq alaih).

Ketika seseorang menginginkan amal ibadahnya diterima oleh Allah, maka niatnya harus ditata dengan benar dan melaksanakannya semata-mata kerana Allah, tanpa dicampuri dan dikotori dengan riya atau kerana manusia. Sebab Allah tidak mahu menerima amal ibadah yang dilakukan bukan kerana-Nya.