Tuesday, January 29, 2013

KANDUNGAN AL-QURAN


AL-QURAN adalah Kitab Suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang mengandungi petunjuk-petunjuk bagi umat manusia.

AL-QURAN diturunkan untuk menjadi pegangan bagi mereka, yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. tidak diturunkan hanya untuk suatu umat atau untuk suatu abad, tetapi untuk seluruh umat manusia dan untuk sepanjang masa, kerana itu luas ajaran-ajarannya adalah sama dengan luasnya umat manusia.

Ajaran-ajarannya begitu luas serta ditujukan kepada umat manusia dalam peri kehidupan yang bagaimanapun juga, kepada kaum yang masih dalam keadaan primitif, mahupun kepada kaum yang telah mencapai peradaban dan kebudayaan yang tinggi, bagi seorang pertapa, orang yang tidak mengindahkan harta, mahupun bagi seorang usahawan, orang yang kaya mahupun yang miskin, yang pandai mahupun yang bodoh, pokoknya untuk seluruh golongan masyarakat, meliputi segala lapangan kegiatan manusia.

Islam menghendaki agar sifat-sifat yang ditanamkan pada manusia dipertunjukkan dengan syarat, iaitu sifat-sifat itu hendaknya diterapkan pada waktu-waktu yang tepat. Dikehendakinya sifat suka memberi maaf, tetapi sebaliknya dikehendaki pula supaya kejahatan dihukum dengan hukuman yang setimpal. Sifat suka memberi maaf jangan sampai menyebabkan timbulnya kejahatan. Ia menghendaki agar manusia itu jujur dan berani menerangkan yang benar, sekalipun perkataan yang benar itu akan membawa dia kedalam kesulitan. Ia menghendaki agar manusia itu selalu berbuat baik, sekalipun terhadap orang yang pernah berbuat jahat terhadapnya.

AL-QURAN juga mengajarkan supaya manusia tetap suci, tetapi tidak dengan jalan dikembiri. Manusia harus berbakti kepada Tuhan, tetapi jangan menjadi rahib. Manusia harus berendah hati, tetapi jangan melupakan harga diri. Manusia dapat menggunakan hak-haknya, tetapi dengan tidak mengganggu hak-hak orang lain. Manusia diwajibkan mendakwahkan agama, tetapi dengan cara bijaksana.

Demikian adalah sekadar contoh-contoh ajaran AL-QURAN.

MEMBACA AL-ALQURAN - AMALAN MEMBAWA KEJAYAAN


Amalan yang membawa kepada kejayaan

"KITAB (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka bertakwa. (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung". (Al-Baqarah: 2-5)

Huraian

Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah, dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertakwa.

Takwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.

Seorang sahabat Rasulullah SAW (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang takwa. Beliau berkata : “Pernahkah engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab: “Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur.” Abu Hurairah menjawab: “Itulah dia takwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Takwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah takwa.


Kesimpulan

Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah takwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.



Monday, January 28, 2013

AL-QURAN MENUNJUKI SEMUA UMAT MANUSIA KE JALAN YANG TERANG


Al-Quran Menunjuki Semua Umat Manusia Ke Jalan Yang Terang


Al-Quran merupakan mukjizat, kitab suci dan Kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan kita Baginda Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

Di dalamnya mengandungi peristiwa-peristiwa umat-umat terdahulu yang menyentuh pelbagai sudut kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi ummah bertamadun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud:

 “Alif, Laam, Raa’. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu, supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin tuhan mereka, (iaitu) jalan menuju Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru, Rasulullah SAW menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan isi al-Quran keseluruhannya serta mendalami dan meneroka segala isi kandung yang ada dalam al-Quran. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai  bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)

Sejarah membuktikan bahawa para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu magrib secara beramai-ramai. Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Namun persoalan besar timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qurani. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik. Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan.

Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula pada masa depan. Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan menjadi pedoman untuk kehidupan masa kini.

Al-Quran bukan saja menggesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akal dalam melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dunia ini, malah mengajak umatnya menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

AL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP, SUMBER RUJUKAN UTAMA



Al-QURAN ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan adalah ‘senjata’ paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan.

Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab yang lain, maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim seterusnya melaksanakan segala perintah dan larangan yang terdapat di dalamnya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud, “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan Kami benar-benar memeliharanya.” 

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:

“Semaikan perasaan takwa kepada Allah SWT kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”

Kita dapati sahabat Rasulullah seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak.

Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat mengenai pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadis yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis qudsi yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepada-ku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.”

Dalam satu hadis lain yang bermaksud:

“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi `alif’ satu huruf dan `lam’ satu huruf dan `mim’ satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

Mereka membaca al-Quran juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT seperti yang dikatakan oleh Amr bin Ash:

“Barang siapa membaca al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka saja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti.

Hadith Rasulullah SAW:

“Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih daripada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.

Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.

Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa tertentu saja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu saja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.

Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.

Mengakhiri artikel pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45 bermaksud: “Dan apabila kamu membaca al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

sumber: berita harian

MENYELAMATKAN AKIDAH UMMAH


Menyelamatkan Akidah Ummah

Agama Islam datang ketika penyekutuan kepada Allah s.w.t melanda seluruh penjuru alam. Ajaran Islam membawa sinar yang melenyapkan segala penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman Jahiliah.

Namun, jika diperhatikan pada masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam semakin lemah. Banyak di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh para sahabat tentang keadaan umat Islam di akhir zaman akan dikerumuni seperti makanan dikerumuni oleh pelahap-pelahap. Lalu ada sahabat bertanya “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu?” Baginda menjawab: “Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah s.w.t.”

Persoalan besar timbul kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam? Di antara perkara yang  menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.

Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah s.w.t, iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah s.w.t secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik samada secara iktiqad atau tingkah laku. Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah s.w.t, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”

Dalam era kemajuan dan globalisasi masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, plurarisme serta komunisme yang diperkatakan semula pada hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas, sukan judi dan sebagainya.

Kepincangan  hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak-anak kita yang sanggup menghina kedua ibu-bapa bahkan lebih malang lagi sanggup menderhaka kepada mereka.

Mutakhir ini juga kita sering mendengar berita penyelewengan akidah umat Islam yang melanda masyarakat. Pelbagai kumpulan ajaran sesat telah wujud dengan tujuan menjauhkan umat Islam dari mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada pelbagai amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir, ilmu guna-guna dan sebagainya. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Sebagai umat Islam, kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya.

Sunday, January 27, 2013

AKHLAK TIANG TAMADUN


Akhlak Tiang Tamadun


Membiarkan masalah moral bermaharajalela mendekatkan waktu kehancuran sesuatu umat. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.

Demikian juga yang berlaku ke atas tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata. Realiti ini telah menyedarkan mereka peri pentingnya agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka hadapi.

Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pangkal kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi  pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirahat daripada segala keburukan.” (Riwayat Muslim)

Al-Quran dan Sunnah juga meletakkan akhlak luhur sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf. Di samping itu, Sunnah juga menyaran agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang. Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (al-A’raf: 199)

Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif yang mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi. Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan fanatisme serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati. Akhlak individu pula mencakupi sifat malu dan rendah diri, redha dan menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan. Sementara itu, akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga.

Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ehsan juga bersifat kasih sayang sesama manusia. Manakala, akhlak politik lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawwarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat. Sementera itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidupkan  tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewahan dan mengumpulkan  harta serta tidak melakukan pengkhianatan dan monopoli.

Dari hakikat ini jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan. Tidak ada pemisahan antara ilmu dan akhlak, antara ekonomi dan akhlak, antara politik dan akhlak dan antara perang dan akhlak. Akhlak dalam Islam lebih bersifat universal kerana tidak terbatas kepada individu muslim sahaja bahkan meliputi semua manusia muslim atau non Muslim. Dengan akhlak tersebut dapat melahirkan kerjasama untuk saling melindungi, dan mencegah kerosakkan di bumi ini.

Sebenarnya keupayaan untuk membangun masyarakat Islam madani tidak semudah membalikkan telapak tangan. Tetapi ia memerlukan perjuangan yang serius dan memerlukan  masa yang lama dengan segala risiko yang akan timbul. Masyarakat Islam hadhari perlu memiliki karakter sebagai sosial control dan sosial support. Ini adalah tanggungjawab kita bersama kerana segala apa yang dilakukan oleh manusia itu tidak luput dari kesalahan dan kelalaian. Malah ia akan melancarkan lagi proses pembangunan yang dilaksanakan.

Kita harus memahami bahawa tugas amar makruf dan nahi munkar adalah tugas suci yang perlu dilakukan oleh semua orang. Melalui kritik membina bererti kita telah melakukan tugas amar makruf dan nahi munkar. Ini bermakna kita telah melaksanakan kewajipan fardu ain kita kepada kepentingan sosial.

Islam menolak falsafah ‘matlamat menghalalkan cara’ kerana Islam meletakkan kemuliaan dari segi tujuan dan matlamat. Islam melarang umatnya mengamalkan budaya rasuah dan penipuan di dalam perniagaan biarpun tujuannya untuk manfaat bersama seperti membina masjid atau kerja-kerja kebajikan sosial.

Islam menjadikan seorang muslim bagaikan sumber yang sentiasa memancarkan kebaikan dan kemaafan bagi orang-orang di sekelilingnya. Muslim sejati adalah seorang dermawan, rajin bekerja, dan pandai mengatur waktu, pandai mensyukuri nikmat Allah s.w.t dan menunaikan hak-hak persaudaraan.

Membangun masyarakat madani bererti menyedarkan semua manusia untuk hidup dan bergaul dengan segala aktiviti dan kemudahan  itu dengan menggunakan agama sebagai kayu ukur dan menjadikannya (agama) sebagai bimbingan dalam kehidupan. Ini adalah satu keharusan, kerana semua teori hanya menjanjikan penderitaan, kecuali ajaran agama yang menjanjikan kebahagiaan hidup.

PENENTU 'KUNCI' IMAN


Penentu ‘Kunci’ Iman

Iman merupakan nikmat Allah s.w.t yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah s.w.t akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia di sisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)

Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah s.w.t serta tidak mengandungi sedikitpun perasaan syak dan ragu-ragu.

Ketakwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran samada kita benar-benar beriman atau sebaliknya.

Allah s.w.t telah menjelaskan menerusi  firman-Nya dalm surah al-Anfal, ayat 2-4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).”

Berdasarkan ayat di atas, terdapat lima (5) kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap benar-benar beriman kepada Allah s.w.t, iaitu :

1)    Apabila disebut nama Allah  akan merasa gementar hati mereka.

2)    Apabila dibaca ayat-ayat Allah, semakin bertambah iman mereka.

3)    Sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t pada setiap waktu.

4)    Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah s.w.t.

5)    Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah, maka dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah s.w.t.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari daripada menghadapi ujian dan cubaan Allah s.w.t terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagian hidup.

Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-bersenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.

Oleh hal demikian itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ia merupakan “Sunnah Allah”.

Bagi mereka yang beriman, akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan dan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ia tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah s.w.t, dan bukan sebaliknya.

Hal demikian ini sebagaimana telah digambarkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut, ayat 2–3 yang bermaksud:

“Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta.”

Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua, bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan.

Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja, dengan mengakui “kami telah beriman kepada Allah” sedangkan mereka belum diuji.

Setiap ujian dan cubaan daripada Allah s.w.t merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya, dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah s.w.t.

PENTINGNYA IKHLAS DALAM BERAMAL


Pentingnya Ikhlas Dalam Beramal


Ikhlas merupakan inti dan roh daripada amal ibadah, diterima dan ditolaknya amal ibadah sangat ditentukan dengan keikhlasan atau tidaknya. Ikhlas dalam beramal ibadah bererti melakukannya semata-mata kerana Allah, memfokuskan orientasi untuk mencari redha Allah, tanpa tendensi lainnya, tanpa dikotori hal-hal lain kerana manusia, seperti supaya dipuji dan dihargai orang, demi mendapatkan harta dan kedudukan dan yang semisalnya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (al-Bayyinah: 6)

Dan firman-Nya yang bermaksud:

“Katakanlah, hanya Allah saja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku.” (az-Zumar: 14)

Niat yang benar dalam menjalankan amal ibadah dan konsisten dengan niat itu hingga paripurna menjadi sangat penting, apakah ibadah seseorang itu dilakukannya kerana Allah atau demi yang lain.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Hud: 112-113)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua amal perbuatan itu, menurut niatnya. Dan bagi setiap orang, hanyalah mendapatkan menurut apa yang diniatkan. Barangsiapa yang maksud dan tujuan hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia mendapatkan pahala (rida) Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya dimaksudkan untuk mendapatkan harta duniawi atau untuk menikahi perempuan, maka hijrahnya adalah menurut apa yang menjadi niat dan tujuan hijrahnya itu (di akhirat dia tidak mendapatkan pahala dari Allah).” (Muttafaq alaih).

Ketika seseorang menginginkan amal ibadahnya diterima oleh Allah, maka niatnya harus ditata dengan benar dan melaksanakannya semata-mata kerana Allah, tanpa dicampuri dan dikotori dengan riya atau kerana manusia. Sebab Allah tidak mahu menerima amal ibadah yang dilakukan bukan kerana-Nya.

RUNTUH APABILA TIDAK BERTIANG


Runtuh Apabila Tidak Bertiang




Allah s.w.t telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya dalam surah Saba’, ayat 15 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka), (lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”

Ayat ini menceritakan kepada kita tentang kisah Ratu Balqis dan kaum Saba’ di negeri Yaman. Mereka mencapai tahap ketamadunan hidup sehingga mampu mengurus masalah air di selatan dan timur negeri tersebut.

Kejayaan ini mengakibatkan hasil pertanian dan perladangan bertambah baik. Namun disebabkan kaum Saba’ enggan bersyukur terhadap segala nikmat itu, maka Allah s.w.t menurunkan ujian ke atas mereka.

Segala nikmat tersebut dirampas dengan mendatangkan bencana banjir besar sehingga menenggelamkan harta benda, rumah, kampung halaman dan mengorbankan banyak nyawa. Akhirnya negeri yang dahulunya subur telah berubah menjadi kering kontang.

Sesungguhnya kemakmuran sesebuah negara berkait rapat dengan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara dan pemimpin secara menyeluruh.

Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar, iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Riwayat Bukhari)

Begitu juga halnya dengan pemimpin, selagi mereka berpegang dengan tali Allah, rakyat wajib menunjukkan taat setia dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada  mereka.

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi menyatakan: “Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi.”

Justeru, marilah kita memikul tanggungjawab bersama mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia antara yang dipimpin dengan pemimpin.

Rasulullah s.a.w sendiri mendidik umat Islam supaya sentiasa bercakap benar, tidak menyeleweng daripada kebenaran dan fakta, berlaku adil dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji seperti amanah serta tidak mengetepikan tanggungjawab dan fitrah kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi.

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang.

Oleh hal demikian itu, marilah kita sama-sama menyusuri sirah Rasulullah s.a.w sebagai contoh yang terbaik. Baginda terkenal sebagai seorang negarawan yang sangat sayang dan setia kepada tanah airnya. Sudah pasti perbuatan ini adalah satu sunnah.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasih sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabda baginda ayang bermaksud: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Mekah atau lebih daripada itu; dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

TAUHID TIANG YANG MENEGAKKAN 'BANGUNAN' ISLAM


Tauhid, Tiang Yang Menegakkan ‘Bangunan’ Islam

Sesungguhnya tauhid yang murni dan bersih adalah inti ajaran daripada segala risalah samawiyah yang diturunkan Allah s.w.t. Ia adalah tiang yang menegakkan bangunan Islam. Ia adalah syiar Islam yang terbesar yang tidak dapat dipisahkan dari Islam itu sendiri.

Inilah pesan utama Allah s.w.t kepada Rasul-Nya yang diutus kepada umat manusia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sungguh Kami telah mengutus kepada setiap umat seorang Rasul untuk menyampaikan, ‘Sembahlah oleh kamu akan Allah s.w.t dan jauhilah thaghut’.” (an-Nahl: 36)

Itulah misi utama para Rasul, menegakkan penyembahan dan penghambaan hanya kepada Allah s.w.tserta menafikan dan menjauhi segala bentuk thaghut. Dan yang dimaksud dengan thaghut adalah segala sesuatu yang menyebabkan seorang hamba melampaui batas-batas yang seharusnya tidak boleh dilanggar, baik berupa sesembahan,dan ikutan.

Allah s.w.t berfriman yang bermaksud:

“Tidakkah engkau melihat kepada orang-orang yang menyangka bahawa mereka telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu dan yang diturunkan sebelummu, padahal mereka ingin bertahkim (mengambil hukum) dari thaghut padahal sungguh mereka telah diperintah untuk kafir kepadanya”.(an-Nisa’: 60)

Kedua-dua unsur penting inilah yang terangkai dalam kalimat suci La ilaha illallah, iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah s.w.t.

Di atas kalimat tauhid yang murni dan mulia itulah Rasulullah s.a.w membangun umatnya dan di atas landasan yang kukuh itulah baginda menegakkan dakwah. Dari situlah baginda menegakkan generasi yang hanya mengesakan Allah Yang Maha Esa dan membebaskan diri mereka daripada cengkaman makhluk-makhluk lain yang dianggap sekutu bagi Allah s.w.t.

Dan ketika seorang muwahhid mengucapkan dan melafazkan kalimah tauhid itu, maka seharusnya ia menyakini dua hal yang menjadi tujuan dari kalimat suci tersebut. Apakah tujuan itu?

Tujuan pertama adalah menegakkan yang hak dan membersihkan yang batil. Sebab, makna yang sesungguhnya daripada kalimah la ilaha illallah itu adalah tidak ada yang berhak untuk disembah selain Allah s.w.t sehingga segala sesuatu selain Allah s.w.t adalah batil dan tidak berhak mendapatkan hak-hak ilhiyyah (hak-hak untuk disembah).

Dan lihatlah bagaimana Rasulullahs.a.w membersihkan Jazirah Arab daripada kotoran-kotoran dan kekuasaan thaghut dan patung-patung penyembahan. Ingatlah bagaimana batu besar saat itu yang bernama Hubal yang dikelilingi 360 berhala dihancurkan oleh Rasulullah s.a.w dengan tangan baginda yang mulia pada ketika baginda memasuki kota Mekah dengan penuh kemenangan.

Dan semua itu, baginda sering mengulang-ulang firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 81 yang bermaksud: “Dan katakanlah wahai Muhammad, telah datang al-Haq dan hancurlah yang batil. Sesungguhnya yang batil itu pasti hancur.”

Kemudian tujuan yang kedua adalah untuk mengatur dan meluruskan perilaku manusia agar selalu dalam lingkaran tauhid yang murni kepada Allah s.w.t yang terpancar daripada kalimah tauhid. Agar semua tindak-tanduk manusia dilandasi oleh keyakinan bahawa hanya Allah s.w.t satu-satunya Tuhan Yang Maha Kuasa.

Dan agar kalimah tauhid itu berhasil dalam mengatur perilaku manusia, maka ada tujuh syarat yang harus dipenuhi, iaitu al-ilm (mengetahui) makna yang benar, al-yaqin (menyakini) kandungannya tanpa ada keraguan, al-ikhlas (ikhlas) tanpa ternoda oleh syirik, ash-shidq (membenarkan) tanpa mendustakannya, al-qabul (menerimanya) dengan penuh kerelaan tanpa menolaknya, tunduk pada ketetapan kalimah tauhid (al-inqiyad), dan semua itu harus dilandasi dengan al-mahabbah (cinta) kepada Allah s.w.t.

Saturday, January 26, 2013

ISLAM DALAM KONTEKS TOLERANSI BERAGAMA


Islam Dalam Konteks Toleransi Beragama




Rentetan sejarah panjang menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi sesuatu masyarakat. Islam juga sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Islam juga sebagai agama yang mengamalkan prinsip toleransi yang sememangnya diakui oleh penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Shinto, Majusi, Kristian, dan Yahudi. Inilah satu hal yang ada dalam sejarah dan peradaban Islam.

Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan bukan Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak orang Islam. Keadaan itu ditegaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan. Bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan tersebut.

Kebebasan beragama sememangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada umatnya untuk menukar agama kerana agama Islam itu sendiri telah dianggap lengkap dan sempurna.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama.

Islam juga tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk membuat pilihan sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w melalui Piagam Madinah.

Justeru tidak kurang daripada 12 fasal dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi, iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35.

Puncak daripada toleransi terhadap orang yang berbeza agama seperti yang ditegaskan oleh al-Quran adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi keyakinan kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, raja, negara, tatasusila dan amalan budaya).

Sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum inilah telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh tentang penyatuan kaum. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui institusi raja, yang dianggap sebagai payung pentadbiran negara.

Hak dan prinsip ini terus dikekalkan walaupun akhir-akhir ini terdapat usaha untuk merungkaikan nilai-nilai kemasyarakatan rakyat Malaysia. Berdasarkan situasi ini, beberapa peringatan daripada pelbagai pihak yang cintakan kedamaian meminta supaya setiap perbezaan tidak terjerumus ke kancah permusuhan.

Ia harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan negara bangsa ataupun bangsa Malaysia.

Friday, January 25, 2013

TANGGUNGJAWAB ULAMA-UMARA MENYELAMATKAN UMMAH



Dalam situasi semasa menunjukkan bahawa adanya sebilangan ulama kita menggunakan ilmu yang ada padanya untuk mempengaruhi orang ramai supaya menentang kerajaan,kononnya adalah bertujuan agar setiap umat Islam berfikir secara matang dalam melakukan sesuatu tindakan yang sebenarnya boleh melemahkan pentadbiran dan kepimpinan negara. Lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang dihuni pelbagai kaum dan agama.

Jika pemimpin beragama Islam yang sedia ada ini ‘digulingkan‘, belum tentu pemimpin Islam yang lain dapat menjalankan pentadbiran dan perancangan pembangunan dengan lebih berkesan. Paling dibimbangi kemungkinan kuasa ketiga yang bukan daripada golongan Islam akan beroleh kesempatan dan ‘keuntungannya‘.

Memang tidak dapat dinafikan, masih banyak lagi soal-soal keislaman belum dilaksanakan dengan sempurna. Perkara ini berlaku di negara ini dan negara-negara lain juga.

Kita mahu ulama dan umara lebih aktif dan bekerja keras bagi menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan dengan agama Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana, ertinya tidak secara emosi dan gopoh-gapah, tetapi dengan menggunakan akal dan tidak dengan perasaan, kerana musuh Islam sentiasa mengintai-gintai kelemahan kita.

Sekiranya perkara ini tidak diawasi dan tidak diperhitungkan, maka yang rugi adalah seluruh umat Islam dan pimpinan negara.

Peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku di negara-negara Islam yang lain, seperti di Afghanistan, Yaman Selatan, Libya, Syria dan sebagainya patut dijadikan teladan.

Di negara tersebut dikatakan tidak ada kesepakatan para ulama dalam menyatukan bangsa mereka. Masing-masing lebih mementingkan puak dan suku daripada memikirkan kepentingan ummah seluruhnya.

Sebagai umat Islam, sama ada dia seorang ulama atau umara, masing-masing bertanggungjawab untuk menyelamatkan ummah. Apa yang lebih penting, persefahaman dan perdampingan ulama dan umara hendaklah berterusan kerana ulama dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh pemimpin dan pemimpin pula dapat memahami masalah ulama.

Manakala ulama yang berwibawa adalah ulama bersedia memberi teguran yang bertitik tolak daripada perasaan kasih sayang. Pemimpin dan pemerintah yang baik pula adalah mereka yang sanggup menerima teguran walaupun pahit dengan sikap keterbukaan yang tulen.

Tuduhan ke atas ulama yang mendampingi kerajaan sebagai ulama fasik merupakan suatu tuduhan tidak berasas kerana persoalan inilah yang kadangkala menjadikan ulama sentiasa dalam keadaan amat sulit dan serba salah. Sedangkan Islam sendiri tidak mengharamkan ulama berpolitik.

Rasulullah s.a.w telah menyampaikan tiga amanah penting yang harus dipatuhi oleh setiap mukmin demi memelihara keamanan negara dan keutuhan agama daripada sebarang penyelewengan dan perkara-perkara yang menyesatkan. Antara amanah tersebut ialah wajib mematuhi pemerintah walaupun dia seorang hamba berkulit hitam.

Islam juga melihat bahawa keputusan jemaah atau majoriti adalah sebagai keputusan muktamad yang mesti dipatuhi miscount kadangkala ia tidak selaras dengan kehendak peribadi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah ia bersabar, kerana sesiapa yang memisahkan dirinya daripada jemaah (majoriti umat Islam yang padu) biarpun sejengkal, lalu ia mati, maka matinya itu adalah mati jahiliah (sesat).”

Betapa besarnya Islam menekankan perpaduan dan menganjurkan agar umat Islam tidak menggunakan sentimen melulu dan keinginan guling-mengguling yang boleh merosakkan kestabilan dan memecahbelahkan barisan umat sehingga orang memencilkan diri ataupun bertindak di luar kehendak majoriti umat Islam yang padu adalah dianggap mati dalam kesesatan jahiliah.

Ini bukanlah bererti bahawa Islam menganjur rakyat supaya bersikap membisu terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin atau ulama. Setiap rakyat mestilah mempunyai keberanian menegur dan membantah penyelewengan pemerintahnya dan jangan sekali-kali rela dan hanyut dalam arus penyelewengan itu.

Bagaimanapun, selama pemerintah mereka masih patuh mendirikan syariat Islam, mereka tidak dibenarkan bertindak dengan kekerasan kerana Islam lebih percaya dengan nasihat-nasihat yang ikhlas, teguran yang jujur dan dakwah yang mencabar kebijaksanaan dan merangsangkan keinsafan.

Inilah sebaik-baik cara untuk memaksa pemerintah yang menyeleweng agar pulang ke pangkal jalan.

Apa yang menjadi pokok perhitungan kenegaraan ialah keamanan, kestabilan dan perpaduan di kalangan ummah. Oleh yang demikian itu, di dalam Islam tidak ada ruang untuk guling-mengguling dan rebut-merebut demi memuaskan nafsu ingin berkuasa.

Thursday, January 24, 2013

MAULIDUR RASUL - SETELAH 1434 TAHUN BERLALU


Alhamdulillah, setelah 1434 tahun berlalu, Maulidur Rasul masih disambut di seluruh dunia, dan istimewanya di tanah air tercinta, Malaysia. Ini membuktikan betapa agung dan hebatnya keputusan yang diambil oleh jumhur ulama terdahulu sehinggakan tujuan ‘menghidupkan’ warisan Nabi s.a.w terus dimuliakan.

Lantas persoalan, kenapa hanya Maulidur Rasul yang ada, tetapi tidak kewafatannya; terjawab: ummah sememangnya memerlukan dan berkehendakkan supaya warisan Nabi s.a.w terus berkumandang di setiap masa dan lapangan kehidupan. Nabi s.a.w tidak sesekali boleh disemadikan daripada kehidupan ummah.

Usaha menyifatkan amalan sambutan ini sebagai bidaah, sekali gus dapat ditepis dengan gahnya, dan bidaah hasanah tetap diterima baik oleh majoriti ummah. Pelbagai aktiviti majlis diadakan, lantas menyatukan ummah dalam suasana ukhwah dan mahabbah yang telus, tulus dan murni. Ini sekali gus, memantap dan memartabatkan kualiti ziamah (kepimpinan) yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w hingga ke ribuan tahun.

Cuma sejak kebelakangan ini, di peringkat antarabangsa, Nabi s.a.w dicemuh dan dijadikan sebagai lakaran karikatur oleh sekumpulan manusia Barat, yang sememangnya memusuhi Islam. Mereka masih rasa terhina walau pun ‘penjajahan’ di benua mereka sudah pun berakhir.

Namun, apa yang jelas, fobia dan trauma tetap terasa hingga ke generasi kini. Apatah lagi berita penerimaan warga Barat, gereja ditukar menjadi masjid, bangunan dibeli untuk dijadikan pusat kegiatan Islam, dan sebagainya, berlaku di sepanjang benua Eropah. Apa yang jelas daripada tindakan tidak bermoral ini,  topeng kebebasan bersuara mereka tetap dapat diselak, dan kebebasan beragama serta menghormatinya, terus di julang sebagai jaminan keharmonian antara manusia sejagat.

Sesungguhnya cacian mereka terhadap Nabi s.a.w dan pengikutnya, ummah yang dicela dengan raghead (kepala kain buruk, yakni serban), adalah suatu fenomena jijik yang lazim. Malah, Nabi s.a.w sejak masa hidupnya, pernah dicaci, dihina, dihalau, dikejar, dilontarkan batu, dan pelbagai karenah kebencian lagi. Ini menjadikan perjuangan Nabi s.a.w suatu contoh tak terperi. Pengorbanannya sebegitu besar tak termampu diungkap dan dilakukan oleh pengikutnya… dan tentunya kesetiaannya pada risalah Ilahi, yang tak lut dek pisau, kebal daripada panah, dan lebih tajam daripada segala tombak atau pedang. Ini menggambarkan betapa laluan-cabar yang perlu diatasi sekiranya berjuang untuk menegakkan kebenaran Ilahi.

Sayangnya, perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan Nabi s.a.w disalahertikan oleh sesetengah pihak. Maka, mereka pun berlagak seperti nabi, setelah dinobatkan sebagai tuan guru, serta mempunyai ramai pengikut serta penyokong. Walhal mereka ini telah dilalikan dengan kisah-kisah nubuwwah, ayat-ayat suci, kata-kata hikmat ulama muktabar terdahulu. Mereka injak kebenaran Islam, malah sanggup membawa penyokong mereka melawan arus bangsa sendiri. Bahkan, mereka menyifatkan cintakan pada bangsa sebagai bersifat assabiyyah, kononnya bumi Allah ini adalah untuk semua. Apakah mereka ingat atau fikir mereka boleh menuntut hak wilayah di Amerika, China ataupun India, dengan membawa planet bumi adalah hak Allah?

Seterusnya, mereka pun menanamkan fahaman bahawa Islam tidak ada raja, seolah-olah Islam ini diturunkan untuk menghapuskan raja, maharaja, presiden, pengerusi atau sebagainya. Jika begini, sudah tentu Allah menjadikan seluruh penduduk di muka bumi ini umat Islam!

Jarum fahaman ini sebenarnya bertujuan untuk menggantikan tempat raja dengan ulama, pewaris nabi, walaupun ulama itu sendiri tidak berpegang dan mengamalkan ajaran-ajaran pokok dan prinsip utama Islam. Mereka kejam terhadap Nabi dan kejam terhadap al-Quran.

Kekejaman ini diteruskan dengan menjaja konsep, istilah, dan fahaman yang tidak mendapat sokongan daripada ummah seluruhnya. Mereka menciplaknya daripada – kononnya – suara umat Islam antarabangsa, yang tidak bernegara, tidak berbangsa, bahkan tidak mempunyai pemimpin yang diterima ramai pun. Mereka hanyalah cendekiawan dan sarjana yang tidak berpijak di bumi nyata pun. Ini menjadikan, mereka sekali gus, mengenepikan perbincangan atau muzakarah yang disebut di dalam al-Quran.

Selain meletakkan pelbagai syarat dan ghairah dengannya, di samping mengkritik pemimpin dan ulama tempatan, mereka gagal untuk menilai natijah daripada perbuatan mereka. Apabila mengenepikan bangsa seagama sendiri, apakah yang akan terjadi? Apakah ruang ini tidak akan diambil kesempatan oleh mereka yang sememangnya menunggu umat Islam berpecah belah? Terpentingnya, apakah ini ajaran Islam?

Terkini, mereka sanggup menjulang fahaman Islam inklusif… walaupun ditaja oleh bukan Islam. Fahaman ini lebih teruk daripada Islam tulen ataupun Islam liberal. Sebabnya, kedua-dua fahaman tersebut diperkenalkan oleh umat Islam, yang hanya mengkaji konsep, falsafah, gagasan, tasawur dan sebagainya. Mereka menolak hadis kerana terdapat banyak percanggahan dan palsu. Mereka tidak sedar, mereka menerimapakai peribahasa: kerana nila setitik rosak susu sebelanga! Ini tidak saintifik atau berteraskan pada ilmu langsung!

Dalam Islam inklusif pula, mereka memuji-muji golongan bukan Islam yang memuji kemurnian Islam; yang menyifatkan tindakan mereka sebagai selari dengan Khalifah Umar Abdul Aziz r.a; yang menegaskan bahawa mereka tetap mengamalkan ‘amar maaruf nahi munkar’; mengamalkan meritokrasi yang secocok dengan nilai Islam; dan bermacam-macam lagi. Maka mereka pun reda berada dalam kekuasaan bukan Islam. Mereka pun bertelagah sesama sendiri, misalnya dalam kes penggunaan istilah ‘Allah’ kepada tuhan bukan Islam, seperti yang berlaku di Parlimen. Mereka tidak insaf sedikit pun bahawa langkah ‘mendakwah’ bukan Islam tidak membawa kesan langsung. Sebaliknya, bukan Islam mengambil peluang ini untuk memijak-mijak ajaran Islam dari konteksnya yang sebenar!

Inilah antara ‘pengaduan’ yang boleh kita panjatkan kepada Nabi s.a.w sebagai insan yang diturunkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam, bukan manusia saja… dan hanya mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w yang mampu mengungkap makna rahmatan lil alami, bukan golongan bukan Islam. Apakah mereka tidak sedar bahawa golongan Islam inklusif ini tidak pernah menerima Nabi s.a.w sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam? Malah Nabi s.a.w sebagai pesuruh Allah?

Sesungguhnya, tujuan Ilahi menjadikan Nabi s.a.w adalah sebagai pembawa berita baik (syurga) dan buruk (neraka). Malangnya, kini  syurga dipermainkan. Kononnya syurga adalah hak milik kumpulan mereka saja. Selain itu, ada dari kalangan umat Islam yang melihat ‘syurga neraka’ sebagai simbol, dan berita untuk menakut-nakutkan atau sebagai satu eskapisme.

Namun, umat Islam yang menyedari tentang kewujudan duri-duri dalam daging ummah, perlu melihatnya sebagai suatu ujian yang pahit nan getir, yang perlu ditelan. Seterusnya meningkatkan lagi azam untuk bersatu, membelek semula ajaran Islam untuk membawa penyatuan di kalangan ummah, menentukan agenda mengikut keutamaan dan kepentingan… dan tentunya tidak terlupa pada syafaat Nabi s.a.w di akhirat nanti.

Nabi Muhammad s.a.w. telah wafat, telah meninggalkan kita, tidak ada harta benda yang beerti yang diwariskan kepada anak isterinya, tetapi beliau meninggalkan dua buah pusaka yang diwariskannya kepada seluruh umatnya. Sabdanya:

"Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), bilamana kamu masih berpegang kepada keduanya, niscaya tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya"

Kita sebagai manusia yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. perlu melihat perkara ini sebagai sesuatu yang penting kerana pusaka ini telah diwasiatkannya kepada kita dan kita harus menuntutnya...

Selamat berjuang menegakkan kebenaran Nabi s.a.w. Maulidur Rasul perlu terus dijaya dan dijanakan. Syafaat baginda tetap menunggu…

MAULIDUR RASUL - LAHIRNYA PERINTIS PERADABAN MANUSIA


Lahirnya perintis peradaban manusia

(Kata Umum Ma’bad: “Aku melihat seorang lelaki tampan dan menarik. Mukanya cerah dan tingkah lakunya amat menarik. Badannya tidak terlalu kurus dan tidak pula terlalu gemuk, tetapi tampan dan mempunyai susuk tubuh yang seimbang. Matanya berwarna hitam dan bulu matanya panjang. Suaranya kuat tetapi tidak keras.

“Anak matanya sangat hitam dan bola matanya sangat putih. Alisnya tidak terlalu terpisah dan tidak pula bercantum di antara kedua-duanya, tetapi dipisahkan oleh rerambut yang halus. Hujung bulu matanya tajam, rambutnya berwarna hitam pekat, janggutnya lebat dan lehernya jenjang.

“Apabila diam dia tenang dan bila bercakap suaranya bergema seakan-akan memenuhi kawasan sekeliling. Ucapannya seperti aliran rangkaian mutiara, lebut dan jelas. Dia tidak pendiam dan tidak pula banyak bercakap.

“Jika didengar dari jarak jauh, suaranya lantang tetapi sedap didengar dan jika dari jarak dekat suaranya lembut dan lunak. Dia mendapat penghormatan serta penghargaan tinggi daripada para sahabat dan selalu dikelilingi serta melaksanakan perintahnya secepat mungkin.”)

12 Rabiulawal menjelma lagi. Umat Islam di seluruh pelosok dunia menyambut hari keputeraan Nabi Junjungan Rasulullah s.a.w atau disebut Maulidur Rasul bagi memperingati hari yang bersejarah ini. Malah, menjadi lumrah umat Islam pada setiap tahun mengadakan majlis ini bagi melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t di atas nikmat-Nya (Rasulullah s.a.w.) yang tiada ternilai harganya.

Dengan itu wajar diadakan majlis dan beberapa siri coretan sirah Rasulullah s.a.w sepanjang perjalanan baginda dalam menyebarkan risalah Allah s.w.t.

Retrospektif lintasan sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w (12 Rabiulawal 570 M) di tengah-tengah keluarga bangsawan – Bani Hasyim daripada kaum Quraisy dapat diketahui bahawa kehidupan penduduk Semenanjung Arab ketika itu tersepit di tengah-tengah kekuasaan empayar Rom di barat daya dan Parsi di timur laut.

Amat teristimewa sekali kerana Semenanjung Arab terletak di tengah-tengah peta dunia. Walaupun yang keadaan demikian, kebanyakan mereka hidup secara berpindah randah mengikuti kabilah masing-masing dan sering terlibat dalam pertentangan di antara kabilah.

Dari segi politik, mereka tidak mempunyai pengaruh sama sekali walaupun kedua-dua empayar ini tidak pernah menduduki Arab, malah jauh sekali menyerang penduduknya.

Pada ketika itu memperlihatkan betapa manusia berada dalam kegelapan dan kemungkaran dengan melupai kepada agama nenek moyang mereka, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Mereka telah mula menyembah monumen (berhala) dan tenggelam dengan fahaman syirik (mempersekutukan Allah) di dalam Rumah Allah s.w.t, iaitu Kaabah. Malah ajaran Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s telah mula pudar dan berubah dengan mencampurkan ajaran lain ke dalam ajaran mereka yang sebenar.

Ketika kelahiran Nabi Junjungan, terjadi beberapa perkara dengan terpadamnya api di Parsi yang menyala bertahun-tahun dan tumbangnya beberapa monumen (berhala). Amat pilu sekali apabila bapanya meninggal dunia sebelum Baginda dilahirkan dan mengikut tradisi bangsawan Mekah, Baginda telah dibawa oleh ibu angkatnya Halimah ke kampungnya dan tinggal untuk beberapa tahun yang kemudiannya diserahkan kembali kepada ibunya.

Bagaimanapun, ibu Baginda pula wafat ketika membawa Baginda pulang dari Madinah ke Mekah lalu dibawa oleh seorang hamba perempuan Ummu Aiman dan dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib yang meninggal dunia ketika Baginda berusia lapan tahun.

Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w amat sederhana dengan mengembala biri-biri di sekitar Mekah. Walaupun masih kanak-kanak Baginda tidak mempunyai sikap nakal seperti kanak-kanak yang lain malah seorang yang tenang dan berakhlak tinggi.

Bapa saudaranya amat menyayanginya dan ketika menemani bapa saudarannya berdagang ke Syam (Syria), mereka bertemu dengan seorang pendita Kristian yang dikenali sebagai Bahira yang memberitahu bapa saudara Baginda bahawa anak saudaranya itu akan dilantik menjadi Rasulullah dan menasihatkan agar Baginda dijaga dengan baik.

Kebaikan dan kebenaran Rasulullah s.a.w terus terserlah dan diketahui ramai di kalangan sahabatnya serta orang ramai di kota Mekah. Tanggapan umum terhadapnya sebagai pemuda yang baik dan terpuji telah tersebar dan orang Mekah menggelarkannya sebagai al-Amin dan al-Siddiq.

Sebagai pemuda, baginda bergerak cergas untuk membentuk suatu persetujuan di kalangan kabilah Mekah bagi mengekalkan keamanan dan menghapuskan kekerasan, juga mempertahankan hak golongan yang lemah, miskin dan melarat yang dikenali sebagai persetujuan Gencatan Senjata (Hilf al-Fadul).

Dunia ini pernah menyaksikan orang-orang ternama yang mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang tertentu. Sebahagian mereka meninggalkan nama dalam catatan sejarah. Raja-raja besar, pahlawan-pahlawan, juara-juara, ahli-ahli falsafah, pencipta undang-undang dan berbagai-bagai lagi muncul di pentas dunia.

Sebahagian mereka mungkin mempengaruhi beberapa aspek kehidupan manusia dengan cara dan gaya yang tersendiri. Ini disebabkan tiada ajaran atau falsafah yang tinggi yang boleh memberi inspirasi sepanjang zaman tanpa disertai contoh peribadi daripada para rasul. Tidak dapat dinafikan bahawa peribadi seorang guru dan keupayaannya untuk menghasilkan contoh praktikal sebagai sumber kepada orang ramai adalah sangat perlu bagi mencapai sesuatu kejayaan.

Tidak dapat ditolak kebenarannya hanya Rasulullah s.a.w sahaja manusia yang mempunyai catatan kehidupan yang lengkap sepenuhnya. Daripada detik kelahiran sehinggalah kewafatannya. Kehidupan Rasulullah s.a.w merupakan contoh yang lengkap untuk diikuti manusia bagi mencapai kebaikan dan kejayaan dalam kehidupan berkelompok atau individu. Al-Quran menggambarkan keperibadian manusia yang ternama (Rasulullah s.a.w) ini dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.” (al-Qalam : 4)

Ini jelas terbukti apabila isteri Baginda Aishah dan ramai sahabat termasuk Anas dan Ali mengatakan bahawa Baginda sangat berbudi bahasa dalam tatacara percakapannya dengan sesiapa sahaja. Baginda sentiasa gembira dan tersenyum. Abu Ishaq pernah meriwayatkan bahawa al-Bara telah ditanya, adakah muka Rasulullah s.a.w berkilau seperti pedang? Beliau menjawab : “Tidak, tetapi terang seperti bulan.”

Abdullah bin Amru pula mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menggunakan bahasa yang tidak sopan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Begitu juga apabila Baginda berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak pernah menarik tangan baginda sebelum orang itu menarik tangannya terlebih dahulu. Malah apabila berada dalam satu-satu majlis bersama-sama para sahabat, baginda duduk tanpa meninggalkan sebarang ruangan di antara Baginda dengan mereka dan keadaan ini telah berlaku apabila orang luar datang untuk berbincang, mereka tidak mengenali Rasulullah s.a.w yang berada bersama para sahabat.

Kejernihan hati baginda juga dapat dilihat apabila Saidina Ali bin Abu Talib meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berhutang beberapa dinar kepada seorang tabib Yahudi yang meminta bayaran daripada Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda memberitahu: “Aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada engkau,” Yahudi itu menjawab: “Aku tidak melepaskan engkau hai Muhammad, sehingga engkau membayar hutangmu kepadaku.” Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalau begitu aku akan tinggal bersamamu”. Lantas para sahabat mengancam dan mengugut Yahudi tersebut dan perkara ini telah disedari oleh Rasululah s.a.w Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Yahudi ini menjadikan engkau sebagai hambanya?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Tuhanku melarang aku daripada memungkiri janji terhadap seseorang.” Dan apabila matahari telah meninggi, muncul Yahudi tadi lalu berkata: “Aku mengaku bahawa engkau adalah Rasulullah. Separuh daripada hartaku akan ku serahkan kepada jalan Allah. Aku bersumpah di hadapan Allah bahawa tujuanku mengugut engkau (Rasulullah) supaya aku dapat bertemu dengan apa yang diceritakan.”

Inilah sedikit coretan kerhidupan Rasulullah s.a.w yang kudus dan perlu menjadi tauladan kepada umat Islam agar dapat merentasi akhlak secara zahir dan spiritualisme.

Kini dunia memperlihatkan betapa pudarnya keruntuhan akhlak tanpa mengikut landasan yang sebenarnya. Malah sering menimbulkan perbalahan antara kita bagi menyambut hari keputeraan tersebut. Apa yang penting kehadiran kelahiran Rasulullah s.a.w perlu dihormati oleh umat Islam sama ada ingin menyambut hari keputeraan baginda atau pun tidak.

Selagi ia tidak melanggari etika Islam atau tidak melibatkan pembaziran ianya tidak harus dipersoalkan. Malah bersalawat kepada Rasulullah s.a.w amat digalakkan. Dengan adanya hari menyambut keputeraan baginda, sudah pasti mengingatkan kita kepada baginda betapa besarnya jasa Rasulullah s.a.w bagi merintis kepercayaan bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu Allah s.wt dan pesuruh-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.

PERJUANGAN MELAYU - ISLAM


Sudah menjadi fakta yang universal dan tidak boleh di sangkal lagi bahawa taktik atau strategi yang digunakan oleh penjajah atau penakluk, mengekalkan hegemoni mereka dengan menjadikan penduduk tempatan sebagai tali barut.

Bagi orang Melayu, yang telah memeluk Islam, sejak 500 tahun yang lalu, mereka sering saja dijajah dan ditakluk oleh pelbagai kepercayaan (fahaman dan ideologi),  dan juga bangsa (Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, dan sekali lagi, Inggeris). Satu aspek yang menonjol, walau bagaimanapun… sejak mereka menjadi bangsa Melayu-Islam, mereka tidak pernah tukar pegangan (akidah) mereka.

Kehidupan mereka boleh bertukar, daripada agrarian kepada membangun, dan seterusnya kini, setelah mengalami proses pemodenan, sedang menempa ke arah maju. Sebagaimana biasanya, dengan kukuhnya, Melayu-Islam tetap dengan pegangan mereka. Mereka tidak mengalah kepada kehebatan bangsa Barat ataupun budaya dan citra mereka.

Malah apa saja yang datang, baik dari Barat  mahupun Timur, mereka akan cuba diislamisasikan. Ini sajalah tahap kompromi yang ada pada Melayu-Islam. Mereka tidak sekali-kali akan menukar pegangan akidah mereka kepada agama lain, tata kehidupan lain, fahaman lain, dan sebagainya.

Ini menjadikan sejarah orang Melayu-Islam unik, sedangkan bangsa-bangsa lain yang dijajah didapati menukar pegangan agama mereka dengan begitu mudah dan lancar.

Sesungguhnya keunikan Melayu-Islam ini terpancar daripada nilai al-Quran itu sendiri. Bangsa yang dijadikan oleh Allah dan menerima agama yang diiktiraf oleh Allah sebagai pegangan dan senjata kehidupan mereka.

Situasi unik ala sempurna ini kadangkala tidak disedari oleh umat Melayu-Islam sendiri. Ini kerana mereka asyik dengan penemuan, dan ilmu yang digunapakai di seantero dunia, walaupun ilmu tersebut, bukanlah ilmu yang dapat merungkai segala misteri yang terdapat dalam langkauan kehidupan manusia, seperti dalam agama Islam.

Sungguhpun begitu, keunikan umat Melayu-Islam ini, tidak melepaskan mereka daripada sebarang cabaran dan dugaan, seolah-olah itulah ujian dan itulah tradisi yang bernama kehidupan.
Namun, mereka menerima cabaran demi cabaran ini dengan berpaksikan pegangan mereka: Islam. Darah jihad Melayu-Islam belum tercabar sepenuhnya walaupun pernah ‘terusik’ ketika 13 Mei (1969) dulu. Kini adalah sedikit sebanyak geraan yang dilakukan untuk melihat wajah jihad Melayu-Islam. Terpentingnya, Melayu-Islam tidak mudah terserap oleh pengaruh keganasan, yang sedang melanda seluruh dunia hari ini walaupun mereka sudah melihat dengan mata kepala mereka sendiri – bagaimana usaha ‘menghapuskan’ atau ‘mengnyahkan’ mereka dari wilayah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t sedang berjalan.

Daripada perkembangan semasa, adalah diperhatikan bahawa cabaran ke atas Melayu-Islam ini menjadi semakin ‘sengit’. Jika sebelum ini umat Melayu-Islam dihidangkan cabaran berupa gerakan berorganisasi (missionary) daripada agama lain serta dakwaan tentang kehadiran ala kelahiran Tuhan Hindu, kini cabaran datang dari dalam umat Melayu-Islam sendiri: politik – yang merupakan dimensi tertinggi dalam sesebuah kehidupan bernegara manusia.

Umat Melayu-Islam kini diasak dengan Islam sebagai agama inklusif serta fahaman Islam untuk semua. Ini terjadi setelah usaha Islam Liberal tidak mendapat sambutan. Begitu juga dengan gerakan sebelumnya, iaitu feminisme Islam. Demikian jugalah dengan tenggelam timbulnya isu-isu seperti menyanggah hukum syarak, hudud, dan seumpamanya.

Terpentingnya, asakan ini turut diterima oleh segelintir ‘pejuang’ Islam yang sudah mabuk dan gila dengan kuasa-politik. Mereka sanggup mengkafirkan sesama seagama, menafikan hak bangsa sendiri ke atas wilayahnya, serta berpakat dengan bukan-Islam keturunan pendatang untuk menegakkan Islam. Maka kitab suci al-Quran pun jadi sama seperti buku-buku lain, dibenarkan dibaca dan disebut oleh bukan-Islam kepada umat Melayu-Islam sendiri! Ini adalah hipokrasi al-kubra! … dan mereka mendakwa mereka sajalah yang bakal masuk syurga!

Dalam pada itu, mereka ini tidak sedar akan adanya pepatah Melayu: senjata makan tuan! Dalam sejarah pula pernah dipersoalkan kenapa bom atom jatuh ke Jepun, tetapi tidak di Jerman, sedangkan kedua-duanya membunuh manusia kerana kegelojohan mereka untuk menakluk dunia. Antara perbezaan ketara ialah Jepun melanyak kitab al-Quran, bukannya Jerman. Mengizinkan bukan-Islam menggunakan ayat suci al-Quran terhadap umat Islam adalah sama tindakan ‘lanyaknya’. Cuma persepsi yang membezakan mana yang lebih keji, memijak dengan kaki ataupun memijak dengan lidah, sedangkan lidah itu tidak bertulang, dan lebih tajam daripada pedang! Kesucian al-Quran adalah di bawah jagaan Allah sw.t. dan bukan pada umat-Nya!

Secara lebih halus lagi, mereka menyeru supaya umat Melayu-Islam kembali kepada ajaran Islam tulen. Kononya, umat Melayu-Islam kini tersasar dalam fahaman dan amalan yang sedang dijalankan, sehingga menyebabkan mereka begitu bergelumang dengan dosa (rasuah) dan maksiat (skandal dan gejala sosial). Namun, mereka sendiri pun belum dapat membuktikan fahaman yang dibawanya itu mampu menyelamatkan mana-mana golongan daripada dosa dan maksiat! Tersilap gaya, mereka ini pulalah yang membawa fahaman syirik – taksub kepada pemikiran sendiri, sehingga lupa kepada kuasa Allah s.w.t dengan sunnahtullah-Nya!

Mereka hanya tidak sebut: tinggallah Islam, kerana Islamlah yang menyebabkan kamu berada dalam keruntuhan. Ini kerana mereka tahu, pantang orang Melayu-Islam dicabar supaya tinggalkan agamanya! Langkah sebegini hanya mengundang pemboikotan ataupun penentangan yang tak mungkin tamat.

Meskipun demikian, umat Melayu-Islam mesti senantiasa berwaspada. Iman dan takwa mesti dijaga dan dibaja selalu. Kewarasan dan percambahan perpaduan yang berteraskan pada iman dan takwa ini adalah lebih besar daripada himpunan dakyah dan propaganda musuh, baik dari luar mahupun dari dalam; baik secara senjata, perang saraf ataupun wang.

Perjuangan Melayu-Islam yang sudah berusia 500 tahun masih lagi berjalan, dan Melayu-Islam, perlu kental menghadapinya. Allah senantiasa bersama-sama mereka yang berjuang kerana-Nya.

Sunday, January 20, 2013

MENCARI ILMU PENGETAHUAN


Mencari ilmu pengetahuan


Mencari ilmu pengetahuan adalah sebahagian daripada iman. Agama Islam memerintahkan kepada umatnya untuk mencari ilmu pengetahuan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu satu bahagian saja, ia mengambil manfaat dari ilmu tersebut untuk kepentingan dunia dan akhirat, itu lebih baik baginya daripada berusia 7000 tahun, berpuasa siang harinya dan solat pada malamnya (sunnah) itu diterima tanpa ditolak.” (Riwayat Abdullah bin Mas’ud)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Belajarlah kamu tentang ilmu, kerana mempelajari ilmu semata-mata hanya Allah itu merupakan amal kebajikan, dan menelaah suatu ilmu (sama pahalanya) dengan membaca tasbih, mengadakan pembahasan terhadap suatu ilmu merupakan jihad, mencari ilmu itu ibadah, mengajarkan ilmu termasuk sedekah; menyerahkan ilmu kepada ahlinya merupakan pendekatan kepada Allah, memikirkan suatu ilmu (sama pahalanya) dengan melaksanakan ibadah puasa, dan bermudzakarah tentang ilmu itu (sama pahalanya) dengan melaksanakan solat malam.” (Riwayat Abu Syaikh dan Ibnu Abdil Bar)

Memiliki ilmu pengetahuan bagi segenap umat Islam sangat penting sekali, walaupun harus pergi ke negeri orang, oleh kerana itu segala risiko dan kesulitan dalam mencari ilmu harus dihadapi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Satu bab ilmu yang dipelajari seseorang itu lebih baik baginya daripada dunia dan isinya”. (HR. Ibnu Hibban)

“Carilah ilmu walaupun di negeri China.” (Riwayat Baihaqi dan Anas)

“Carilah ilmu walaupun antara kamu dengan ilmu tersebut terbentang lautan api.”

“Carilah ilmu (dimulai) sejak dari buaian sampai ke liang lahad.”

Betapa pentingnya ilmu pengetahuan bagi umat Islam, bahkan kerana ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang akan mendapatkan martabat dan kedudukan yang mulia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS: 58:11)

Dalam kaitan ayat di atas, Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulumuddin mengutip pernyataan Ibnu Abbas r.a, bahawa kedudukan para ulama berada di atas orang-orang mukmin kebanyakan tujuh ratus darjat, antara darjat yang satu dengan yang lain adalah lima ratus tahun perjalanan.

Bahawasanya mencari ilmu itu merupakan kewajipan bagi semua umat Islam dalam setiap waktu dan keadaan. Menurut sebahagian Ulama Salaf, bahawa ilmu itu terbahagi ke dalam empat macam: Ilmu Fiqh untuk (praktik) agama; ilmu kedoktoran untuk (kesihatan) badan; ilmu astronomi (falak) untuk mengetahui dan menentukan waktu; dan ilmu Nahu untuk (kemampuan) berbicara (bahasa).

Syekh Muhammad Nawawi Al-Bantany dalam kitab Al-Futuhat Al-Madaniyah memberikan komentar, bahawa tahapan mencari ilmu itu dimulai dengan mempelajari: ilmu Tauhid (Ushuluddin); ilmu Tafsir; ilmu Hadits; ilmu Ushul al Fiqh; ilmu Fiqh; kemudian dilanjutkan dengan ilmu-ilmu lainnya termasuk ilmu alat, dengan mmeperhatikan kepentingannya.

Ketahuilah bahawa untuk mendapatkan ilmu itu terdapat dua macam cara; kasbi dan sama’i. Kasbi, adalah dimana seseorang menghasilkan ilmu dengan cara belajar kepada seorang guru. Sedangkan sama’i, adalah seseorang mendapatkan ilmu dari para ulama dan guru dengan cara mendengarkan, baik ilmu agama mahupun ilmu dunia. Cara seperti ini tidak akan berhasil kecuali dengan mencintai para ulama/guru; bergaul serta berkumpul berjemaah di majlis mereka, serta bertanya dan minta penjelasan kepada mereka.

Dan diwajibkan bagi setiap pencari ilmu pengetahuan baik pelajar, mahasiswa atau masyarakat umum untuk sentiasa memantapkan niatnya dalam mencari ilmu itu hanya semata-mata mengharap reda Allah s.w.t, dan kerinduan akan kebahagiaan di akhirat kelak, hanya untuk menghilangkan kebodohan daripada diri peribadinya dan orang lain, serta untuk menghidupkan agama.

Membela agama Islam dengan ilmunya serta berniat untuk bersyukur kepada-Nya, atas nikmat yang diberikan, berupa sihat akal dan badan. Jangan sekali-kali mencari ilmu dengan niat agar dihormati orang lain; untuk mencari harta duniawi dan untuk mendapatkan anugerah pangkat dan kemuliaan di hadapan pemerintah dan sejenisnya. Na’udzubillah.

Takut akan seksa Allah s.w.t

Salah satu bahagian daripada cabang iman adalah takut akan seksa Allah s.w.t. Maka apabila seseorang mengatur secara bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada Allah, bagaikan ia mampu membangun rumah bukan untuk didudukinya. Tidak mengumpulkan makanan yang tidak untuk dimakan (secukupnya); dia tidak berpaling hanya kepada harta duniawi, kerana ia menyedari bahawa suatu ketika dunia akan berpisah dengannya; dan dalam setiap tarikan nafasnya tidak pernah berpaling dari mengingat Allah s.w.t.

Orang yang semacam ini telah sampai kepada peringkat “As-Sidqu” (orang yang jujur). Termasuk di dalam peringkat as-Sidqu, orang yang takwa. Pada peringkat warak’ termasuk di dalam tingakatan takwa. Dan termasuk dalam tingkatan wara’ orang yang sentiasa menjaga diri dari perbuatan yang merosak amalnya (‘iffah). Hal demikian ini dikemukakan Imam al-Ghazali di dalam Ihya ‘Ulumuddin.

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat. Hari kiamat itu adalah suatu hari yang semua manusia dikumpulkan untuk (menghadapinya), dan hari itu adalah suatu hari yang disaksikan (oleh segala makhluk).” (Surah Hud: 102-103)

Dalam ayat lain, Allah menjelaskan bahawa masing-masing manusia akan menghadapi peradilan Allah Yang Maha Adil, setelah mereka dibangkitkan dari kematiannya. Tidak satupun yang berani menannggung beban dosa orang lain, kerana azab Allah merupakan kenestapaan dan kehinaan bagi mereka yang berbuat dosa dan kealpaan selama mereka mengharungi kehidupan dunia.

“Dan apabila datang suara yang memekakan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada ibu dan bapanya, daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup sibuk.”

Gambaran betapa kengerian para sahabat Rasulullah s.a.w, apabila mereka mendengar nasihat baginda yang ada hubungannya dengan azab Allah:

Rasulullah s.a.w berkhutbah, yang (isinya) belum pernah aku dengar sebelumnya, baginda bersabda: “Apabila kalian mengetahui akan apa-apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan lebih banyak menangis”. Para sahabat menutupi wajahnya masing-masing seraya menangis teresak-esak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

MENCIPTA TAMADUN BERLANDASKAN AL-QURAN DAN SUNNAH RASUL


Mencipta Tamadun Berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasul



Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril s.a.w kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil)"...

Berdasarkan ayat tersebut, telah dibuktikan dalam sejarah bahawa sejak al-Quran diturunkan, ia telah berjaya mengubah sejarah manusia yang dikenali sebagai umat jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak sehingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang.

Kita sedia maklum bahawa tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk mengesakan Allah s.w.t dan menjalani kehidupan mengekut landasan yang benar. Di samping itu, al-Quran menganjurkan umatnya supaya menyuburkan nilai akhlak dalam kehidupan termasuklah nilai kasih sayang sesama manusia, hormat menghormati, toleransi, keadilan dan keamanan yang merupakan nilai-nilai sejagat serta sesuai dengan kehendak fitrah manusia itu sendiri.

Kerana itulah, kandungan al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah kerohanian, akidah, akhlak, perundangan dan pelbagai panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Justeru, tuntutan memahami dan menghayati ayat-ayat al-Quran dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran itu sendiri jelas mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

Selain meyakini bahawa al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan terbilang, umat Islam juga dituntut untuk mengikuti sunnah rasul iaitu bukti nyata terhadap usaha dalam merealisasikan (melaksanakan) Al-Quran yang diamanahkan Allah. Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w selama 23 tahun Baginda memimpin umat Islam berpandukan al-Quran.

Ajaran al-Quran amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental, sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah s.a.w, zaman kepimpinan Khulafa ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia.

Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran Al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan Al-Quran, mereka hanya membaca Al-Quran tetapi tatalaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran, mereka mendengar Al-Quran, tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran Al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah s.w.t.

Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka secara tidak langsung telah menyumbang kekeliruan kepada penganut agama-agama lain terhadap Islam, malah lebih malang lagi kepada umat Islam itu sendiri. Kerana apabila mereka tidak mematuhi ajaran al-Quran, mereka dengan sendirinya mengikut jejak langkah syaitan.

Satu perkara lagi yang perlu dihayati kita semua penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti pembangunan modal insan melalui penghayatan al-Quran, sekali gus akan meletakkan diri dalam golongan yang disebut sebagai اَلْمُحْسِنِيْن iaitu orang-orang yang suka melakukan kebaikan.

Di samping seruan supaya menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran, terdapat seruan agar ayat-ayat al-Quran dikaji dan diteliti kerana ia mampu menghasilkan ilmu pengetahuan bagi kehidupan manusia yang disebut sebagai “أولى الألباب“. Dan ini telah dibuktikan oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam bidang seperti ilmu falak atau astronomi, ilmu perubatan (Tib), ilmu kimia, ilmu hisab atau algebra dan sebagainya. Begitu juga mereka mengkaji tumbuh-tumbuhan, mengkaji alam binatang, bahasa pertuturan, dan lain-lain lagi. Ilmuwan-ilmuwan seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain adalah merupakan nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.

Namun kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori oleh umat Islam dahulu hanya tinggal kenangan. Ianya tiada kesinambungan yang dapat diwarisi oleh umat Islam kini. Segala-galanya perlu dipelajari semula dari kemajuan dan kemodenan barat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi dan puncanya kerana kesilapan umat Islam itu sendiri kerana asyik bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak ada semangat kesatuan dan akhirnya menjadikan umat Islam begitu lemah, hilang daya saing dan segala kekuatan, di mana akhirnya umat Islam dijajah.

Kesimpulannya, kita seharusnya menyedari bahawa penurunan al-Quran sebenarnya membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang seperti di masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lampau dan ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan pada hari ini.

ISLAM ADALAH CARA HIDUP


Agama penting bagi manusia


Agama dalam bahasa Arab disebut ‘din’. Selain bererti agama, kata ‘din’ juga bererti yakin dengan “kekuasaan”, “ketundukan”, “kepatuhan”, “balasan”, “peraturan” dan “nasihat”.

Agama memang mengandung peraturan dan hukum yang harus dipatuhi manusia. Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tunduk dan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Tuhan.

Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai makna dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oleh agama.

Ini bererti bahawa manusia, meskipun diberi kemampuan akal untuk dapat memikirkan dan mengatur kehidupannya, tidak dapat sepenuhnya mencapai kehidupan yang teratur tanpa adanya peraturan-peraturan agama. Hal ini disebabkan bahawa akal mempunyai keterbatasan tertentu dan tidak mungkin mencapai keseluruhan kebenaran yang ada, sementara peraturan-peraturan agama, kerana diturunkan oleh Allah s.w.t sebagai pencipta manusia, dapat menunjukkan kebenaran-kebenaran yang hakiki, yang mungkin tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran manusia.

Ketika ini kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap diperlukan oleh manusia sepanjang masa. Terdapat pelbagai motivasi yang membuat manusia memeluk sesuatu agama. Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan mengenai makna, asal dan tujuan hidup. Jawapan terhadap semua itu hanya dapat di peroleh daripada agama.

Dahulu, banyak pemikir yang meramalkan bahawa agama akan rosak kerana sudah tidak diperlukan lagi oleh manusia moden yang telah begitu maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi. Kemudian muncullah orang yang mengingkari adanya Tuhan, yang disebut kaum atheis.

Bagaimanapun, kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan oleh manusia moden ternyata tidak benar. Sejak beberapa dasawarsa terakhir terjadi kebangkitan agama-agama hampir di seluruh dunia, yang ditandai antara lain dengan semakin meningkatnya kunjungan ke tempat-tempat ibadah, ceramah-ceramah agama dan penerbitan buku-buku agama.

Dalam pandangan Islam, keberagamaan adalah fitrah sesuatu yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Oleh kerana agama adalah fitrah atau sesuai dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh manusia, kalaupun bukan sejak muda, namun menjelang akhir usianya.

Firaun yang derhaka dan merasakan dirinya sebagai Tuhan pun pada akhirnya bertaubat dan ingin beragama tetapi sayang kerana sudah terlambat.Oleh kerana agama adalah fitrah, maka ia tidak boleh dan tidak perlu dipaksakan. Mengapa harus memaksa? Tuhan tidak perlu pada paksaan dan akhirnya pun Dia dan agama-Nya diakui. Bukankah agama itu fitrah?Ini bererti manusia tidak dapat melepaskan diri daripada agama.

Tuhan menciptakan demikian kerana agama merupakan keperluan hidup. Memang manusia dapat menangguhkannya sedemikian lama, barangkali hingga menjelang kematiannya. Tetapi pada akhirnya, sebelum roh meninggalkan jasad, ia akan merasa betapa pentingnya keperluan itu.Keperluan manusia terhadap air dapat ditangguhkan lebih lama jika dibandingkan dengan keperluan udara. Begitu juga keperluan manusia terhadap makanan, jauh lebih singkat dibandingkan dengan keperluan manusia untuk menyalurkan naluri seksual. Demikian juga keperluan manusia terhadap agama dapat ditangguhkan tetapi tidak untuk selama-lamanya.

Sebenarnya sebahagian fungsi dan peranan agama dalam kehidupan ini tidak mampu dimainkan oleh ilmu dan teknologi. Ilmu mempercepatkan kita kepada tujuan. Agama menentukan arah yang dituju. Ilmu menyesuaikan manusia dengan lingkungannya dan agama menyesuaikan dengan jati dirinya. Ilmu adalah hiasan lahir dan agama hiasan batinnya. Ilmu memberikan kekuatan dan menerangi jalan, manakala agama memberi harapan dan dorongan bagi jiwa.

lmu menjawab pertanyaan yang dimulai dengan bagaimana dan agama menjawab yang dimulai dengan mengapa. Ilmu selalu mengeruhkan fikiran pemiliknya sedangkan agama selalu menenangkan jiwa pemeluknya yang tulus. Bukankah kenyataan hidup masyarakat Barat membuktikan hal tersebut?

Manusia merangkumi akal, jiwa dan jasmani. Akal atau rasional ada wilayahnya. Tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau bahkan dihadapi oleh akal. Karya seni tidak dapat dinilai semata-mata oleh akal kerana yang lebih berperanan di sini ialah kalbu.

Dalam hubungannya dengan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, agama sesungguhnya sangat berperanan, terutama jika manusia tetap ingin menjadi manusia. Ambillah contoh bidang bioteknologi. Ilmu manusia sudah sampai kepada batas yang menjadikannya dapat melakukan (merencana atau melaksanakan) genetik.

Apakah keberhasilan ini akan dilanjutkan sehingga menghasilkan makhluk-makhluk hidup yang dapat menjadi tuan bagi penciptanya sendiri? Apakah ini baik atau buruk? Yang dapat menjawabnya adalah nilai-nilai agama dan bukan seni bukan pula falsafah. Bahkan segala kecanggihan kajian terbaru akan lebih melahirkan (menampakkan) kekuasaan Allah s.w.t.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Akan Kami perlihatkan tanda-tanda (kebesaran ) Kami di ruang angkasa lepas sehingga terbukti bagi mereka bahawasanya Dialah (Tuhan) yang sebenar. ” (al-Fussilat: 53)